Alhamdulillah,
segala puji dan syukur yang setulusnya, dipanjatkan ke hadrat Allah S.W.T.,
lantaran di bawah lembayung rahmat dan keredaan-Nya, kita sebagai rakyat
Malaysia, berpeluang meraikan ulang tahun kemerdekaan negara buat kali yang
ke-56 dalam keadaan permai sentosa. Tahun ini juga merupakan tahun ke-50 Sabah
dan Sarawak bersama-sama menyambutnya sejak 1963.
Sesungguhnya, bersesuaian
dengan situasi semasa, Malaysiaku Berdaulat: Tanah Tumpahnya Darahku, telah
dipilih sebagai tema yang tepat untuk Hari Kebangsaan kali ke-56 ini.
Hakikatnya, telah
puluhan tahun rakyat Malaysia menempuhi pelbagai perubahan dan transformasi
bersama, baik dari sudut politik, ekonomi mahupun sosial. Sepanjang tempoh itu
juga, Malaysia menjadi sebuah negara yang berdaulat dan merdeka, bebas dari
cengkaman serta belenggu penjajahan asing.
Sesungguhnya,
kedaulatan menjadi faktor yang menunjang kita sebagai sebuah negara tidak
datang secara bergolek. Telah banyaknya keringat yang mengalir, telah sekian
tumpahnya darah pengorbanan. Semua itu hasil perjuangan para pemimpin bersama
generasi terdahulu, hatta bersinambungan sampai sekarang.
Maka yang demikian,
memiliki kedaulatan bermaksud, kita berhak sepenuhnya dalam segala urusan
mentadbir, memerintah dan menentukan sendiri hala tuju negara. Malah, dalam
menjiwai kemerdekaan dan kisah-kisah meraihnya, kita juga wajib terus
memelihara dan mempertahankan perkara-perkara berkaitan Raja-Raja Melayu,
kedudukan Agama Islam, serta keistimewaan Melayu dan Bumiputera, seperti mana
bapa-bapa kita terdahulu telah maktubkan dalam Perlembagaan Persekutuan.
Kita menginsafi,
dunia kini sering berdepan dengan pelbagai mehnah dan pancaroba. Justeru, kita
terdedah dengan pelbagai ancaman oleh dalang-dalang yang cuba mewujudkan
sengketa di serata dunia. Umpamanya, krisis dalaman yang sedang melanda di
beberapa buah negara Arab, akhirnya bertukar menjadi kecemperaan politik yang
berpanjangan.
Pergolakan yang
mengorbankan ribuan nyawa rakyat tidak berdosa sebegini, wajar dijadikan
iktibar kepada kita semua. Konflik yang sedang berlarutan, seperti tiada
kesudahannya. Cahaya di hujung terowong yang dinantikan oleh rakyat mereka, tampaknya
masih samar dan buntu. Demikianlah jika perubahan yang ditagih hanya sekadar
perubahan semberono. Natijahnya, kemusnahan ekonomi dan pertumbuhan negara akan
terjejas pabila tiadanya kestabilan dan perpaduan.
Merujuk ehwal
negara kita, peristiwa hitam pencerobohan bersenjata di Lahad Datu, Sabah
baru-baru ini turut mengorbankan nyawa para perajurit tanah air. Sudah tentu,
tragedi berdarah ini akan menjadi satu pengajaran kepada kita bahawa, Malaysia
tidak terlepas daripada terdedah kepada ancaman musuh dari luar.
Hakikatnya, tragedi
walang itu telah menyentap benak sanubari rakyat Malaysia, tentang
peri-mustahak untuk kekal bersatu, demi mempertahankan kedaulatan negara.
Lantaran, kita tidak boleh kunjung jemu untuk menyemai benih-benih jati diri dan
pucuk-pucuk semangat cintakan negara di kalangan rakyat, khususnya golongan
muda yakni generasi pewaris.
Pendek kata,
sambutan Kemerdekaan bukanlah sekadar laungan membangkitkan semangat. Lebih
dari itu, ia perlu disulami dengan penghayatan yang mendalam. Sememangnya lagi,
kita tidak mahu kemerdekaan hanya pada nama. Pengisiannyalah yang lebih utama,
dan terbukti, kita telah pun melalui episod-episod seperti perselisihan antara
kaum, krisis kewangan dan kemelut politik. Syukurlah semua itu kita lalui dengan
jayanya.
Sesungguhnya jua,
perkara utama untuk direnungkan dalam mencapai maksud ulang tahun kemerdekaan
adalah, sejauh manakah kejayaan kita sehingga kini dalam mempersiapkan dan
mempersembahkan sebuah Malaysia yang progresif bagi ditinggalkan kepada zuriat
hari muka.
Jelasnya, pada
hemah saya, pelbagai usaha perlu digembleng dan dibugarkan, demi mencelikkan
sejarah kepada generasi muda tanpa mengira latar agama, keturunan mahupun
budaya. Anak-anak muda sebagai bunga-bunga bangsa perlu terus dibimbing dan
diasuh, dipersiapkan dengan jati diri dan diperteguhkan semangat patriotisme
mereka. Barulah Malaysia dengan rakyatnya yang berjiwa besar, akan kekal
berdaulat lagi merdeka dalam permaknaan sebenar.
Secara tuntas,
Malaysia sebuah negara berbilang kaum yang unik di dunia. Keunikan inilah
menjadikan kita istimewa dan aset bagi mencapai taraf negara maju berpendapatan
tinggi beberapa tahun lagi.
Pucuk pangkalnya,
kini bukanlah masanya untuk kita berpecah belah. Walau apa dugaan yang
merintang, kita tidak boleh berputus asa, sebaliknya harus mara ke hadapan
untuk memajukan negara berasaskan perpaduan nasional. Atas sebab itu, saya
yakin dan percaya tiada siapa pun pihak luar yang berhak mengajar kita
bagaimana hendak berjalan, kerana kita sudah lama bertatih dan melangkah.
Kesimpulannya, rupa
dan wajah Malaysia seperti mana yang kita lihat dewasa ini, telah dibina
melalui pelbagai ikhtiar, perancangan teliti, serta strategi yang rapi oleh
pihak kerajaan sejak berdekad lalu, mengikut pendekatan serta acuan kita yang
tersendiri.
Akhir kalam, saya
ingin berpesan kepada semua rakyat Malaysia, hargailah keamanan, peliharalah
keharmonian, pupuklah perpaduan dengan mencintai watan. Ayuh, marilah kita
berpadu, dengan obor perjuangan yang jitu, demi Malaysia yang satu.
Selamat Menyambut
Ulang Tahun Kemerdekaan Ke-56.
Merdeka, Merdeka,
Merdeka. Dirgahayu Malaysiaku.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan