MELATAH
didefinisikan sebagai satu fenomena tingkah laku dikaitkan dengan kaum tertentu
di Asia Tenggara khususnya kaum Melayu.
Berlaku
kebanyakannya di Asia Tenggara terutama di Malaysia, Singapura dan Indonesia,
tingkah laku melatah ini dikatakan tidak ketara (mungkin ada) di negara-negara
Eropah kerana tidak 'digalakkan' oleh masyarakatnya.
Ini kerana bagi
mereka fenomena tersebut dianggap pelik atau seperti satu jenis penyakit.
Tingkah laku
melatah bukan satu perbuatan yang dibuat-buat, sebaliknya, ia berlaku spontan
kerana sudah tertanam dalam diri individu berkenaan.
Namun sekiranya
pada permulaan seseorang itu melakukannya secara berulang kali, lama-lama ia
akan menjadi satu kebiasaan iaitu tingkah laku yang akan dilakukan berulangan.
Ini bermakna ia
satu situasi yang sukar untuk ditinggalkan apabila tingkah laku baru (perkara
yang menjadi kebiasaan) mengambil tingkah laku lama dan perkara itu akan
dilakukan berulangan.
Menurut Pakar
Perunding Psikiatri Hospital Pantai Kuala Lumpur, Dr. Daniel Zainal Abdul
Rahman, individu yang melatah suatu waktu dahulu (kira-kira 20 hingga 30 tahun
sebelum ini) khususnya di negara ini, mereka menjadi tumpuan hiburan terutama
di majlis-majlis keramaian.
"Individu
yang melatah suatu waktu dahulu boleh dijadikan sebagai 'kerjaya' kerana mereka
diundang ke majlis-majlis untuk memeriahkan suasana keraian.
"Mereka
diundang atas fungsi tertentu dan ada peranan dalam masyarakat sebagai
penghibur, khususnya di kawasan luar bandar," katanya ketika ditemui,
baru-baru ini.
Dr. Daniel Zainal
berkata, fenomena melatah ini dari segi statistiknya, 80 hingga 90 peratus daripadanya adalah melibatkan
golongan wanita yang telah agak berumur.
Katanya, dari segi
aspek psikologi, orang melatah ini sebenarnya ada ciri personaliti tertentu
iaitu neurotik.
"Biasanya
dari aspek peribadi, individu yang suka mendapat perhatian dan menonjolkan diri
seperti terlibat dalam bidang seni adalah antara mereka yang suka melatah.
"Selain itu
mereka yang tergolong dalam perlakuan ini dianggap mempunyai personaliti yang
celaru, resah atau darah gemuruh, cepat terkejut dan lemah semangat (easily
hyperstartle response) termasuk apabila melihat berita yang menggerunkan serta
mudah mendapat serangan panik (panic attack)," katanya.
Melatah juga
katanya, dikaitkan dengan faktor genetik turun-temurun dalam keluarga kerana ia
ada unsur berjangkit.
Mungkin bukan
daripada ibu atau bapa yang melatah tetapi pak cik atau mak cik yang melatah
juga dapat dijangkiti oleh anak saudara mahupun cucu mereka.
Ahli keluarga
terdedah kepada tingkah laku melatah sekiranya mereka berdepan dengan masalah
psikologi. Ia juga boleh dikaitkan dengan aspek keturunan dan persekitaran yang
mendorong kepada berlakunya keresahan, kesedihan dan kecenderungan mewarisi
personaliti cepat gemuruh.
Menurut Dr.
Daniel Zainal, perilaku melatah sepatutnya tidak lagi digalakkan dalam
masyarakat sekarang kerana ia boleh menjejaskan harga diri si pelatah.
Malah ketika
situasi latah sedang berlaku, orang di sekeliling boleh meredakan si pelatah
dengan menenangkan dirinya.
Caranya ialah
dengan menampar bahu si pelatah lalu mengajarnya mengucap dan beristighfar
beberapa kali sehingga fikirannya kembali tenang dan tenteram.
"Orang
melatah ini sebenarnya tidak suka dijadikan bahan ketawa dan ia boleh
menyebabkan mereka rasa tertekan. Orang melatah akan memberi hiburan kepada
orang lain tetapi pada dirinya ia rasa tidak elok, selain mengundang panik di
kalangan awam dan menyebabkan kejatuhan harga diri," katanya.
Dari aspek
pengurusan katanya, jangan galakkan ahli keluarga mengusik individu yang ada
ciri-ciri melatah jika mereka tahu seseorang itu berpotensi untuk melatah.
Juga jangan
tambah usikan berkenaan sekiranya si pelatah sedang melatah sehingga
menyebabkan proses berkenaan berlarutan.
Jelas Dr. Daniel
Zainal, tiada sebarang ubat untuk merawat latah, namun ia boleh dikawal
menerusi sesi kaunseling psikoterapi perkara-perkara yang boleh menjadi
pencetus kepada latah yang berhubung dari aspek kognitif dan tingkah laku.
"Ketika
melatah, individu ini seolah-olah terpisah dari alam sekeliling, tidak sedar
apa yang berlaku yang membentuk keadaan trance state (di bawah sedar). Pada
ketika ini tahap kesedarannya amat rendah bagaikan bermimpi, ralit atau
seolah-olah dipukau seperti yang berlaku pada pengangkat kavadi ketika
Thaipusam, pemain wayang kulit, penari kuda kepang dan sebagainya,"
katanya.
Menurut Dr.
Daniel Zainal lagi, individu yang melatah boleh menggunakan cara hipnosis untuk
menyelami keadaan di bawah sedarnya yang menyebabkan punca-punca berlakunya
latah.
" Minda
manusia terdiri daripada pemikiran sedar (12 peratus) dan pemikiran di bawah
sedar (88 peratus). Justeru kaedah hipnosis ini akan mencungkil kisah lalu
pengalaman di bawah sedarnya yang mempengaruhi tabiat melatahnya.
"Ini kerana
emosi seseorang dipengaruhi apa yang berlaku kepada individu tersebut
lama dahulu, ia seolah-olah data yang tersimpan dalam pemikiran minda tidak
sedar," katanya.
Menurut beliau,
individu yang melatah ini juga perlu belajar teknik pernafasan yang betul
seperti senaman yoga atau berzikir untuk menangani masalah ini.
Namun katanya,
fenomena melatah ini semakin berkurangan di negara ini khususnya di majlis-majlis
keraian kerana persekitaran masyarakat tidak lagi menggalakkan perlakuan
berkenaan.
"Ramai
masyarakat sekarang sudah tidak 'menggalakkan' perlakuan melatah ini. Sekiranya
mereka tahu individu berkenaan melatah, mereka tidak akan cuba mengusiknya.
"Bahkan
generasi muda mungkin ramai yang tidak tahu apa itu melatah kerana sudah jarang
terlihat dalam masyarakat sekarang," kata Dr. Daniel.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan