KUALA LIPIS - Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan
merangka satu paradigma perubahan pendidikan yang menyeluruh di bawah
Transformasi Pendidikan Orang Asli yang menggariskan tujuh inisiatif untuk
meningkatkan prestasi ke tahap yang membanggakan negara.
Timbalan Perdana Menteri berkata inisiatif pertama adalah
pemantapan tadbir urus sekolah-sekolah yang mempunyai murid Orang Asli bermula
di peringkat sekolah, Pejabat Pelajaran Daerah, Jabatan Pelajaran Negeri dan
Kementerian.
"Dalam konteks ini, kepimpinan dan pengurusan di semua peringkat
akan dipertingkat kualitinya dengan memastikan segala isu dan permasalahan
anak-anak Orang Asli dapat diselesaikan segera," katanya ketika berucap
melancarkan Transformasi Pendidikan Orang Asli Kebangsaan di Sekolah Kebangsaan
Betau di sini, hari ini.
Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata inisiatif
kedua adalah memasukkan elemen Pendidikan Asas Vokasional (PAV) di peringkat
menengah rendah di semua sekolah menengah harian yang menjadi tumpuan
masyarakat Orang Asli.
Inisiatif ketiga, katanya, mengurangkan kadar keciciran
murid Orang Asli ke sekolah sebanyak 6 peratus setiap tahun mulai tahun depan.
Berdasarkan statistik terkini, kadar keciciran ini ialah 30 peratus.
"Keadaan ini amat membimbangkan dan merugikan negara
jika tidak diambil tindakan lebih drastik.
"Justeru, saya berharap dalam tempoh lima tahun akan
datang, kadar keciciran murid Orang Asli ke sekolah menengah akan dapat
dikurangkan atau dihapuskan sama sekali dengan memastikan setiap murid Orang
Asli berjaya mendapat pencapaian akademik sekurang-kurangnya Sijil Pelajaran
Malaysia," katanya.
Muhyiddin berkata menerusi inisiatif keempat pula,
Kementerian Pelajaran memutuskan pengambilan pelajar bagi Program Khas Ijazah
Sarjana Muda Perguruan (PISMP) di Institut Pendidikan Guru Kampus Tengku Ampuan
Afzan, Kuala Lipis ditingkatkan mengikut keperluan semasa.
"Usaha ini bertujuan supaya lebih ramai guru dalam
kalangan Orang Asli dapat berkhidmat kepada masyarakat mereka sendiri di
samping mengimbangi kadar bilangan guru
mengikut kaum," katanya.
Beliau berkata kerajaan juga sedang merangka mewujudkan
jawatan Pembantu Pengurusan Murid dari kalangan Orang Asli bagi membantu guru
mengurus penyediaan makanan, penjagaan diri dan kebersihan murid.
"Inisiatif kelima adalah penambahbaikan kemudahan
infrastruktur dan prasarana pendidikan Orang Asli.
"Sehubungan itu, kerajaan bersetuju untuk menambah lagi
empat buah Sekolah Model Khas Komprehensif K9. Model K9 ini adalah gabungan
pendidikan rendah dan menengah rendah sehingga Tingkatan 3 yang dilengkapi
dengan kemudahan asrama yang bersesuaian," katanya.
Muhyiddin berkata inisiatif keenam adalah memperkasa jalinan
kerjasama melalui pewujudan hubungan yang lebih strategik dengan rakan sinergi,
rakan di lapangan serta rakan antarabangsa bagi membolehkan hasrat untuk
merealisasikan transformasi itu tercapai.
Beliau berkata inisiatif terakhir adalah mewujudkan satu
Sistem Pengesanan Prestasi Sekolah dan murid Orang Asli.
Menurutnya, sistem itu mengandungi aspek auditan pencapaian
prestasi sekolah-sekolah dan murid Orang Asli yang bertujuan untuk membuat
penambahbaikan dan pembetulan dari semasa ke semasa.- Bernama.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan