Khamis, 7 Jun 2012

ISU EKONOMI : Fahami etika perniagaan dalam Islam



Oleh Nor Hartini Saari

Hak peniaga, pelanggan dilindungi berdasarkan sikap amanah, jujur


DALAM sebuah hadis, Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: “Ceburilah kegiatan perniagaan kerana di dalamnya terdapat sembilan persepuluh sumber rezeki.” (Al-Tirmizi). Dengan mengambil pengajaran daripada hadis itu, setiap peniaga Muslim perlu memahami bahawa pembabitan mereka dalam urusan perniagaan adalah satu ibadat dan sangat dituntut dalam Islam.

Namun begitu, setiap peniaga Muslim wajar mengetahui dan memahami etika perniagaan Islam secara mendalam sebelum berkecimpung dalam bidang perniagaan terutama dalam mengendalikan urusan jual-beli bersama pelanggan.

Tujuan etika perniagaan Islam ini adalah untuk memastikan setiap peniaga yang menceburi dalam bidang perniagaan dapat mengelakkan diri daripada segala sifat keji (mazmumah) dan menghiasinya dengan sifat terpuji (mahmudah).

Keadaan ini penting bagi menjamin kepentingan ummah dapat terpelihara daripada segala unsur yang boleh mencetuskan perbalahan, ketidakadilan, pertikaian, penindasan dan rasa ketidakpuasan hati dapat dihalang. Di samping itu, mereka dapat melindungi hak kedua-dua pihak iaitu antara peniaga sebagai penjual dan pengguna sebagai pelanggan barangan terbabit.

Hak kedua-dua pihak ini perlu dijaga bagi memastikan setiap perniagaan yang dijalankan berlangsung dengan baik dan dapat menjauhi semua unsur penipuan. Dalam al-Quran berulang kali mengingatkan peniaga supaya bersikap jujur dan melarang keras melakukan penipuan serta penyelewengan dalam perniagaan. Peringatan yang berulang kali ini menggambarkan bahawa penipuan dalam bentuk dan kadar yang pelbagai adalah sesuatu yang sering terjadi dalam dunia perniagaan.

Dalam al-Quran Allah berfirman yang bermaksud: “Dan cukupkanlah segala sukatan dan timbangan dengan adil.” (Al-An‘am, 6:152) selain “Dan janganlah kamu mengurangi sukatan dan timbangan.” (Surah Hud, ayat, 84).

Kedua-dua ayat ini menjelaskan bahawa penipuan daripada segala segi adalah haram dalam etika perniagaan Islam. Dengan penipuan akan rosaklah hubungan antara pembeli dan penjual, malah boleh mencetuskan perbalahan dan pergaduhan yang berpanjangan. Oleh itu, sifat jujur peniaga dapat menghindari kesan negatif terhadap perhubungan antara peniaga dan pelanggan mereka.

Begitu juga sebagai peniaga Muslim dianjurkan supaya menitikberatkan kualiti kerja atau hasil atas barangan yang diniagakan. Islam menegah peniaga mengeksploitasi pelanggan dengan menjual barangan yang berkualiti rendah pada harga yang tinggi semata-mata kerana tidak ada orang lain yang menawarkan barangan yang serupa.

Kualiti produk yang rendah tidak dapat menjamin pembelian pada masa depan dan tidak dapat menjamin kesetiaan pelanggan kepada barangan berkenaan. Implikasinya akan membawa kepada kegagalan perniagaan. Barangan yang berkualiti dengan harga yang berpatutan bukan saja dapat meningkatkan jualan tetapi juga dapat menjaga reputasi perniagaan.

Selain itu, sebagai peniaga Muslim, mereka perlu amanah. Islam melarang keras peniaga yang tidak amanah. Peniaga tidak boleh membohongi dan mengkhianati pelanggan, menjual barangan dengan harga terlalu tinggi dan melengahkan pembayaran kepada pengedar atau pembekal barangan ke kedainya.

Misalnya, dalam perniagaan menerusi internet, walaupun peniaga tidak bersemuka dengan pelanggan, namun mereka perlu menjaga amanah dalam memastikan barangan yang ditempah itu sama kualitinya dengan barang yang dipesan.

Penekanan supaya amanah ini disebut dalam ayat al-Quran yang mana Allah berfirman bermaksud: “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanah kepada yang berhak menerimanya.” (Surah an-Nisa ayat 58).

Peniaga yang beretika juga perlu melaksanakan al-‘Adl atau keadilan. Ini bermaksud peniaga harus bersikap sederhana dalam semua perkara tanpa menguntungkan sebelah pihak, layanan sama rata atau saksama terhadap semua pelanggan, memberi pertimbangan yang adil dan tidak berat sebelah serta memberikan hak kepada orang yang berhak.

Dalam erti kata lain, keadilan bererti meletakkan sesuatu di tempatnya yang betul. Allah berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah menyuruh (kamu) berlaku adil dan berbuat kebajikan.” (Surah an-Nahl, ayat 90).

Oleh itu, keadilan dalam perniagaan akan memastikan urusan perniagaan itu adil dan setiap orang sama ada pembeli atau penjual akan mendapat haknya.

Begitu juga dalam setiap perniagaan, sebagai peniaga Muslim hendaklah sentiasa mengutamakan hubungan komunikasi antara pelanggan. Ucap kata-kata manis, saling hormat-menghormati, lemah-lembut dan cubalah mempertimbangkan kepentingan semua pihak.

Selain itu, peniaga hendaklah sentiasa berlapang dada dan berusaha untuk memenuhi keperluan pengguna. Kepuasan pelanggan adalah keutamaan mereka.

Ketepatan masa juga salah satu nilai dan etika yang ditekankan dalam perniagaan Islam. Penggunaan masa secara baik dan berkesan akan dapat membantu peniaga dan pengusaha menyempurnakan kerja dengan cepat, tepat dan menepati masa yang ditetapkan.

Menerusi perbincangan di atas, jelaslah dengan kewujudan peniaga beretika berlandaskan ajaran al-Quran, sudah tentu dapat membentuk peribadi mulia dan seterusnya mencapai kecemerlangan hidup di dunia dan di akhirat.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan