Sesungguhnya Pelan Pembangunan
Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 adalah buah fikiran rakyat. Ini kerana
PPPM dibina atas saranan rakyat mengenai sistem pendidikan yang mereka inginkan
untuk generasi muda negara.
Dalam menggubal PPPM ini,
kerajaan, khususnya Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) membabitkan rakyat
daripada semua lapisan dan sektor untuk ikut serta dalam pelbagai dialog
terbuka, perbincangan meja bulat, bengkel dan sebagainya. Tujuannya untuk
memperoleh maklumat dan cadangan yang boleh diberi pertimbangan dalam PPPM.
Sehubungan ini, berpuluh-puluh
ribu orang awam, pendidik, pelajar, pegawai pendidikan dan lain-lain dari
seluruh negara, memperlihat keprihatinan mereka terhadap sistem pendidikan
negara. Mereka lakukan ini untuk kebaikan golongan muda kita agar dapat melalui
sistem pendidikan yang bermutu.
Pelbagai pandangan diambil kira
Selain ini, ribuan tulisan dalam
media, baik yang konvensional mahupun baharu, memorandum pihak berkepentingan
serta resolusi seminar yang dianjurkan oleh pihak bebas, turut diambil kira.
Pandangan panel penilai bebas
dalam dan luar negara, kajian universiti tempatan dan badan antarabangsa
seperti Bank Dunia, serta dapatan makmal pendidikan yang dianjurkan oleh KPM,
ikut dijadikan input untuk penggubalan PPPM.
Setiap satu maklumat ini dikumpul
untuk dianalisis secara rinci. Hasilnya 25 perkara penting dikenal pasti.
Perkara ini kemudian dikelompokkan di bawah lima tajuk, iaitu akses, kualiti,
ekuiti, kecekapan dan perpaduan. Ini kemudian dijadikan lima aspirasi pada
sistem pendidikan negara.
Selain ini, enam aspirasi untuk
setiap pelajar juga digariskan. Ia meliputi pengetahuan, kemahiran berfikir,
kemahiran memimpin, kemahiran dua bahasa, etika dan kerohanian serta identiti
nasional. Semua ini sejajar dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
Daripada maklumat yang
dikumpulkan itu, 11 anjakan paradigma dikenal pasti untuk memacu sistem
pendidikan negara pada tahap yang membolehkan golongan muda kita bersaing di
persada antarabangsa.
Anjakan itu adalah peluang sama
rata untuk memperoleh pendidikan bermutu, kecekapan dalam bahasa Melayu dan
bahasa Inggeris, pemerkasaan pendidikan agama dan moral, transformasi profesion
perguruan, kepemimpinan sekolah yang berprestasi tinggi, pengupayaan jabatan
pendidikan, pemanfaatan teknologi maklumat dan komunikasi, transformasi
kebolehupayaan KPM, kerjasama ibu bapa, komuniti dan sektor swasta, perancangan
perbelanjaan berkesan serta ketelusan kebertanggunjawaban berhubung PPPM.
Jangkaan pencapaian
Pelancaran PPPM yang bakal
disempurnakan itu dijangka akan ikut memperlihat jangkaan pencapaian pada
setiap gelombang masa yang ditetapkan. Untuk ini, tiga gelombang dikenal pasti.
Yang pertama ialah dari 2013-2015, kedua dari 2016-2020 dan ketiga 2021-2025.
Ini sebetulnya memperlihat betapa seriusnya iltizam kerajaan untuk membangunkan
pendidikan di negara pada kali ini yang perlu sesuai dengan keperluan abad
ke-21. Oleh itu, tidak wajar sekali jika ada pihak dalam kalangan rakyat
Malaysia yang cuba mempertikai PPPM, lebih-lebih lagi dari sudut perkauman.
Tindakan sesetengah pihak
daripada kaum Cina untuk menentang PPPM kerana didakwa akan melenyapkan
pendidikan aliran Cina akhirnya, bukan sahaja langsung tidak berasas tetapi
amat bersifat perkauman.
Ini kerana dakwaan itu memberi
implikasi bahawa kerajaan yang diterajui etnik Melayu sebagai kelompok dominan,
mengamalkan dasar diskriminasi terhadap kelompok minoriti. Ini sesungguhnya tidak
benar sama sekali.
Iktiraf pendidikan vernakular
Sehubungan ini, PPPM seperti
beberapa pelan pembangunan pendidikan sebelumnya, tetap mengiktiraf pendidikan
vernakular. Selain menyangga asas pembentukan negara, iaitu kemajmukan etnik
dan keragaman budaya, PPPM ikut membangunkan pendidikan aliran Cina selaras
dengan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan dan Akta Pendidikan 1996.
Berbalik kepada penentangan ini,
rakyat yang ikut menggubal PPPM perlu bangun untuk menempelak pihak ini. Ini
kerana pihak ini langsung tidak menghormati saranan dan gagasan rakyat yang
menjadi sebahagian besar PPPM.
Sebenarnya tidak ada satu pun
bahagian dalam PPPM, sama ada tersurat mahupun sebaliknya, yang menyaran
penutupan pendidikan aliran Cina seperti yang didakwa wujud dalam PPPM oleh
pihak ini.
Cadangan pelaksanaan PPPM, selain
berlandaskan ilmu pendidikan, sudah tentu ikut mengambil kira aspirasi
nasional, antaranya perpaduan negara dan integrasi nasional.
Justeru, penentangan terhadap
PPPM boleh dianggap sebagai tindakan untuk menyanggah rencana negara. Sudah
tentu ia boleh dikira sebagai perbuatan khianat kepada negara!
Penulis ialah Profesor Linguistik
di Universiti Kebangsaan Malaysia
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan