Oleh : Jeniri Amir
Kekurangan kemudahan jejas
kualiti, prestasi pelajar
Ketika menjadi nazir sekolah dan
Timbalan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Kurikulum pada dekad 1980-an dan awal
1990-an, satu daripada tugas utama penulis ialah melawat sekolah, termasuk di
luar bandar.
Tujuannya untuk menilai proses
pembelajaran guru dan kemudahan sekolah. Sebelum dan selepas lawatan, biasanya
kami berbincang dengan guru besar atau pengetua, mencadangkan langkah
memperbaiki kemudahan dan prestasi sekolah.
Isu berkaitan kedaifan sekolah
luar bandar di negara ini memang sentiasa diberi perhatian oleh pelbagai pihak.
Wakil rakyat di Sabah dan Sarawak sentiasa membangkitkan isu terbabit di Dewan
Undangan Negeri dan Dewan Rakyat, sekali gus memperlihatkan komitmen serta
keprihatinan mereka untuk memastikan kualiti dan kemudahan pendidikan di negeri
berkenaan setaraf dengan negeri lain di Semenanjung.
Mantan Timbalan Menteri
Pendidikan, Dr Mohd Puad Zarkashi yang banyak melawat sekolah di luar bandar
dan pedalaman Sabah dan Sarawak tentu lebih arif masalah sekolah terbabit, dan
aspirasi penduduk serta pelajarnya. Tidak dinafikan, kedaifan sekolah dan
kekurangan kemudahan persekolahan di kedua-dua negeri ini sedikit banyak
menjejaskan minat serta kesungguhan pelajar, seterusnya kualiti dan prestasi
dalam peperiksaan.
Peruntukan RM2 bilion
Kekurangan itu menyebabkan
sebahagian pelajar tercicir berbanding kanak-kanak di bandar. Kementerian
Pendidikan telah berusaha meningkatkan kemudahan dan menyediakan prasarana
sekolah di Sabah dan Sarawak membabitkan peruntukan RM2 bilion bagi memastikan
pelajar di luar bandar serta pedalaman tidak tercicir. Peruntukan itu bertujuan
memberi manfaat kepada setiap pelajar luar bandar dalam usaha melahirkan modal
insan cemerlang.
Apakah masalah yang dihadapi
sekolah pedalaman terutama di Sabah dan Sarawak? Perumahan guru, air bersih dan
elektrik, kemudahan makmal serta pusat sumber, kekurangan guru terlatih, bilik
darjah tidak mencukupi dan keadaan asrama yang daif antara masalah yang tidak
pernah selesai. Ketiadaan kemudahan atau kemudahan yang daif, tentu menimbulkan
ketidakselesaan dan risiko dari segi keselamatan. Wajarkah kanak-kanak terbabit
tinggal dan belajar dalam keadaan daif ketika rakan mereka di kota dan bandar
menikmati kemudahan begitu selesa?
Malah, kanak-kanak di kampung
penulis (Kampung Tellian) tidak mempunyai sekolah sekitar 10 tahun kerana
sekolah sedia ada tidak selamat digunakan. Akibatnya, murid sekolah rendah itu
terpaksa menumpang di sekolah rendah yang agak jauh dari kampung. Ibu bapa
merungut kerana ia memerlukan kos yang lebih, selain risau keselamatan anak.
Persoalannya, bilakah sekolah itu akan dibina?
Ketika kita meraikan ulang tahun
ke-50 pembentukan Malaysia pada tahun ini, bukan sesuatu yang keterlaluan jika
ibu bapa dan penduduk di pulau, pesisiran, pergunungan dan lembah di negeri
terbabit memohon perhatian lebih bersungguh-sungguh diberi bagi memastikan
negeri ini tidak ketinggalan dengan arus kemajuan pendidikan.
Langkah Kementerian Pendidikan
menubuhkan pasukan khas memantau serta mengenal pasti masalah sekolah di
pedalaman seperti diumumkan Timbalan Menteri Pendidikan 1, Datuk Mary Yap Kain
Ching baru-baru ini, memang dialu-alukan. Sebanyak 814 sekolah di Sabah dan
Sarawak dikategori sebagai pedalaman dan kerajaan berusaha mengatasi masalah
menerusi pelan jangka pendek serta panjang.
Anjak kualiti pendidikan
Jawatankuasa itu perlu memberi
perhatian terhadap aspek profesionalisme guru dan pengurusan sekolah,
penempatan guru terlatih dengan opsyen sesuai, infrastruktur dan kemudahan asas
sekolah, serta tahap literasi dan kemiskinan murid luar bandar. Ini antara faktor
penyumbang pelbagai permasalahan pendidikan di luar bandar. Mengapakah
kemudahan dan kualiti pendidikan di luar bandar perlu ditingkatkan? Apakah
langkah terbaik untuk mengatasi masalah kekurangan murid? Bagaimanakah murid
miskin dapat dibantu dari segi pelajaran dan kemudahan, termasuk buku rujukan?
Hakikat kadar celik huruf,
kemiskinan, keciciran dan masalah sosioekonomi yang lain masih membelenggu luar
bandar dan pedalaman, sudah memadai untuk kita menganjakkan kualiti pendidikan
di sana. Kanak-kanak luar bandar perlu diberi kemudahan dan guru terbaik bagi
memungkinkan mereka meraih keputusan terbaik dan akhirnya keluar daripada
kemiskinan.
Kejayaan teknokrat dan
profesional dari luar bandar hari ini kerana kejayaan mereka mendapat
pendidikan. Pelajar miskin dan kekurangan zat mudah letih dan mengantuk di
dalam kelas, dan sukar memahami dan menyerap apa-apa yang dipelajari.
Penulis ialah Pensyarah di
Universiti Malaysia Sarawak
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan