Oleh : PROFESOR MADYA DR. SIVAMURUGAN
PANDIAN
NEGARA ini telah melalui proses
pembentukan negara bangsa selama hampir 55 tahun walaupun prosesnya bermula
berdekad lamanya. Asas pemikiran kesemua pemimpin adalah ke atas pendefinisian
identiti nasional sebagai warga Malaysia. Yang mahu dicari adalah titik keseimbangan
memberikan definisi kepada budaya bangsa dan kemunculan alam Melayu dengan
pengaruh Hindu, Buddha, Cina, Aceh, Bugis serta kehadiran Islam.
Alam negara dan pemimpin juga
diikat dengan intervensi penjajahan yang cuba menggugat kedaulatan bangsa, membentuk
negara-bangsa acuan mereka serta unsur kapitalisme yang mempengaruhi dasar
kolonialisme ketika itu termasuk dasar 'pecah dan perintah' yang mentadbir-urus
Persekutuan Tanah Melayu dengan pembahagian kepada tiga termasuk Negeri
Bersekutu, Tidak Bersekutu dan Negeri-negeri Selat. British tidak pernah
membuat usaha mentadbir sebagai unit yang sama, malahan lebih tertarik dengan
limpahan sumber tanah air.
Ada juga yang menganggap
Perlembagaan dirangka untuk melindungi kepentingan ekonomi dan pertahanan
British. Ketika itu, ia turut mempengaruhi kedudukan Raja-Raja Melayu tetapi
ramai yang tidak mengetahui bahawa persetujuan Raja-raja Melayu amat signifikan
dalam membawa kemerdekaan kepada tanah air.
Penjajahan juga tidak membawa
perubahan besar kepada masyarakatnya dan ia ketara ketika kemerdekaan Tanah
Melayu pada 31 Ogos 1957. Jika diteliti; yang diperlukan oleh negara bangsa
yang merdeka adalah pembentukan sebuah kerajaan yang ampuh, memahami
persekitaran dan sejarah kedaulatannya.
Yang memudahkan kepimpinan waktu
itu adalah perkongsian kuasa gabungan besar bercirikan kepelbagaian.
Memandangkan kekuatannya adalah kepelbagaian, maka ia memberikan motivasi dan
keazaman kepada kepimpinan tersebut untuk 'berkorban dan berkompromi' kerana
asas kepada warisan kepimpinan adalah kepada 'demografi dan geografi' negara
ini terutama faktor penghijrahan akibat pengaruh dagangan dan agama.
Yang ketara, asas pemikiran
pembentukan Perlembagaan adalah untuk membina dan mengisi sebuah negara-bangsa,
maka apakah bentuk yang perlu dibina dan apakah pengisian yang diperlukan?
Sudah pasti pembinaannya adalah
berpaksikan kepada 'Kontrak Sosial': Agama, Bahasa, Institusi Raja-Raja Melayu,
Kedudukan bumiputera dan kaum lain serta Kewarganegaraan. Ia selari dengan
pendirian kepimpinan hari ini sebagaimana yang dinyatakan oleh Perdana Menteri,
Datuk Seri Najib Tun Razak dalam perutusan Hari Kebangsaan Ke-53 pada 31 Ogos
2010 bahawa - 'teras perpaduan kita haruslah bersifat mapan. Untuk itu, asas
integrasi rakyat Malaysia perlu bersandarkan nilai-nilai yang dikongsi dan
dipersetujui bersama oleh semua kaum sepertimana terkandung dalam ideologi
kebangsaan yakni rukun negara dan termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan
sebagai kontrak sosial nasional'.
Teras utama keluhuran Perlembagaan
adalah melahirkan identiti bangsa. Kesinambungan yang wujud hari ini adalah
berasaskan kepada pendirian kepimpinan yang mahu mencari titik keseimbangan
dalam pentadbiran sebuah negara yang rencam dengan alam persekitaran dan
kehidupan yang unik ini.
Dalam mengukuhkan kedudukan
tadbir- urus apatah lagi dengan pemerintahan sendiri, formulanya adalah
tanggungjawab bersama daripada lensa 'perkongsian' dan 'kepunyaan' dalam
lingkaran politik yang terasnya adalah etnik. Asas pemikiran kepimpinan adalah untuk
'mengurus hubungan antara etnik' sebagaimana yang terbukti dari formula 4+1 di
bawah Kontrak Sosial.
Pemimpin mengetepikan beberapa
kepentingan etnik masing-masing; semangat perkongsian hidup sebagai satu
keluarga besar; toleransi, hormat-menghormati; saling faham memahami.
Kepelbagaian memberi kekuatan.
Prinsip asas negara tidak boleh
dikompromi dan generasi baru perlu sedar kepentingannya. Ini kerana
tanggungjawab kewarganegaraan adalah tanggungjawab bersama sebagaimana
termaktub dalam Perlembagaan. Ia bukan Perlembagaan bukan orang Melayu dan ia
juga bukan Perlembagaan untuk orang bukan Melayu; Perlembagaan Malaysia adalah
untuk keseluruhan warga Malaysia yang bertanggungjawab ke atas tanah airnya.
Sewaktu pembentukan Perlembagaan,
kita berhadapan dengan desakan luaran terutama penjajah dan desakan dalaman
dari orang Melayu dan bukan Melayu tetapi akhirnya sumbangan untuk ketika itu
yang juga membawa kepada penubuhan Malaysia dan penentangan komunis adalah
Perlembagaan.
Keunikan politik gabungan
membolehkan lahirnya Perlembagaan. Tanpa Kontrak Sosial, tidak mungkin wujud
Perlembagaan dan tanpa ada Perlembagaan, Malaysia tidak akan mengecapi 55 tahun
merdeka tahun ini. Kontrak Sosial adalah gambaran hubungan etnik, kemerdekaan,
Perlembagaan dan pemerintahan sendiri.
Kepelbagaian etnik harus dilihat
memberikan kekuatan dan bukan sebagai liabiliti. Perlembagaan pernah diuji
pasca-peristiwa 13 Mei 1969; diuji mengenai resolusi konflik termasuk dilema ke
atas formula yang dipersetujui sebelumnya.
Cabaran besar adalah krisis
identiti dan pembentukan negara bangsa akibat desakan dan bangkangan dan
tentangan dari dalam dan luar. Ekspektasi menggunung tinggi dan pemimpin baru
ketika itu yang mahu melanggar arus kerana kurang yakin dengan politik
akomodasi; membawa kepada politik komunalisme yang ketara pada 1969.
Di manakah 'politik perkauman'
dalam konteks persekitaran politik hari ini; apakah selepas Mac 2008,
masing-masing yakin bahawa kita sudah bergerak melangkaui politik perkauman
atau ia semakin menjadi tebal dalam kalangan segelintir warganya?
Dalam berhadapan dengan krisis
pengisian ke atas negara bangsa, kepimpinan masih meletakkan kepercayaan ke
atas 'mengurus hubungan etnik' bersaratkan kepada nilai 'perkongsian' walaupun
boleh memilih untuk bersifat homogenus dari keutamaan kepada masyarakat yang
heterogenus. Legitimasi ini lahir dari Perlembagaan sendiri dan bukan dokumen
lain walaupun kita turut akan menghubungkaitkan dengan Rukunegara, Wawasan 2020
dan dasar kerajaan yang lain.
Partisipasi politik dan
pendemokrasian juga menjejaki fasa baru dalam persekitaran yang kompleks.
Budaya menyanggahi kepimpinan ketika itu wujud secara halus dan kritikal.
Dalam alam yang penuh emosi dan
kemarahan, kerajaan membuktikan kewibawaan dalam mengurus demografi dan
geografi negara ini untuk menunjukkan bahawa masing-masing perlu
bertanggungjawab ke atas persekitaran yang mereka huni. Kaedah untuk berhadapan
dengan isu sensitif terutama sebagaimana yang sudah dipersetujui di bawah
Formula Kemerdekaan; memperluaskan konsensus politik dengan penjenamaan
'kerajaan perpaduan nasional' diperkenalkan.
Memahami Perlembagaan dan Kontrak
Sosial akan menggambarkan kekuatan dirinya untuk menjadi warga Malaysia yang
setia, bangga dan mahu bersama dalam pertahankan hubungan etnik dan hak sebagai
warga.
Siapa Warganegara? Apa hak
warganegara? Jika merasakan ada 'kebebasan'/hak hari ini, persoalan dari mana
datangnya 'kebebasan'/hak ini mesti dijawab. Hak mempunyai beberapa elemen
termasuk peri-pentingnya hak asasi; kepentingan nilai manusia; pentingnya akal;
hak pemilikan dan kesejahteraan; nilai warisan keturunan dan sistem persanakan
yang terurus dengan baik; dan hak jati diri manusiawi.
Jangan disalahkan Perlembagaan
jika memilih untuk melihat ia hanya dari satu belah kacamata tanpa mahu melihat
keseluruhannya. Perkara 3 (Agama bagi Persekutuan); Perkara 152 (Bahasa
kebangsaan); Perkara 153 (Perezapan kuota mengenai perkhidmatan, permit dsb.,
untuk orang Melayu); Perkara 39 (Kuasa memerintah Persekutuan) dan Bahagian III
(Kewarganegaraan) mesti diketahui secara menyeluruh dan bukan sekadar kiasan
semata-mata.
Perlembagaan dan perpaduan juga
bergantung kepada hubungan resiprokal penggubal, pelaksana dan kumpulan sasar
jika mahu mantapkan kemuafakatan dalam kalangan ahli masyarakat.
Perkembangan kenegaraan telah
menyebabkan ada yang terkehadapan dan ada masih terkebelakang. Namun,
kepentingan 35 peratus di bawah garis kemiskinan perlu dijaga kebajikan akan
tidak songsang dengan kehidupan berkualiti.
Indikator terbaik adalah
tanggungjawab meringankan beban kelompok daripada mana-mana etnik sekalipun dengan
kemudahan asas dan keperluan seharian agar jiwa merdeka Malaysia tidak dicabut
daripada dirinya.
Titik peluh mereka juga menyumbang
kepada kemerdekaan dan pengisian ke atas kemerdekaan serta pembinaan
Perlembagaan. Perlembagaan turut memelihara hak mereka sebagaimana hak warga
lain kerana Perlembagaan Malaysia adalah untuk keseluruhan rakyat Malaysia
tanpa wujud Perlembagaan yang berbeza mengikut latar belakang etnik dan kelas
masyarakat.
Ketika menyingsing 2020, nilai
'kepunyaan' dan 'perkongsian' akan mampu melahirkan bangsa Malaysia dengan
pendefinisiannya merujuk kepada seorang yang bangga menjadi warga Malaysia,
fasih berbahasa Melayu dan menjunjung ketertinggian Perlembagaan sebagaimana
yang dikonseptualisasikan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Penulis ialah Pensyarah Pusat
Pengajian Sains KemasyarakatanUniversiti Sains Malaysia.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan