Rabu, 5 Jun 2013

ISU SOSIAL : CAP gesa pengguna tamatkan pembaziran makanan


GEORGETOWN - Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa pengguna agar turut serta dalam usaha menamatkan pembaziran dan pembuangan sisa makanan bagi mengurangkan kehilangan sumber, kata Presidennya S.M Mohamad Idris.
  
Beliau berkata gesaan itu sempena kempen Hari Alam Sekitar Sedunia 2013 bertema 'Think.Eat.Save' yang menentang pembaziran dan pembuangan makanan bagi mengurangkan kehilangan sumber.
  
Katanya, sudah tiba masa untuk memerangi sikap negatif itu kerana mengikut kajian Pertubuhan Makanan dan Pertanian Bangsa-Bangsa Bersatu (FAOUN) sebanyak 1.3 bilion tan sisa makanan terhasil setiap tahun.
  
"Daripada kajian CAP,kebanyakan restoran di Pulau Pinang membuang antara lima hingga 10 peratus makanan yang tidak dihabiskan setiap hari, dan membuang 10 peratus sisa makanan yang dipesan oleh pelannggan yang tidak berjaya dihabiskan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
  
S.M.Mohamad berkata berdasarkan unjuran Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Malaysia dijangka menjana 31,500 tan sisa pepejal setiap hari dan daripada jumlah itu, 45 peratus atau 14,000 tan adalah makanan, menjadikan kira-kira lima juta tan sisa makanan bakal dilupus dalam tahun 2020.
  
"Oleh itu, berdasarkan statistik yang diberi, sekarang adalah masa yang sesuai untuk kita melancarkan 'perang' terhadap pembaziran makanan kerana ia adalah salah satu cara paling mudah untuk mengelakkan sumber asli kita daripada habis untuk pengeluaran makanan," katanya.  - Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan