Oleh : PROFESOR MADYA DR. SIVAMURUGAN PANDIAN
PERPADUAN menjadi kekuatan negara ini. Banyak negara yang punah akibat
ketegangan hubungan warganya sehingga berakhir dengan konflik berterusan namun
Malaysia masih aman. Dalam senarai Indeks Keamanan Global (GPI), kedudukan
Malaysia tahun lalu meningkat ke tangga ke-19 berbanding tempat ke-22 tahun
sebelumnya; mendahului Singapura dan kedudukan paling atas dalam kalangan
negara Asia Tenggara dan kedua di belakang Jepun di Asia.
Selepas 55 tahun, kita masih bercakap mengenai perpaduan dalam kalangan
masyarakat yang rencam. Apakah perpaduan gagal hari ini ataupun keupayaan
mengurus kepelbagaian oleh pihak berwajib membolehkan negara terus dilimpah
dengan pengiktirafan dan penghormatan oleh dunia luar?
Dalam pertemuan dengan ketua-ketua agama, Perdana Menteri Datuk Seri Najib
Tun Razak pernah menyampaikan hasrat hati bahawa tanpa adanya perpaduan,
kerajaan akan gagal merealisasikan Pelan Transformasi di bawah kepimpinan
beliau.
Apabila menyampaikan ucapan pelancaran Program Transformasi Kerajaan dan
Program Transformasi Ekonomi pada April lalu sempena tiga tahun Najib menjadi
Perdana Menteri, kesemua perincian pencapaian adalah kerana adanya sifat
kepunyaan dan unjuran dasar untuk memastikan transformasi sebagai satu
perjalanan tidak terganggu disebabkan oleh pelbagai aliran politik yang
berbeza.
Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dalam titah sempena
Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong minggu lalu bertitah agar rakyat bersatu
padu dan tidak bermusuhan antara satu sama lain yang boleh membawa musibah jika
terlalu selesa dengan apa yang dinikmati selama ini.
Dalam persekitaran sedemikian rupa, kita mesti mengimbas semula -
mengapakah pemimpin era kemerdekaan bersedia melakukan pengorbanan dan kompromi
yang cukup bermakna ketika itu? Adakah ia bersifat strategi politik semata-mata
atau sememangnya pemimpin-pemimpin ketika itu sudah boleh menjangkakan rakyat
negara ini akan bertelagah jika tidak digambarkan wujudnya ikatan kepimpinan
pelbagai etnik sebagai teras untuk memimpin dan menerajui kerajaan.
Kerajaan yang ampuh adalah berasaskan kepada tadbir urus yang memahami
keperluan dan kemahuan rakyat sebagaimana yang telah dan sedang dilakukan oleh
pentadbir hari ini.
Yang nyata, pemimpin menjadi lambang kekuatan dalam sesebuah negara
pelbagai etnik dan jika mahu meninggalkan negara yang makmur, sejahtera dan
hidup berukun untuk generasi akan datang, maka pilihannya ada pada rakyat
sendiri.
Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah turut bertitah bahawa: "Sekalipun
atas nama politik atau apa-apa organisasi janganlah sehingga sanggup meletakkan
ia melebihi kepentingan negara, hatta mengucar-kacirkan keharmonian. Ini
ternyata suatu perkembangan yang tidak sihat dan sewajibnya dielakkan."
Sehingga ke hari ini, Malaysia masih merupakan salah satu model yang
menjadi rujukan kepada perpaduan dan keamanan dunia. Ramai yang sangsi
kemampuan Malaysia membina sebuah negara-bangsa berakarkan kepada kepelbagaian
etnik.
Walaupun melalui proses pasang-surutnya terutama ketika berlaku rusuhan
perkauman 13 Mei 1969 diikuti dengan peristiwa Kg. Rawa pada tahun 1998 dan Kg.
Medan 2001 serta beberapa percakaran berterusan, akhirnya Malaysia masih gagah
walau diasak dengan pelbagai cabaran dan rintangan untuk mengurus kepelbagaian
etnik.
Malahan, perpaduan Malaysia diiktiraf dunia. Kejayaan untuk menyatupadukan
rakyatnya dalam berhadapan dengan konflik perkauman menerima sanjungan pemimpin
dunia dan pengiktirafan sebagai sebuah negara contoh. Keharmonian kekal.
Antara realiti dan persepsi, yang nyata kemuafakatan adalah simbol
penyatuan masyarakat pelbagai etnik. Sambutan pelbagai perayaan turut menjadi
salah satu petunjuk bahawa ia bebas diteruskan kerana adanya warisan daripada
nenek-moyang sesebuah etnik. Zahirnya, persekitaran untuk meneruskan amalan dan
ritual sendiri juga terkelompok dalam kepompong ini.
Namun, apakah hari ini kesopanan dan kesusilaan yang turut menjadi kerangka
Rukunegara sudah mula luntur akibat manipulasi percaturan politik? Di manakah
titik keseimbangan yang dipersetujui sebelum ini melalui kontrak sosial dan
apakah sudah mula hadir individu yang menyoal kedudukan institusi Raja-raja
Melayu kerana fahaman kepartian politik atau kerana partisipasi politik yang
jumud dengan idealisme sendiri tanpa mahu menebuk ruang kosong untuk melihat
kelemahan mereka sendiri.
Kepercayaan yang pelbagai tidak menyekat seseorang untuk bertanggungjawab atas nilai etnik dan kenegaraan tetapi sama ada ia boleh terus stabil
bergantung kepada sikap yang rasional terutama dalam mengetepikan kepentingan
politik mahu berkuasa dan berkedudukan dalam struktur pentadbiran negara.
Kepentingan jangka pendek perlu ditolak jika negara menjadi kepentingan
mutlak kesemua rakyat negara ini. Penggunaan pendekatan negatif berkecenderungan untuk membawa kepada
kepincangan dan mengganggu apa yang sudah dibina selama ini. Pendekatan ini
tidak boleh dibenarkan kerana ia akan lebih merugikan dan menyebabkan institusi
yang selama ini berfungsi untuk meningkatkan taraf hidup masyarakat diperkosa
oleh mereka yang tidak bertanggungjawab melainkan mahu memenuhi nafsu politik
sendiri.
Negara ini sudah pesat membangun. Negara ini tidak boleh mencapai
modenisasi dan industrialisasi tanpa pemimpin yang berwibawa dan rakyat yang
berteduh di bawah payung panji-panji penginstitusian yang sedemikian rupa
acuannya disesuaikan dengan komposisi kependudukan, geografi serta tatacara
kemasyarakatannya.
Mencorakkan budaya hidup ke arah pembentukan masyarakat berdaya saing
adalah tanggungjawab kerajaan dan pemerintah yang sentiasa cuba menghindari permusuhan etnik
dan perbezaan keagamaan agar nilai muhibah tidak gugur angkara golongan yang
tidak bertanggungjawab.
Pengiktirafan perpaduan tidak diberikan kepada mana-mana negara kecuali
sebagai satu penghormatan kepada yang berkelayakan dan Malaysia merupakan salah
satu yang tergolong dalam kumpulan tersebut.
Jika badan luar boleh melihat kecemerlangan Malaysia memperkasakan nilai
keharmonian, mengapa masih ada yang menjadi warga bertopengkan kewarganegaraan
Malaysia tetapi mengkritik setiap langkah yang diambil oleh pihak berwajib?
Apakah kepentingan politik melangkaui kepentingan kenegaraan sehingga memalukan
negara dan kerajaan kerana berbeza mazhab politik?
Perlu diakui mengurus hubungan etnik merupakan satu usaha berterusan dan
sentiasa memerlukan pemantauan dan mekanisme yang disesuaikan dengan perubahan
persekitaran. Kejayaan hanya boleh dipertahankan jika masing-masing jujur dan
ikhlas dalam memastikan perpaduan tidak dikompromi dengan desakan unsur
politik. Kelemahan diakui dan langkah penambahbaikan diambil oleh kepimpinan
hari ini dan penyampaian yang jauh lebih baik juga bergantung kepada rasa
tanggungjawab rakyat sendiri.
Persimpangan perpaduan, banyak
ranjau dan onak yang perlu dilalui tetapi jika kesemua warga memahami dan mahu
memahami kepentingan ia disuburkan dengan nilai kemanusiaan tanpa ada perasaan
syak wasangka dan curiga serta kepentingan sendiri, pengiktirafan ke atas
Malaysia akan dianggap sebagai berkat kesinambungan warisan kepimpinan yang
tidak menyimpang daripada amanat pemimpin kemerdekaan agar kompromi dan
pengorbanan dipertahankan demi generasi akan datang.
Dalam meraikan pengiktirafan perpaduan, ia adalah pemilikan kita; warga
yang bangga menjadi rakyat Malaysia bersama dalam susah dan senang menempuhi
kemelut dalaman dan luaran negara.
Penulis ialah pensyarah di Pusat Pengajian Sains
Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan