PUTRAJAYA : Statistik yang dikeluarkan Jabatan Kemajuan
Islam Malaysia (Jakim) menunjukkan kadar penceraian dalam kalangan umat Islam
di negara ini menurun iaitu sebanyak 27,355 kes tahun lepas berbanding 28,035
pada 2010.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr
Mashitah Ibrahim berkata, statistik pernikahan pula meningkat kepada 140,529
pada tahun lepas berbanding 135,548 pada 2010.
"Walaupun kes penceraian menurun tahun lepas, ia tetap
membimbangkan dan masih perlu diberi perhatian sewajarnya," katanya kepada
pemberita selepas merasmikan Seminar Rumahku Syurgaku di sini Khamis.
Justeru, beliau berkata, usaha sedang dilakukan untuk
mewajibkan setiap pasangan terutamanya penjawat awam mengikuti kursus pasca
perkahwinan yang dijangka dapat membantu menurunkan lagi kadar penceraian.
"Sebagai permulaan kursus itu akan dijalankan di
peringkat kerajaan dan sekiranya
terbukti berjaya, mungkin diwajibkan kepada sektor swasta pula,"katanya.
Mashitah berkata, kursus itu juga akan dimasukkan dalam
salah satu program 1Malaysia Family 1st dengan diurus selia oleh Jakim dengan
kerjasama Jabatan Agama Islam Negeri, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga
dan Masyarakat serta badan bukan kerajaan (NGO). - BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan