SEWAKTU penulis bersama-sama
dengan beberapa cendekiawan pemikir akademik Kementerian Pendidikan dalam satu
seminar pendidikan di ibu kota, pelbagai pendapat telah dikemukakan untuk
dibincangkan bagi mencari kata sepakat berkaitan beberapa isu pendidikan terbaharu,
sekali gus menjayakan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.
Dengan kata lain, pejam celik,
pejam celik begitu pantas sekali masa berlalu dan 2015 merupakan tahun akhir
Gelombang 1 (2013-2015), iaitu mengubah sistem dengan menyokong guru dan
memberikan tumpuan kepada kemahiran utama.
Masih kedengaran cakap-cakap
massa di seluruh pelosok tanah air, iaitu terdapat sebilangan besar daripada
pendidik tempatan kurang memahami kandungan PPPM yang dilancarkan Timbalan
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 6 September 2013. Dalam hal ini,
kata-kata seorang akademikus terkenal tanah air ada kebenarannya.
Kata beliau, “Saya berasa hairan
kerana masih terdapat golongan pendidik kini yang bersikap ‘nato’ dalam urusan
sehariannya sebagai pendidik sedangkan kerajaan melalui KPM (Kementerian
Pendidikan) telah memperuntukkan wang yang begitu besar untuk menjayakan
transformasi pendidikan agar kita dapat duduk sama rendah dan berdiri sama
tinggi dengan bangsa di negara maju.”
Sejujurnya, kerisauan beliau
bukan sahaja dirasai oleh pegawai KPM tetapi ibu bapa juga turut menerima
tempiasnya dek perilaku sesetengah guru yang bersikap ‘nato’ itu.
Perkataan ‘nato’ merujuk kepada
frasa no action talk only yang begitu jelas menggambarkan bahawa ada guru yang
bersikap sedemikian ketika memberikan ilmu pengetahuan kepada muridnya dalam
proses pengajaran dan pembelajaran. Guru yang tegar dengan situasi ‘nato’ ini
berlaku di mana-mana daerah atau lokasi dunia pendidikan kini.
Apakah kesannya kepada murid
pascamerdeka pada masa hadapan? Adakah murid berasa selesa akan sikap guru
‘nato’ itu? Sehubungan itu, stigma sebegini tidak wajar berlaku kerana setiap
guru telah melalui proses pengamalan pedagogi berkesan serta praktikum ketika
mereka menuntut di Institut Pendidikan Guru (dulunya maktab perguruan) atau di
universiti tempatan dan luar negara.
Apakah yang diinginkan oleh
seseorang murid pascamerdeka dalam proses pembelajaran seharian mereka? Jika
perkara ini diajukan kepada murid, tentulah jawaban yang pelbagai akan
diperoleh. Dalam hal ini, seseorang guru yang sentiasa menyedari
tanggungjawabnya akan berusaha untuk memberikan persembahan yang terbaik ketika
sesi pengajaran di dalam kelas, selain menitikberatkan aspek jasmani, emosi,
rohani dan intelek muridnya setiap masa.
Guru-guru seharusnya mendekati
muridnya dengan penuh kasih sayang agar ilmu pengetahuan benar-benar meresap ke
dalam diri murid tanpa gangguan unsur provokasi luaran. Usahlah dibiarkan sikap
pasif ‘nato’ mendominasi minda guru terus-terusan tanpa adanya prakarsa murni
untuk meningkatkan tahap profesionalisme dan kaedah pengajaran terkini.
Murid-murid pada abad ke-21 ini merupakan
murid pascamerdeka yang aktif dalam serba bidang. Hal ini menuntut guru-guru
mengetepikan sikap jelik ‘nato’ dalam mendepani kerenah murid masing-masing
dengan minda yang terbuka selain mendidik mereka agar tidak sekali-kali
meminggirkan kesantunan budi bahasa. Jadilah guru yang selalu kasih akan
muridnya tanpa mendambakan sebarang balasan.
Selain itu, guru nan berwibawa
perlu menerokai pelbagai disiplin ilmu kurniaan Ilahi dengan ikhlasnya kerana
yakinlah bahawa apabila minda guru cerdas dan kuat, pengetahuan muridnya jua
pasti mencapah sekali gus Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) turut terserlah.
Kesimpulannya, peribahasa
‘leluhur ular menyusur akar’ tidak akan hilang bisanya masih malar segar dalam
ranah kehidupan seseorang guru kini. Setiap guru mempunyai nuansa yang cukup
ampuh dan nirmala untuk menjadi guru yang bercita-cita tinggi, sekali gus
menjayakan PPPM pada abad ke-21 ini.
Bahasa Sendi Tamadun Bangsa.
Sumber : http :
//www.sinarharian.com.my/ (26 Mac 2015)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan