TARIKH 31 Ogos 1957
yang ulang tahunnya disambut hari ini cukup bermakna bagi rakyat negara ini
kerana ia menandakan kita telah bebas daripada cengkaman penjajah British.
Detik kemerdekaan
Persekutuan Tanah Melayu diputuskan pada tanggal tarikh berkenaan selepas
Perdana Menteri yang pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dan beberapa
pemimpin UMNO lain meminta pandangan Mufti Pulau Pinang ketika itu yang juga
ahli falak, Sheikh Abdullah Fahim.
Menurut Sheikh
Abdullah, sekiranya Inggeris tidak memberikan kemerdekaan pada 31 Ogos 1957,
maka tarikh lain yang bersesuaian adalah pada 31 Ogos 1962.
Beliau memilih dua
tarikh itu kerana mengikut kiraan hisabnya kedudukan beberapa gugusan bintang
dan planet yang penting jelas kelihatan di angkasa Persekutuan Tanah Melayu,
khususnya di Kuala Lumpur sebaik sahaja selepas Maghrib sehingga masuk tengah
malam tarikh kemerdekaan berkenaan.
Pada tarikh-tarikh
berkenaan, jelas kelihatan Buruj Dacing, Buruj Kapal Layar, Buruj Anak Dara dan
Buruj Kala Jengking serta planet Musytari dan Zuhrah.
Perkara itu
jarang-jarang berlaku dan mengikut firasatnya, fenomena berkenaan dapat
memberikan kekuatan yang cukup kepada pemimpin dan rakyat untuk membangunkan
negara yang baharu merdeka.
Dalam pada itu,
banyak negara-negara lain yang turut mencapai kemerdekaan seperti negara kita
terutama selepas Perang Dunia Kedua yang menyaksikan penjajah Eropah berundur
daripada jajahan takluk mereka khususnya di benua Afrika.
Cukup menarik,
banyak juga negara yang memilih untuk merdeka pada bulan Ogos sama seperti
negara kita. Antaranya adalah negara-negara di benua Afrika.
Malah sebuah negara
kepulauan di utara benua Amerika Selatan iaitu Trinidad and Tobago turut
memilih tarikh 31 Ogos untuk merdeka pada tahun 1962.
Pada hari ini,
negara kaya berkenaan yang mempunyai 1.3 juta penduduk turut merayakan ulang
tahun ke-51 kemerdekaannya daripada penjajah British.
Pada 1991, banyak
negara bekas Kesatuan Soviet (USSR) turut memilih untuk merdeka pada Ogos dan
ia termasuk Kyrgyzstan (21 Ogos), Belarus (25 Ogos), Moldova (27 Ogos) dan
Azerbaijan (30 Ogos).
Turut berkongsi
bulan kemerdekaan yang sama dengan kita adalah negara jiran iaitu Singapura
pada 9 Ogos 1965 dan Indonesia, 17 Ogos 1945.
Berbanding negara
ini dan Singapura yang kemerdekaan diperoleh melalui perundingan, Indonesia
hanya berjaya merdeka daripada penjajahan Belanda setelah berlakunya
pertumpahan darah.
Sementara itu,
menyentuh mengenai sambutan Hari Kemerdekaan ke-56 kali ini yang bertemakan
'Malaysiaku Berdaulat: Tanah Tumpahnya Darahku', orang ramai pada pagi ini akan
menyaksikan perarakan seperti kebiasaannya.
Bagaimanapun, pada
tahun ini, perarakan yang melibatkan 16,000 peserta akan lebih banyak
memaparkan kelengkapan ketenteraan sebagai bukti kepada rakyat dan dunia bahawa
kita bersedia mempertahankan negara sehingga ke titisan darah terakhir.
Ia juga bertujuan mengingatkan
rakyat bahawa kemerdekaan negara ini tidak diperoleh secara mudah, ibarat yang
pipis datang melayang, yang bulat datang bergolek, sebaliknya ia dicapai
melalui pengorbanan semua pihak dan sehubungan itu perlu dipertahankan sampai
bila-bila.
Satu perkara lain
yang tidak dapat dielakkan setiap kali diadakan sambutan kemerdekaan, sudah
pasti akan berlaku kesesakan jalan raya terutama di ibu kota.
Kesesakan itu bukan
sahaja pada hari perarakan, malah juga berlaku beberapa hari sebelumnya apabila
jalan ditutup bagi memberi laluan kepada persiapan, latihan serta acara sebenar
perbarisan sambutan Hari Kemerdekaan.
Antara jalan yang kebiasaannya ditutup adalah Jalan Travers, Jalan Mahameru, Jalan
Damansara, Jalan Perdana, Bulatan Hishamuddin, Jalan Cenderasari, Jalan
Kinabalu, susur Bukit Aman dan Jalan Raja.
Penutupan jalan
biasanya bermula pada pukul 6 pagi dan hanya akan dibuka semula setelah acara
tersebut berakhir.
Selain itu, sikap
penonton yang suka membuang sampah juga sering mencemarkan sambutan kemerdekaan
negara. Oleh itu, bagi mengelak masalah itu berulang khususnya yang membabitkan
kesesakan jalan raya, mungkin sudah sampai masanya diadakan sambutan di tempat
tertutup seperti stadium.
Kita yakin sambutan
di tempat sedemikian tidak akan menjejaskan matlamat acara itu yang mahu
meningkatkan semangat patriotik dan cintakan negara dalam kalangan rakyat.
Sambutan Hari Ulang
Tahun Ke-68 Proklamasi Kemerdekaan Republik Indonesia pada 17 Ogos lalu yang
diadakan di tempat tertutup iaitu di Istana Presiden di Jakarta yang dihadiri
oleh Presiden, Susilo Bambang Yudhoyono sudah pasti wajar dijadikan contoh.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan