Oleh Tan Sri
Alimuddin Mohd Dom
LAMBAKAN maklumat
di alam maya boleh menimbulkan masalah apabila kita disogokkan dengan bahan
yang tidak ilmiah atau yang salah fakta.
Karya asal atau
tulisan tulen dalam bentuk jurnal, ensaiklopedia, majalah, dokumen atau buku
teks banyak tersimpan di perpustakaan awam atau di institusi pengajian tinggi
kadang kala sukar untuk diperolehi jika dibandingkan dengan penggunaan
komputer.
Keadaan akan
menjadi tidak terkawal apabila terdapat penulis yang tidak beretika menulis
sejarah menggunakan fakta dan pendekatan yang salah.
Demikian
kerisauan yang diluahkan oleh Pengerusi Persatuan Sejarah Malaysia (PSM) Tan
Sri Omar Hashim dalam ucapan alu-aluannya semasa berlangsung Seminar Sejarah
Malaysia yang diadakan di Wisma Sejarah, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur pada 20
Jun lalu.
Seminar yang
bertemakan ‘Sejarah, Etnisiti dan Identiti’ dihadiri lebih 200 peserta yang
terdiri daripada ahli-ahli PSM termasuk penggiat, peminat dan pelajar sejarah.
Objektif seminar adalah untuk mengetengah dan membincangkan isu-isu kontroversi
di sekitar sejarah tanah air. Ia turut meneliti permasalahan keetnikan dan
cabaran pembinaan identiti bangsa dalam konteks sejarah nasional.
Ada pendapat
menyatakan bahawa penulisan sejarah boleh berubah mengikut perspektif dan
pendekatan yang dikehendaki oleh penulis dan persekitarannya. Sebagai contoh
semasa saya belajar di sekolah menengah lewat l960-an dalam mata pelajaran
Sejarah, JWW Birch Residen Perak yang pertama dianggap sebagai wira kerana
dibunuh di Pasir Salak ketika menjalankan tugas. Beliau dianggap berjasa kerana
bertugas atas restu Ratu Inggeris dan sedang berusaha melakukan transformasi
terhadap pentadbiran kerajaan negeri Perak terutama menyusun kembali penguasaan
kutipan cukai.
Namun demikian
apabila kita melihat sejarah melalui kaca mata kita sendiri maka wira
sebenarnya ialah mereka yang merancang dan membunuh petualang negara itu. Datuk
Maharajalela, Datuk Sagor dan rakan- rakannya dianggap sebagai pejuang ulung
yang menentang kemasukkan penjajah ketika itu.
Langkah lebih
berkesan telah diambil oleh pihak penguasa tempatan apabila menukar semua nama
jalan bernama Birch kepada Maharajalela.
Dalam konteks
masyarakat majmuk penulisan sejarah mempunyai kaitan yang rapat dengan etnik,
kumpulan status, gender dan warga generasi. Prof. Dr. Kamaruddin M Said dalam
kertas yang bertajuk Kesedaran Sosial dan Pentafsiran Sejarah menyatakan
sebahagian besar penulisan sejarah Malaysia dibina oleh nasionalisme Melayu
khususnya pada pertengahan pertama abad ke- 20. Dengan kejayaan UMNO menjadi
pendukung utama kepada kemerdekaan tanah air maka pentafsiran sejarah dari kaca
mata nasionalis Melayu telah diterima pakai dalam penulisan teks sejarah.
Namun demikian
akhir-akhir ini pentafsiran sejarah telah menerima saingan daripada pihak lain
secara lebih berani. Misalnya Chin Peng tokoh utama Parti Komunis Malaya (PKM)
telah menerbitkan memoirnya yang bertajuk My Side of History (Chin Peng 2003).
Pentafsiran Chin
Peng terhadap sejarah kolonialisme dan kemerdekaan Malaysia adalah antitesis
kepada pentafsiran yang dibuat oleh nasionalis Melayu. Demikian juga buku-buku
yang ditulis oleh tokoh-tokoh penting PKM seperti Abdullah CD, Rashid Maidin,
Shamsiah Fakeh dan Ibrahim Chik menafsirkan sejarah ‘gerakan kiri’ dan PKM
daripada sudut pandangan peribadi masing-masing.
Demikian juga
buku yang berkisar peristiwa hitam 13 Mei 1969 selain buku yang dihasilkan oleh
Tunku Abdul Rahman bertajuk 13 Mei: Sebelum dan Selepas (Tunku 1969) dan buku
Tragedi 13 Mei: Suatu Laporan Majlis Gerakan Negara (Mageran 1969) yang
merupakan laporan rasmi kerajaan, terdapat juga buku lain yang melihat
peristiwa itu daripada perspektif yang berbeza. Antaranya buku yang ditulis
oleh Kua Kia Soong bertajuk May 13: Declassified Documents on the Malaysian
Riots of 1969 yang merujuk banyak dokumen Pejabat Rekod Awam, London. Sementara
itu buku yang bertajuk Patriots and Pretenders: The Malaysan People‘s
Independence Struggle (Kua Kia Soong 2011) mengetengahkan peranan yang
dimainkan oleh ‘golongan kiri’ dalam sejarah perjuangan kemerdekaan.
Sementara itu
bagi Abd Ghapa Harun yang membentangkan kertas bertajuk Memahami Permasalahan
Etnisiti dan Identiti dan Pengaruhnya ke atas Historiografi Negara Berbagai
Kaum, Malaysia menyatakan dalam mengidentifikasi permasalahan negara maka
peranan historiografi dan pendidikan sejarah adalah penting. Menurutnya
diagnosis ke atas historiografi akan dapat meneliti pengaruh dan kesannya ke
atas isu etnik dan identiti.
Dalam abad ke-21,
akibat proses globalisasi di kebanyakan negara, isu kepelbagaian etnik dan
perbezaan identiti semakin ketara. Akibatnya isu keetnikan dan identiti semakin
mendominasi arena politik. Ia menyemarak apabila pelbagai kelompok masyarakat
khususnya etnik minoriti semakin kerap menuntut proses demokrasi dilaksanakan
secara terbuka dan memperjuangkan politik multikulturalisme.
Memuncaknya isu
tersebut mendorong para peneliti sains sosial dan sains politik memberi
perhatian mendalam terhadap implikasi kepelbagaian tersebut ke atas proses
pembinaan negara. Pelbagai saranan telah dimajukan bagi menangani isu tersebut
melalui penulisan, perbincangan dan seminar.
Bagi negara kita
dengan pelaksanaan Sistem Pendidikan Kebangsaan telah dapat mengurangkan isu
keetnikan dan identiti tersebut. Pendidikan menekankan konsep perpaduan di
kalangan pelbagai etnik dan membina jati diri serta mengumpulkan kanak-kanak
belajar di bawah satu bumbung. Malah mata pelajaran Sejarah digunakan untuk
membentuk pemikiran pelajar dan menjadi alat penting bagi pembinaan negara
bangsa.
Atas kesedaran
tersebut Menteri Pelajaran menjadikan mata pelajaran itu wajib dipelajari oleh
semua pelajar. Sejarah bukan sahaja untuk mengenal asal usul tetapi dapat
dijadikan alat mengukuhkan jati diri bagi mengukuhkan perpaduan pelbagai etnik
yang menghuni negara ini.
PENULIS ialah
Pengerusi Yayasan Guru Malaysia Berhad.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan