Oleh IZRA ABD RAHMAN
PUTRAJAYA : Masih terdapat tempat di institusi pengajian tinggi
awam (IPTA) bagi lepasan pelajar Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia
(STPM)/Matrikulasi/Asasi yang layak melanjutkan pengajian mereka.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin
berkata, tawaran tersebut dibuka untuk pelajar yang layak ke IPTA tetapi tidak
mendapat tawaran kemasukan.
Bagaimanapun tawaran yang dibuat nanti bukan merupakan
kursus pilihan yang dipohon pelajar.
"Ada pelajar yang dapat purata mata timbunan (CGPA) 3.0
untuk matrikulasi...dapat keputusan cemerlang dalam STPM tapi tidak mendapat
tempat.
"Mereka yang berjumlah 683 orang ini kalau mereka boleh
terima apa sahaja tawaran yang kita beri berasaskan proses rayuan, mereka boleh
(dipertimbang) mendapat tempat," katanya kepada pemberita di sini, Selasa.
Mohamed Khaled berkata, tempat yang ditawarkan di IPTA di
seluruh negara untuk kemasukan sesi 2012/2013 bagi peringkat ijazah pertama
berkurangan pada tahun ini.
Beliau turut menjelaskan pencapaian keputusan peperiksan
pelajar yang semakin meningkat setiap tahun menjadikan persaingan untuk ke
IPTA, khususnya menjadi sengit.
"Maka ada pelajar yang tak berjaya melanjutkan
pengajian di universiti. Ada yang berjaya tetapi tak berjaya dapat kursus
pilihan mereka," katanya.
Tahun ini, sebanyak 63,467 calon STPM/Matrikulasi/Asasi
memohon menyambung pengajian di peringkat ijazah pertama.
Daripada jumlah itu seramai 52,430 calon layak
dipertimbangkan tempat di IPTA.
"Setelah proses pemilihan, sebanyak 38,549 daripada calon yang layak
ditawarkan tempat di 20 IPTA," katanya lagi.
Terdahulu Mohamed Khaled menyampaikan anugerah kecemerlangan
kepada 48 pelajar yang bakal melanjutkan pengajian di IPTA dalam Majlis
"Impianku Ke Menara Gading" anjuran Kementerian Pengajian Tinggi.
Pelajar tersebut terdiri daripada Orang Kelainan Upaya
(OKU), Orang Asli, atlet, pasangan kembar dan bumiputera Sabah dan Sarawak.
Sumber : http : //www.mstar.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan