KOTA KINABALU - Perkembangan teknologi komunikasi dan
maklumat (ICT) di negara ini turut dimanfaat kaum hawa yang merupakan 48
peratus pengguna Internet.
Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga Menteri Pembangunan
Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat negeri Datuk Dr Yee Moh Chai berkata
statistik juga menunjukkan ramai wanita memanfaatkan ICT untuk meningkatkan
taraf sosioekonomi mereka.
"Kemudahan Internet yang ada memberi peluang kepada
mereka sama-sama mempelopori bidang ICT. Mereka setanding dengan lelaki di
dalam mengaplikasikan kemudahan yang wujud melalui perniagaan 'online' walaupun
beroperasi di rumah," katanya.
Yee berkata demikian ketika berucap pada majlis makan malam
sempena Hari Telekomunikasi dan Masyarakat Bermaklumat Sedunia 2012 anjuran
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), di sini malam tadi.
Katanya seminar keselamatan bertema 'Wanita dan ICT' yang
diadakan khusus untuk kaum hawa itu adalah wajar dan tepat pada masanya.
"Ini kerana menurut laporan akhbar, kebanyakan mangsa
jenayah siber terutama yang melibatkan laman sosial seperti Facebook dan juga
pesan ringkas (SMS) berbaur lucah adalah terdiri daripada kaum wanita,"
katanya.
Yee turut menyeru lebih banyak pihak tampil membantu SKMM
dalam mengurangkan jurang digital dan seterusnya meningkatkan penggunaan jalur
lebar di Sabah dengan pelbagai inisiatif baru termasuk peluasan liputan jalur
lebar. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan