Oleh ARIF ATAN
BARU-BARU ini dilaporkan hanya 2.1 peratus daripada lebih
1.12 juta permohonan sebagai penjawat awam terdiri daripada pemohon berbangsa
Cina. Penyertaan kaum Cina untuk mengisi jawatan dalam pasukan beruniform juga
begitu rendah.
Umum mengaitkan gaji kecil dan lambatnya kenaikan pangkat
punca kaum bukan Melayu terutama Cina tidak berminat untuk menyertai sektor
awam.
Namun, kedua-dua penyebab tersebut yang lebih berkaitan
dengan faktor ekonomi bukanlah punca tunggal mereka bersikap dingin terhadap
sektor awam.
Faktor sosial dan budaya juga tidak kurang penting dalam
mempengaruhi pola keinginan kaum Cina untuk memilih kerjaya dalam sektor awam.
Sebahagian anak muda Cina tidak menempuh alam persekolahan
di sekolah kebangsaan. Meskipun mungkin bertemu dengan rakan dari kaum lain di
sekolah mereka tetapi pergaulan mereka tetap lebih dominan dengan kaum mereka
sahaja.
Akibatnya, usia 'rebung' mereka tidak dilentur dengan ciri
dan nilai-nilai untuk memahami pola kebudayaan dan kerangka pemikiran kaum lain
terutama masyarakat Melayu.
Ruang sosial semakin vakum terhadap sifat kemajmukan negara
ini yang mereka tempuh di sekolah kemudian diteruskan apabila pulang ke rumah
dan menghadap media massa.
Berkembangnya pelbagai saluran televisyen yang bersifat
khusus mengikut kaum misalnya melanjutkan lagi ciri keterasingan rakyat
Malaysia keturunan Cina untuk mengenali nilai budaya selain kaum mereka.
Apabila mereka keluar dari rumah pula apa yang ditempuhi
masih berlegar dalam kepompong komuniti mereka sahaja. Akibat pola penempatan
kita yang masih tipikal dengan kaum Cina tertumpu di kawasan-kawasan bandar,
sebahagian besar kanak-kanak Cina akhirnya hanya memiliki ruang bermain yang
tidak merentas warna kulit dan budaya lain.
Mereka tiada pilihan dan peluang untuk bergurau senda
seterusnya kenal hati budi kaum Melayu sebagai teras masyarakat dan kebudayaan
negara ini. Anak muda Cina mengalami zaman kanak-kanak yang terasing daripada
kaum Melayu akibat dasar pembangunan kita yang menjadikan kawasan bandar,
pinggir bandar dan kawasan yang asalnya kampung baru terus pekat dengan
dominasi kaum Cina sahaja.
Interaksi kaum di pasar malam, meraikan sambutan Rumah
Terbuka sempena sesuatu perayaan mahupun berkongsi menaiki LRT belum cukup
mensosialisasikan masyarakat berbilang kaum kita untuk saling mengenali dan
memahami sejak kecil secara alamiah.
Ruang sosial bukannya boleh dibuat, dipaksa atau bersifat
pesta semata-mata. Tempatnya tidak lain tidak bukan adalah melalui amalan
'berkongsi ruang' iaitu bersekolah di bawah bumbung yang sama serta bertemu dan
bermain di padang atau tempat rekreasi yang sama dalam sesebuah kawasan
penempatan.
Pergaulan kanak-kanak Cina yang lebih kerap dalam masyarakat
Melayu di dalam dan luar sekolah itulah seterusnya nanti akan membentuk cara
fikir mereka yang lebih terbuka apabila melangkah ke alam pekerjaan nanti.
Mereka tidak akan prejudis atau menganggap perkhidmatan awam
khusus untuk orang Melayu. Tidak timbul lagi rasa takut sebaliknya wujud
kesedaran untuk bersama- sama berkhidmat kepada negara dengan mengisi borang
jawatan kosong dalam sektor awam.
Keupayaan kita menangani faktor sosial inilah kemudiannya
akan menyumbang kepada peningkatan pemahaman silang budaya di kalangan
masyarakat terutama generasi muda kita.
Faktor budaya zaman silam yang dibentuk oleh penjajah
Inggeris pula iaitu pengasingan kaum dalam 'kotak-kotak' sekolah dan penempatan
berbeza sebenarnya dapat kita atasi jika mulai hari ini kita konsisten
merapatkan jurang sosial yang masih banyak lagi wujud.
Berikanlah gaji tinggi atau permudahkan kenaikan pangkat
sekalipun jika pelan jangka panjang yang mengambil kira faktor sosial dan
budaya tidak ditangani terlebih dahulu sampai bila pun kaum bukan Melayu
terutama Cina akan terus dingin untuk menyertai perkhidmatan awam.
PENULIS sedang mengikuti pengajian peringkat Sarjana di
Universiti Malaya.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan