Oleh : Salbiah Ani
NAMPAKNYA Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bersungguh-sungguh
dengan langkahnya untuk mengaudit bahasa Melayu yang digunakan dalam dokumen
rasmi kerajaan bagi mengenal pasti tahap penggunaan bahasa kebangsaan seperti
pertama kali disuarakan pada 14 Februari lalu.
Ketua Pengarahnya, Dr Awang Sariyan, mengulangi ketegasannya berhubung perkara terbabit kelmarin dengan menjadikan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sebagai sasaran pertama organisasi terbabit dalam melaksanakan misi yang akan dimulai pada akhir tahun ini.
Penulis ucapkan syabas kepada Dr Awang yang mengambil
langkah berani sebaik menerajui DBP daripada bekas Ketua Pengarah DBP, Datuk
Termuzi Abdul Aziz yang sebelum ini bergelut dengan permasalahan penerbitan dan
pemasarannya disebabkan Dawama Sdn Bhd (DAWAMA).
Hendaknya ‘keberanian’ itu seperti bara api dalam sekam, biarpun
ramai rakyat Malaysia termasuk bangsa Melayu sendiri memperlekehkan bahasa itu
dan bukannya angan-angan tahi ayam apabila masalah demi masalah melanda
institusi terbabit dalam hal memperkasakan bahasa kebangsaan.
Seperti diketahui bahasa Melayu yang diberi haknya dalam
Perlembagaan Persekutuan sebagai bahasa kebangsaan, rasmi dan pendidikan
negara, diserang ‘jerebu’ yang gawat apabila semakin ramai rakyat Malaysia,
baik dalam kerajaan apalagi sektor swasta, sanggup ‘melacurkannya’!
Penulis berharap ia tidak sekadar janji kosong seperti yang
pernah ditunjukkan seorang pemimpin politik negara ini yang mengumumkan DBP
akan diberi kuasa menghukum pesalah bahasa, tetapi hampir sedekad berlalu,
tiada perkembangan didengar berhubung perkara terbabit!
Terus terang penulis tidak nampak masa depan yang cerah bagi
bahasa Melayu di Malaysia, baik dalam ranah rasmi mahupun tidak kerana banyak
bukti menunjukkan ia menuju kehancuran, semakin lebur daripada dimartabatkan
apalagi diperkasakan!
Tentunya kesungguhan DBP tidak akan membawa sebarang makna
dan ibarat perjuangan tanpa kesudahan, jika ia tidak disusuli dengan sokongan
dan dokongan daripada pihak berkuasa atau individu berwewenang dalam politik
tanah air demi menjadikan hasrat itu suatu kenyataan.
Lihat saja bagaimana bahasa Melayu ‘disembelih’ ibarat kilat
sama ada oleh bahasa rojak - campuran Melayu dan Inggeris atau terus
dipinggirkan dan digantikan sepenuhnya oleh bahasa Inggeris, Mandarin mahupun
Tamil, sesuka hati!
Apa yang penulis katakan ini bukan diada-adakan, tetapi
hakikat yang dapat dilihat dengan mata kepala saban hari dan ketika, baik
sewaktu membaca papan tanda, bergebang di kedai kopi, membeli-belah di kedai
kecil apalagi gergasi, mendengar radio mahupun menonton televisyen.
Pelakunya pula tidak berasa bersalah kerana sememangnya
diarahkan berbuat demikian oleh penerbit rancangan dalam usaha mengumpul
pendengar atau penonton, selain tuan punya syarikat mahu ia berlangsung secara
demikian kerana ‘aku punya wang, aku punya kuasa, aku punya pasal’!
Bagaimana agaknya DBP hendak menangani iklan milik kerajaan
seperti dipamerkan di televisyen baik yang bernaung di bawah Kementerian
Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, apalagi stesen milik swasta?
Lihat saja iklan kesungguhan kerajaan menepati janji yang
diberikan melalui Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan semangat Rakyat
Didahulukan, Pencapaian Diutamakan', betapa banyak peraturan bahasa kebangsaan
yang dilanggar?
Apakah DBP yang bernaung di bawah Kementerian Pelajaran
punya keberanian untuk menegur pemimpin politik tertentu yang lebih kerap
bertutur dalam bahasa Inggeris berbanding Melayu, hatta dalam acara rasmi
apalagi jika bukan?
Bagaimana pula dengan nasib bahasa Melayu sebagai bahasa
ilmu di pusat pengajian tinggi negara ini yang menyaksikan kedudukannya semakin
diambil alih bahasa Inggeris dan mendapat restu daripada Kementerian Pengajian
Tinggi?
Inilah bahayanya apabila kuasa ekonomi bukan di tangan
Melayu dan bertambah gawat apabila Melayu yang menguasai ekonomi mahupun
politik, lupa diri akan hakikat asal bangsa dan bahasa serta jati diri sebagai
rakyat Malaysia!
Apabila bercakap dalam hal bahasa Melayu, mahu atau tidak,
penulis terpaksa tabik hormat kepada Indonesia yang sentiasa mendahulukan
bahasa mereka dalam apa juga keadaan, baik hal politik mahupun ekonomi, lalu
bahasa mereka terus diperkasakan, hatta oleh orang asing di negara itu!
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan