Oleh : Muhammad
Dzul Azhan Haji Sahban
SAYA prihatin dengan perkembangan bahasa Melayu di Singapura dewasa ini.
Isu yang sudah sekian lama dibincangkan kini timbul kembali, terutama
menjelang Bulan Bahasa 2012 yang akan berlangsung bulan depan.
Penggunaan bahasa Melayu di sini semakin berkurangan sejak beberapa tahun
kebelakangan ini.
Selain daripada beberapa media seperti Berita Harian , stesen radio dan
televisyen, penggunaan bahasa Melayu nampaknya 'terhad' atau 'terbatas' di
dalam kelas bahasa Melayu, di masjid dan di rumah, serta ditutur beberapa
Anggota Parlimen (AP) Melayu dalam sesi Parlimen.
Golongan muda, termasuk pelajar Melayu, dan golongan dewasa sering kali
berbual dalam bahasa Inggeris, bahasa campur atau 'rojak' atau bahasa Melayu
pasar walaupun sesama orang Melayu sendiri.
Adakah kita berasa janggal, malu atau rendah diri untuk berbahasa Melayu
dengan baik?
Memang benar bahasa Inggeris adalah bahasa utama dunia, termasuk di
Singapura, dan kita perlu menguasai bahasa Inggeris untuk urusan rasmi seperti
pekerjaan, pendidikan, perniagaan dan banyak perkara lain.
Namun, adalah lebih baik jika kita berupaya menguasai kedua-dua bahasa
Inggeris dan Melayu dengan baik, dan jika mampu, belajar bahasa lain seperti
Mandarin, Arab dan sebagainya.
Kita wajar sedar bahawa bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan Singapura,
atas beberapa sebab seperti sejarah negara ini dan terdapat makna simbolik di
sebalik penggunaan bahasa kebangsaan kita.
Adakah kita sedar bahawa bahasa Melayu juga digunakan dalam lagu
kebangsaan, Majulah Singapura, pencetakan duit syiling dan wang kertas,
perintah perbarisan dalam pasukan seragam serta digunakan dalam Jata
Negara/Lambang Singapura (Coat of arms) seperti dalam dokumen rasmi pemerintah,
bangunan pemerintah dan pasport.
Lantaran itu, jika kita sebagai anak watan Melayu berasa kekok atau segan
berbahasa Melayu, janganlah pada suatu hari nanti kita terkejut jika bahasa dan
lagu kebangsaan kita tidak lagi dalam bahasa Melayu.
Bayangkan juga jika pada masa hadapan, tiada lagi saluran televisyen, radio
dan media cetak dalam bahasa Melayu kerana permintaan dan penggunaannya yang
semakin berkurangan.
Penggunaan bahasa Melayu sangat luas di rantau ini seperti di Malaysia,
Indonesia dan Brunei dan bilangan penutur bahasa tersebut begitu ramai.
Gunakanlah setiap kesempatan yang ada untuk berbual dalam bahasa Melayu
bersama anggota keluarga, saudara-mara, jiran tetangga, kawan sekerja, kenalan
atau sesiapa sahaja yang bergelar Melayu.
Luangkanlah sedikit masa untuk membaca buku, akhbar atau majalah dalam
bahasa Melayu.
Gunakanlah kreativiti seperti mencari makna perkataan yang sukar menerusi
kamus, menterjemah kosa kata yang menarik ke dalam bahasa Inggeris atau
sebaliknya, menulis surat, puisi atau diari dalam bahasa Melayu secara berkala
dan pelbagai kegiatan lain yang seronok bersama anggota keluarga, terutama
sekali bersama anak-anak kita.
Akhir sekali, kita sering lihat beberapa bangsa lain seperti Cina, Jepun,
Perancis dan Arab begitu bangga dengan bahasa ibunda dan budaya mereka.
Kita wajar mencontohi sikap mereka dalam memelihara dan mengekalkan bahasa
ibunda mereka, di samping itu, alangkah baiknya jika kita juga berupaya
menguasai bahasa Inggeris dan beberapa bahasa utama dunia yang lain.
Sumber : http://cyberita.asia1.com.sg/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan