Oleh : Azmi Hassan
TIDAK penting apa jua ungkapan yang digunakan untuk
menggambarkan strategi terbaru Amerika Syarikat (AS) di rantau Asia Pasifik.
Kesemuanya itu menggambarkan rantau ini bakal melalui senario yang lebih
genting kerana bertapaknya dua kuasa besar iaitu Washington dan Beijing.
Era AS sebagai kuasa paling berpengaruh di Asia Pasifik
semakin berakhir dengan kemunculan China sejak sedekad lepas. Presiden AS
Barack Obama menggunakan ungkapan ‘pangsi’ untuk menggambarkan strategi terbaru
Washington yang akan menggunakan rantau ini sebagai pemangkin untuk melonjak
pengaruh global mereka.
Bagaikan untuk meredakan kegusaran masyarakat antarabangsa
terhadap ungkapan pangsi yang ditafsirkan sebagai agak keras, Setiausaha
Pertahanan AS Leon Panetta menegaskan strategi terbaru tersebut merupakan
pengimbangan kekuatan tentera AS di antara Atlantik dan Pasifik.
Panetta memperkenalkan ungkapan terbaru tersebut ketika
menghadiri Dialog Shangri-La di Singapura beberapa hari lepas.
Sama ada dasar pangsi atau pengimbangan, strategi AS begitu
jelas untuk menjadikan Asia Pasifik sebagai pangkalan tumpuan kekuatan
ketenteraan mereka, terutama sekali angkatan Tentera Laut AS (USN).
Pada ketika ini penempatan aset USN adalah seimbang di
antara Atlantik dan Pasifik. Tetapi menjelang tahun 2020, Panetta menegaskan
kekuatan USN akan tertumpu di Pasifik dengan kelebihan nisbah 60:40.
“Penempatan terbaru ini termasuk enam kapal induk,
sebahagian besar kapal perang, kapal pemusnah, kapal gempur pesisir dan kapal
selam," tegas Panetta pada persidangan pertahanan anjuran Institut
Antarabangsa bagi Kajian Strategik. Sehubungan dengan itu Singapura telah pun
bersetuju dengan rancangan penempatan empat kapal gempur pesisir (LCS) AS di
Pangkalan Tentera Laut Changi.
Perlu ditegaskan bahawa LCS yang akan ditempatkan di
Singapura mempunyai teknologi paling terkini dan termaju sesuai utuk dijadikan
sebagai pangkalan hadapan tentera marin AS di rantau ini. Panetta juga
mengumumkan jet pejuang terbaru dan termahal AS iaitu F-35 juga akan
ditempatkan di Asia Pasifik dan besar kemungkinan di Jepun.
Agak membimbangkan juga bahawa kapal selam kelas Virginia
yang mempunyai sistem peluru berpandu tercanggih juga dalam perancangan
penempatan di Lautan Pasifik. Tidak menghairankan mengapa kapal selam sebegini
dipilih kerana kemampuan menyerang yang tinggi dan sesuai untuk perairan sama
ada yang cetek atau dalam.
Strategi pengimbangan ini sudah pasti akan membuatkan negara
Asia Pasifik melakukan perubahan kekuatan ketenteraan masing-masing supaya
tidak ketinggalan. Sebagai contohnya jumlah pembelian senjata tahun 2011 negara
rantau Asia telah melampaui negara Eropah dan perbezaan antara Pasifik dan
Atlantik ini akan menjadi lebih ketara akibat strategi pengimbangan AS.
Pada satu ketika pemilikan kapal selam negara Asia Pasifik
hanya dipunyai oleh beberapa negara elit kerana kosnya yang agak tinggi dan
keperluannya yang agak terhad. Tetapi pada hari ini selain negara tradisi
seperti China, India, Korea Selatan, Australia dan Jepun yang memiliki kapal
selam, Malaysia, Indonesia dan Singapura juga memiliki kemampuan serupa.
Thailand, Vietnam dan Filipina juga sedang membuat
perancangan pembelian kapal selam dan dijangkakan dalam satu dekad akan datang
Lautan Pasifik akan menjadi tuan rumah kepada 170 buah kapal selam.
Memang benar Lautan Pasifik yang begitu luas sudah pasti
mampu menampung kehadiran jumlah kapal selam yang begitu banyak tanpa
mengganggu operasi setiap negara. Tetapi mampukah rantau ini menjadi tuan rumah
kepada dua kuasa besar iaitu Washington dan Beijing memandangkan strategi
pengimbangan AS dan permodenan angkatan tentera China berjalan secara serentak.
Washington memberi jaminan bahawa penempatan armada tentera
laut hanya untuk menentukan laluan Lautan Pasifik sentiasa bebas daripada
ancaman dan tidak ada kena mengena dengan kebangkitan China. Manakala Beijing
pula menegaskan permodenan angkatan tentera mereka hanya untuk menjaga
kepentingan ekonomi China.
Memang benar seperti yang diperkatakan oleh Duta AS ke
Malaysia, Paul W. Jones bahawa strategi pengimbangan adalah untuk mengukuhkan
hubungan ketenteraan AS di samping bersama membanteras kegiatan lanun,
penyeludupan serta melaksana bantuan-bantuan kemanusiaan di rantau berkenaan.
“Oleh itu, AS berperanan untuk bersama mewujudkan
keselamatan dan keamanan di rantau berkenaan. Kita bukan hendak takluk atau
berkonfrontasi tetapi ini satu bentuk hubungan kerjasama AS," tambah
beliau.
Tetapi mengambil iktibar bagaimana AS telah menggunakan
jaringan Trans Atlantik dan juga Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO)
untuk melangsungkan agenda Washington, tidak mustahil perkara yang serupa akan
berlaku terhadap Asia Pasifik.
Begitu juga dengan China kerana melihatkan bagaimana
tindak-tanduk Beijing menangani isu tuntutan bertindih kawasan maritim Laut
China Selatan, adalah begitu sukar untuk mempercayai bahawa rundingan adalah
saluran utama dan bukannya kekuatan ketenteraan untuk menyelesaikan masalah
tersebut.
Jika kehadiran AS mampu mengimbangi China di rantau Asia
Pasifik terutama sekali di Laut China Selatan, perkara sebegini patut dinilai
secara positif kerana Beijing pada ketika ini mempunyai kelebihan berbanding
dengan negara Asia Tenggara.
Tetapi masalah akan timbul jika wujud dua kumpulan negara
Asia Pasifik sama ada yang memihak kepada Washington atau Beijing kerana
senario sebegini bukan lagi sesuai untuk pengimbangan pengaruh tetapi lebih kepada
bibit-bibit tercetusnya konflik.
PENULIS ialah GeoStrategis Institut GeoSpatial dan Sekolah
Perdana, Universiti Teknologi Malaysia (UTM).
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan