Oleh : EZARUDDIN ABD RAHMAN
HARI Belia Negara 2012 telah melabuhkan tirainya. Saya sendiri telah berada
empat hari berturut-turut menghadiri Perhimpunan Hari Belia Negara yang
disifatkan antara Karnival terbesar di dunia. Semoga sambutan Hari Belia Negara
tersebut akan meningkatkan kekuatan belia Malaysia bukanya memenuhi KPI
Kementerian Belia dan Sukan semata-mata. Adalah menjadi harapan yang sangat
besar untuk kita melihat semangat belia Malaysia dapat dibangkitkan tanpa
pemimpin belia bergantung kepada ahli-ahli politik.
Kita harus perkasakan persatuan belia agar kita dapat melihat lebih ramai
penyertaan golongan belia menyertai persatuan . Majlis Belia Malaysia (MBM)
yang disandarkan harapan yang besar untuk membawa suara belia harus benar-benar dapat memikul tugas tersebut dengan
penuh tanggungjawab. Kita tidak mahu melihat pemimpin MBM hanya sebagai
jurucakap Kementerian Belia dan Sukan tetapi sebaliknya menjadi jurucakap kepada aktivis belia di negara ini.
Kuasa belia adalah penentu kepada masyarakat Malaysia. Jumlah belia di
negara kita sudah mencapai 11.9 juta orang iaitu 41.5 peratus daripada jumlah
keseluruhan penduduk Malaysia. Jumlah ini sudah jelas menunjukkan bahawa suara
dan sumbangan belia kepada semua aspek pembangunan negara adalah juga setara
penting. Hanya orang yang nyanyuk sahaja akan memperlekehkan peranan belia
dalam masyarakat.
Pemimpin belia harus radikal untuk memastikan nyalaan perjuangan belia
dapat didengari. Kita harus radikal daripada suara perjuangan belia bukanya
radikal daripada perbuatan seperti membaling objek, malah memusnahkan kereta
polis. Kita amat terpegun apabila belia Malaysia yang berhimpun di Putrajaya
lebih matang tanpa mengadakan apa –apa jua tindakan yang memusnahkan harta
benda awam.
Belia Malaysia memperkuatkan jati diri dan menghormati Perlembagaan
Persekutuan, sekali gus tidak terpedaya dengan budaya merosakkan imej negara,
malah mereka juga perlu mengamalkan sikap berprestasi tinggi dalam kepimpinan,
selain mempunyai sifat kesederhanaan, toleransi dan integrasi selaras dengan
konsep 1Malaysia.
Mereka perlu berfikiran kreatif dan inovatif serta membentuk idealisme
radikal tetapi rasional untuk memimpin negara pada masa depan. Malah, belia
perlu mengamalkan demokrasi dalam kepimpinan serta adil dan bijaksana untuk
membuat keputusan serta penilaian terhadap sesuatu isu.
Kita juga berharap agar pemimpin politik yang ingin mendampingi belia harus
menanggalkan baju protokol mereka untuk menghilangkan rasa penghalang semangat
kemesraan. Mereka harus meninggalkan kereta mewah mereka di garaj rumah
masing-masing sebelum berjumpa belia dengan menaiki kenderaan nasional.
Sebenarnya ramai golongan belia lebih suka akan program santai dan tanpa
banyak protokol. Program belia tidak memerlukan khemah yang mahal dan hidangan
yang mewah untuk mengadakan program tidak seperti program politik yang
berbelanja besar. Saya amat tertarik dengan cara Timbalan Menteri Pengajian
Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah yang lebih mesra belia. Beliau boleh
berkomunikasi melalui beliau melalui Facebook dan Twitter, malah jemputan
program boleh dibuat melalui SMS sahaja. Inilah kehendak belia kita pada hari
ini.
Parlimen Belia yang diwujudkan oleh Kementerian Belia dan Sukan baru-baru
ini harus mengajar belia dengan cara belia. Kemewahan penginapan di hotel mewah
akan mengajar pemimpin belia dengan sifat kesenangan dan boleh menghilangkan
semangat idealis mereka. Walaupun pada asalnya penubuhan Parlimen belia ini
menimbulkan pelbagai persepsi masyarakat, kita tidak mahu mereka pulang ke
tempat masing-masing dengan tangan kosong dan kita berharap mereka akan
mempunyai semangat untuk berjuang.
Belia Malaysia berharap peranan mereka diiktiraf oleh pihak kerajaan. Masih
terdapat lagi pelantikan ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan dilantik daripada
orang-orang politik sahaja tetapi pemimpin belia sekadar di pinggiran
semata-mata. Hal ini menyebabkan banyak program Pihak Berkuasa Tempatan kurang
mendapat sambutan daripada golongan belia. Begitu juga Lembaga Pelawat Hospital
juga banyak terdiri daripada orang politik.
Kita harus menyedari bahawa Kuasa Belia mampu mengubah landskap politik
negara. Mereka juga mempunyai kuasa undi yang tinggi dan seharusnya kita
memberi pengiktirafan sewajarnya kepada mereka ini. Pemimpin belia bukan
gilakan kuasa, malah darjat tetapi mereka menawarkan diri untuk memberi sumbangan kepada masyarakat Malaysia.
Dalam pemilihan Tokoh Belia Negara akan datang, kuasa pemilihan perlulah
diberikan kepada pemimpin belia untuk memilih bukan hanya diberikan kepada
orang yang bukan belia. Adakah pemilihan tokoh belia ditentukan oleh tiga orang
panel penilai semata-mata?
Pemimpin belia akan mengenal pasti siapa yang aktif dan memberikan sumbangan bukannya
berdasarkan persepsi atau dokumen di atas kertas semata-mata. Ramai tokoh belia
telah bergerak aktif dalam pergerakan belia sejak usia belasan tahun lagi
tetapi ramai terlepas pandang kerana kita sibuk melantik panel profesional.
Semoga Sambutan Hari Belia Negara 2012 akan membawa makna yang besar kepada
belia bukan hanya sekadar bergembira semata-mata. Dengan tema ‘Jadikan Hari
Esok Lebih Baik Dari Hari Ini’, sebagai sebuah harapan yang besar kepada Belia Malaysia,
kita mahukan peranan belia dapat dikembangkan dalam pelbagai bidang dan
peringkat. Pemimpin belia juga harus berani bersuara dan menegur serta memberi
apa-apa jua padangan mereka. Banyak pertubuhan belia rasa sedih kerana suara
mereka diketepikan. Kita berharap penyertaan banyak kementerian dalam sambutan
kali ini akan memberi satu idea kepada mereka untuk membantu belia.
Golongan belia harus dibantu dalam banyak aspek termasuk memulakan perniagaan
dengan bantuan kewangan. Terdapat juga agensi yang meminta surat sokongan ahli
politik untuk mendapatkan tajaan kepada belia.
Apa salahnya mereka mendapat sokongan daripada pemimpin Belia Daerah malah
Pengerusi Majlis Belia Negeri dalam mendapatkan bantuan kewangan. Sebagai
pemimpin belia kita tidak mempunyai apa-apa kepentingan dan kita bukanya
menagih kontrak-kontrak jutaan ringgit untuk kaya raya. Pemimpin belia tidak
digajikan dan bergerak dengan wang keringat sendiri. Hargailah Belia Malaysia
dan mereka mampu memberi sumbangan yang besar kepada Malaysia.
Kita ingin mendengar suara lauangan anak muda untuk negara bukannya laungan
belia untuk J-Pop atau K-Pop. Pergerakan Belia Malaysia harus diperkasakan dan
dijadikan medan untuk melahirkan pemimpin negara. Ramai pemimpin negara kita lahir
daripada persatuan belia di negara ini.
Kita juga berharap agar suatu hari nanti, kerajaan akan mewujudkan
Kementerian Belia sahaja agar lebih fokus dan tersusun.Hal ini kerana Menteri Belia dan Sukan terbahagi
kasih sayangnya kepada dua iatu sukan dan belia. Semoga harapan kita selepas
Hari Belia dapat melihat pengembangan potensi belia dapat diperkasakan. Kita
tidak mahu harapan belia seperti tragedi sebuah cerita novel Tenggelamnya Kapal
Van Der Wijck.
Penulis ialah Naib Presiden Gabungan Pelajar
Melayu Semenanjung
Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan