DR. RAM AL JAFFRI SAAD
(RAM@UUM.EDU.MY)
BARU-BARU ini semasa majlis Perutusan Tahun Baharu 2015 Kementerian
Pendidikan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Menteri
Pendidikan yang juga Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin
menggariskan empat cabaran utama kementerian itu sepanjang 2015.
Pertama, cabaran bagi mendepani perkembangan ekonomi ASEAN yang
pesat yang dijangka muncul sebagai blok ekonomi kelima terbesar di dunia.
Kedua, cabaran untuk meningkatkan kerjasama dan hubungan antarabangsa bagi
mendepani kemajuan dan ketidakpastian masa depan.
Ketiga, cabaran memperkasa peranan kementerian untuk menghasilkan
modal insan minda kelas pertama. Keempat, cabaran melahirkan pengguna teknologi
maklumat dan komunikasi yang bertanggungjawab.
Keempat-empat cabaran yang digariskan tersebut adalah sangat penting
untuk dihayati oleh semua pihak sama ada yang terlibat secara langsung mahupun
tidak langsung dalam dunia pendidikan. Hanya melalui penghayatan dan pemahaman
mendalam membolehkan usaha dan strategi digerakkan bagi memastikan kejayaan
untuk mendepani cabaran-cabaran tersebut.
Dalam konteks cabaran pertama, Menteri Pendidikan menyarankan agar
sektor pengajian tinggi merangka perancangan strategik bagi menangani cabaran
mobiliti tenaga kerja mahir dalam pasaran pekerjaan serantau yang dilihat lebih
terbuka. Perkembangan pesat ekonomi negara-negara ASEAN akan merangsang
pertumbuhan ekonomi serantau yang seterusnya dapat meningkatkan perdagangan
antara negara-negara tersebut.
Hasil rangsangan perdagangan ini secara langsung dapat menggalakkan
perkembangan sektor perniagaan. Hal ini akan membuka lebih banyak peluang
pekerjaan dan keperluan terhadap tenaga kerja mahir antara negara-negara
anggota.
Cabaran mobiliti tenaga kerja mahir boleh berlaku dalam pelbagai
sektor sama ada sektor korporat, pendidikan dan sebagainya. Justeru, pelan
perancangan strategik bagi mengurus hal ini wajar diusahakan agar mobiliti ini
dapat diuruskan dengan baik dan negara mendapat manfaat yang besar daripadanya.
Dalam konteks cabaran kedua, sektor pendidikan negara diharap mampu
untuk berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan negara-negara lain di
dunia. Ini penting kerana negara bukan sahaja berdepan dengan pendidikan dunia
yang berkembang pesat, namun negara juga berhadapan dengan ketidaktentuan dunia
ekonomi dan politik dunia.
Bagi mengurus cabaran ini kerjasama wajar dijalinkan dengan sektor
pendidikan di negara-negara yang menunjukkan prestasi cemerlang dalam
pendidikan. Kerjasama dengan negara-negara seperti Amerika Syarikat (AS), China
dan Australia boleh terus diperkasakan.
Selain itu, kerjasama dengan negara-negara lain terutamanya
negara-negara Islam wajar juga diberi perhatian serius. Ini kerana perkembangan
pendidikan di negara-negara tersebut adalah sangat menggalakkan dan ia
mempunyai potensi yang besar untuk terus maju pada masa hadapan.
Jika dilihat kepada sejarah, sektor pendidikan di negara-negara
Islam berada pada satu tahap yang cukup membanggakan pada suatu ketika dahulu.
Ia berkembang ke negara-negara Eropah dan Asia sehingga negara-negara ini
mendapat manfaat yang besar.
Justeru, usaha untuk mengembalikan zaman kegemilangan ini wajar
dilakukan. Negara kita yang menjadi contoh kepada negara-negara Islam lain
perlu menggerakkan usaha ini. Di samping menjadi contoh, kita juga dapat
mengutip khazanah-khazanah pendidikan silam yang maju untuk disuburkan kembali
di negara-negara Islam.
Dalam cabaran seterusnya, aspirasi negara untuk mencapai status
negara maju tidak akan dapat dicapai sekiranya sektor pendidikan negara tidak
mampu melahirkan modal insan minda kelas pertama. Inilah cabaran besar sektor
pendidikan iaitu untuk memastikan negara mencapai status negara maju
berpendapatan tinggi menjelang 2020.
Modal insan yang mempunyai minda kelas pertama adalah individu atau
kumpulan orang dalam masyarakat yang mampu menguasai sesuatu bidang ilmu yang
tinggi, berdaya saing, akhlak yang hebat, budaya kerja cemerlang, berintegriti,
menjunjung nilai-nilai murni dan mampu menyumbang kepada pembangunan masyarakat
dan negara.
Modal insan ini dilahirkan dalam acuan budaya, kesenian dan warisan
tanah air. Mereka menjaga agama, bangsa dan negara. Hanya dengan perancangan
yang baik dan berterusan mampu melahirkan modal insan ini.
Cabaran terakhir adalah berkaitan moral dan disiplin diri yang
kuat yang harus ada pada anak bangsa kita untuk mendepani kecanggihan dan
kepesatan teknologi. Secanggih mana pun teknologi dengan infrastruktur berkelas
dunia yang ada dalam negara kita akan tidak membawa makna sekiranya masyarakat
dan anak-anak muda tidak mempunyai akhlak dan etika yang baik sebagai pengguna
teknologi.
Umum dapat melihat bagaimana salah guna teknologi berlaku dalam
negara kita. Penyebaran berita-berita palsu, provokasi, mengadu domba dalam
kalangan masyarakat, fitnah dan macam-macam lagi merupakan antara contoh salah
guna teknologi yang melibatkan masyarakat kita.
Adalah menjadi tanggungjawab institusi pendidikan untuk melahirkan
generasi pengguna teknologi yang bertanggungjawab. Pengguna teknologi wajar
dididik dengan ilmu, akhlak dan nilai-nilai murni agar mereka tidak
menyalahgunakan teknologi.
Sebagai kesimpulannya, pendidikan merupakan nadi kemajuan dan
kejayaan sesebuah negara. Perancangan pendidikan negara harus dirangka
sebaik-baiknya agar mampu melahirkan generasi berilmu pengetahuan, mempunyai
kemahiran dan mengamalkan nilai-nilai murni dalam kehidupan.
Empat cabaran semasa yang harus ditempuhi oleh sektor pendidikan
dalam negara menjadi agenda besar yang perlu diberi perhatian serius oleh warga
pendidik. Cabaran-cabaran ini wajar difahami sedalam mungkin sebelum
perancangan strategik dapat dibuat. Semoga cabaran-cabaran ini akan ditempuh
dengan jayanya.
PENULIS ialah Pengarah
Penerbitan UUM (UUMPRESS) merangkap
Pensyarah Kanan Perakaunan Islam,
Pusat Pengajian
Perakaunan (SOA), Universiti Utara Malaysia.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan