KUALA LUMPUR - Indeks Pencemaran Udara (IPU) di beberapa
tempat di Lembah Klang semakin buruk dengan empat kawasan merekodkan IPU tidak
sihat berbanding tiga kawasan sebelum ini.
Indeks yang dikeluarkan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS)
setakat pukul 5 petang ini, mencatatkan bacaan IPU di Cheras bertambah buruk
kepada 105 berbanding 91 sebelum ini.
IPU di Pelabuhan Klang dan Shah Alam, masing-masing
meningkat kepada 147 dan 120 berbanding 130 dan 106 pagi ini. Bacaan IPU di
Kuala Selangor bertambah baik sedikit iaitu 129 berbanding 131 sebelum ini.
Tiga kawasan yang mencatatkan IPU tidak sihat ialah Kuala
Selangor (129), Pelabuhan Klang (147) dan Shah Alam (120).
Sementara itu, 34 kawasan merekodkan IPU sederhana dengan
bacaan antara 51 dan 100 manakala bilangan kawasan dengan IPU yang baik,
menurun kepada 12 berbanding 14 awal hari ini.
Antara kawasan mencatatkan IPU sederhana ialah Petaling Jaya
dan Batu Muda, Kuala Lumpur yang masing-masing merekodkan 99, Banting (95), Sri
Manjung (92), Tanah Merah (88), Putrajaya (78) dan Perai (74).
Kenyataan JAS berkata keadaan kualiti udara yang buruk di
Lembah Klang dan Perak sejak pagi ini adalah disebabkan jerebu rentas sempadan
dari Sumatera, Indonesia.
Keadaan jerebu itu dijangka berlarutan selama beberapa hari
disebabkan ramalan bahawa cuaca kering di beberapa bahagian di utara dan pantai
barat Semenanjung pada masa ini.
Kenyataan itu menambah imej satelit oleh Pusat Kepakaran
Meteorologi Asean menunjukkan peningkatan jumlah titik panas di Sumatera,
Indonesia sejak Selasa.
Imej itu menunjukkan bahawa jerebu bergerak dari Riau,
Sumatera Tengah menuju ke pantai barat Semenanjung Malaysia.
Sementara itu, jurucakap Jabatan Meteorologi berkata hujan mungkin
tidak berlaku dalam tempoh beberapa hari ini.
"Kami meramalkan hujan sedikit di pantai barat
Semenanjung menjelang pertengahan dan akhir minggu depan," katanya.
Negara kini sedang mengalami Monsun Barat Daya, yang pada
umumnya keadaan cuaca panas dan kering. Keadaan itu dijangka berterusan
sehingga September, katanya. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan