TIADA ibu bapa di dunia ini yang
mahu anaknya menjadi insan yang tidak berilmu dan cetek pemikiran. Pendek kata
kelahiran anak merupakan satu tugas yang berat untuk dipikul oleh golongan
tersebut. Tanyalah kepada siapa sahaja malah kepada penjenayah sekalipun,
mereka pasti mahu anak mereka menjadi manusia berguna dan tidak menjejak
langkah sumbang mereka dalammengharungi kehidupan.
Bagi mencapai objektif mewujudkan
generasi masa depan yang bakal kita tinggalkan untuk mewarisi negara ini, maka
kerajaan perlu mewujudkan satu pelan pendidikan yang komprehensif yang
dinamakan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.
Namun amat menyedihkan pelan yang
bertujuan baik itu dianggap sebagai satu wadah untuk memperkasa sesuatu bangsa
dan bahasa semata-mata oleh sesetengah pihak.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri
Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pendidikan dengan jelas menyatakan
kelmarinbahawa ibu bapa turut diberi pengiktirafan dalam PPPM 2013-2025 dengan
setiap Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) akan menerima peruntukan khas.
Peruntukan tersebut sudah pasti mampu menjadikan persatuan yang sering dilanda
isu yuran tahunan tersebut untuk bergerak lebih berkesan dan penuh objektif
menambah baik pembelajaran dan pengajaran (P&P) murid-murid di sekolah.
Muhyiddin juga menjelaskan
menerusi PPPM, setiap sekolah akan dibekalkan sarana ibu bapa iaitu panduan
untuk golongan itu menyumbang idea, tenaga, pengetahuan, kepakaran dan kewangan
kepada sekolah. Langkah sedemikian jelas menunjukkan kerajaan tidak mahu
dianggap sebagai tidak prihatin dengan pandangan golongan ibu bapa yang lahir
dari sistem pendidikan Kurikulum Baru Sekolah Menengah (KBSM) dan Kokurikulum
Baru Sekolah Rendah (KBSR) itu sendiri satu masa dahulu.
Ditambah pula dengan pendedahan
dunia maya menyebabkan masyarakat hari ini bukan sahaja meronta-ronta untuk
melahirkan idea yang bernas malahan mahu menyumbang sesuatu yang berkualiti
untuk meningkatkan pendidikan negara. Boleh dikatakan ibu bapa hari ini lebih
terkehadapan dan seolah-olah mahu menunjukkan bahawa zaman kerajaan tahu semua
sudah berakhir.
Inilah masa untuk berkongsi
kekayaan negara dan limpahan intelek yang hanya berkisar di laman-laman sembang
media sosial dan di warung kopi Pak Mat semata-mata. Kadangkala apabila kita
mendengar buah fikiran orang biasa berbanding golongan intelek di kerusi empuk
ada kalanya ada logik yang boleh dipakai.
Misalnya, baru-baru ini penulis
berjumpa dengan seorang rakan lama, yang mencadangkan agar anak-anak kita bukan
sahaja diberi ilmu moden dan bahasa malahan pemakanan mereka dijaga sejak dari
dalam perut ibu lagi. Caranya, beliau mencadangkan, agar kita memberi makan dan
mengamalkan petua-petua oleh golongan Yahudi yang terkenal dengan bijaksana
hingga menganggap mereka bangsa terbaik.
Dijelaskan juga teman tersebut,
bahawa, tidak guna pemakanan tidak betul dan hentam keromo tetapi mahu mengajar
perkara yang elok dan saintifik kepada anak-anak. Beliau memberi contoh wanita
Yahudi semasa hamil akan belajar matematik tambahan, kimia, fizik dan biologi
dan membuat ujian dengan tekun. Mereka percaya amalan ini mampu merangsang
minda janin di dalam perut untuk lahir menjadi manusia yang bijak.
Teman itu juga memberitahu,
pemakanan Nabi Muhammad SAW adalah yang terbaik. Susu kambing dengan kurma Ajwa
tiga kali sehari mampu menguatkan ingatan dan memudahkan hati untuk menghafal
apa ilmu sekalipun di dunia ini. Hari ini di negara ini, anak kita makan nasi
lemak dengan nugget proses yang boleh diragui kehalalannya. Mengapa tidak
pemakanan bangsa Yahudi yang positif diamalkan dan kaedah pemakanan Rasulullah
SAW kita amalkan. Walaupun rejim Zionis itu terkenal dengan sikapnya namun
sudut positif kita boleh ambil.
Namun apa yang dinyatakan itu
hanya menyumbang sedikit 'kepintaran' anak kita kerana mereka perlu juga
mempelajari ilmu akademik sambil melayari realiti hidup hari ini. Di negara
kita, Bahasa Malaysia adalah bahasa rasmi dan merupakan bahasa pertuturan
paling ramai di nusantara. Langkah memperkasakannya perlu dipandang oleh
beberapa pertubuhan yang memandang serong kepadanya dengan pandangan mata hati.
Kerajaan pasti jika bahasa rasmi tersebut lebih perkasa maka ia mampu menjadi
bahasa ekonomi antarabangsa di dalam negara ini dan sekali gus mengukuhkan
ikatan perpaduan yang pada masa ini menjadi taruhan politik parti tertentu.
Justeru, sempena pembentangan
PPPM 2013-2025 kita sebagai rakyat Malaysia perlu menghayati semangat dan roh
pelan tersebut dengan memandang jauh ke hadapan dan melupakan sejenak
persaingan politik yang jika dilayan tidak akan titik noktahnya.
Kita bangsa Malaysia yang mahu
menjunjung kemuliaan sebagai negara maju dari segi ekonomi dan perpaduan
sepatutnya melihat pelan yang dibuat oleh kerajaan adalah untuk rakyat negara
ini bukan rakyat negara luar mahupun pendatang asing tanpa izin. Apa salahnya
mengikut cara baik dari kaum tertentu jika ia ada kebaikan.
Jika Bahasa Melayu mampu
mengukuhkan perpaduan dan cara perniagaan orang Cina boleh dikongsi apa
salahnya ia menjadi sebahagian PPPM. Bukankah Malaysia negara kita, tanah
tumpahnya darah kita ke mana kita akan pergi jika kita terus berbalah soal
ilmu. Bersatulah.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan