Oleh : Datuk Othman Mustapha
PENYELEWENGAN akidah dan masalah ajaran sesat boleh merencatkan usaha
kerajaan dalam membangun ummah dan menyebarkan fahaman Islam di Malaysia.
Faktor ini boleh menyebabkan beberapa perubahan negatif terhadap kepercayaan,
sikap dan amalan dalam masyarakat umat Islam di negara ini.
Di Malaysia, kajian mendapati bahawa ajaran dan amalan sesat bergerak
secara senyap- senyap atau tanpa disedari semasa Islam mula bertapak di negara
ini pada abad ke-15 lagi. Ia dipercayai turut dibawa secara imigrasi yang
membawa fahaman asal yang ada antaranya ciri-ciri ajaran animisme dan adat yang
tidak selaras dengan Islam.
Ajaran sesat yang bergerak cergas di seluruh Malaysia sebelum 1980-an bukan
sahaja telah mengalami pengurangan bahkan kebanyakan dapat dibanteras oleh
pihak berkuasa agama negeri-negeri dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)
dari semasa ke semasa dengan kerjasama pihak yang berkaitan.
Berdasarkan kajian Jakim, ajaran sesat yang dikategorikan sebagai aktif
sehingga Mac 2001 adalah sebanyak 26 kumpulan meliputi pelbagai bentuk amalan
seleweng, penggabungan dengan amalan pembomohan, persilatan serta amalan khurafat
seperti amalan sihir, penggunaan jin atau hantu. Beberapa daripada kumpulan
berkenaan telah difatwa dan diwartakan oleh negeri-negeri sebagai sesat.
Ajaran sesat adalah sebarang ajaran atau amalan yang dibawa oleh orang
Islam atau bukan Islam yang didakwanya berdasarkan kepada ajaran Islam atau
didakwa tidak berlawanan dengan ajaran Islam, tetapi sebenarnya ajaran atau
amalan itu berlawanan dengan akidah dan syariah Islam berdasarkan al-Quran dan
al-Sunnah.
Hasil daripada tindakan agresif yang dilakukan oleh agensi-agensi yang
terlibat dalam usaha membanteras ajaran sesat ini maka jumlah ajaran sesat
tegar di Malaysia akhir- akhir ini dikenal pasti sebanyak tujuh kumpulan.
Kumpulan tersebut adalah kumpulan Al- Arqam/Rufaqa'/Global Ikhwan Sdn. Bhd,
Pertubuhan Kerabat Raja Sakti-penjenamaan semula dari Ajaran Azhar Wahab
(Al-Mansur), Ajaran Ilmu Hakikat, Ajaran Islam Jamaah, Ajaran Qadiani Ahmadiah,
Tarikat Naqsyabandiah Kadirun Yahya dan Ajaran Aurad Ismailiah.
Golongan pengamal ajaran sesat kerap menggunakan beberapa taktik sebagai
umpan untuk mendapatkan pengaruh daripada kalangan masyarakat. Di antaranya
adalah janji dan jaminan yang boleh merangsang seseorang itu terpengaruh untuk
mendapat manfaat duniawi dan ukhrawi.
Sementara itu, cara pergerakan ajaran sesat adalah dengan mendekati mereka
yang mempunyai ciri-ciri seperti jahil, mudah terpengaruh dengan kawan, ghairah
dengan kerohanian, tertipu, ingin berubat penyakit, kesilapan memahami
asas-asas akidah dan disebabkan faktor kekayaan dan mencari pengaruh.
Selain itu, antara faktor penyebab penyelewengan akidah umat Islam di
negara ini adalah kerana tersebarnya buku berunsur ajaran sesat atau melalui
koleksi khas para guru ajaran sesat berkenaan serta individu yang cuba
menonjolkan diri sebagai orang yang arif dalam ilmu-ilmu pengubatan dan agama
yang semata-mata bertujuan memperolehi kepentingan diri atau lain-lain
kepentingan.
Ada pelbagai ciri amalan yang dilakukan oleh kumpulan ajaran sesat ini di
Malaysia dan dikenalpasti oleh pihak berkuasa agama. Antaranya, mempercayai
orang mati boleh memberi pertolongan apabila diseru namanya, bersumpah tidak
akan menceritakan ajaran yang diikutinya kepada orang lain, mengaku dirinya
atau gurunya sebagai nabi, mengaku dirinya memiliki barang-barang peninggalan
Rasulullah SAW seperti pedang dan sebagainya, mempercayai semua ajaran adalah
sama, semua menuju ke syurga, mengakui diri sebagai wali atau mempunyai
keramat, mempercayai gurunya boleh memberi syafaat di akhirat, mengakui dirinya
atau gurunya sebagai Imam Mahdi, meninggalkan sembahyang Jumaat kerana bersuluk
dan lain-lain.
Dalam usaha mengatasi masalah itu, pihak berkuasa agama Islam negeri dan
Jakim bekerjasama erat melalui pelbagai program yang bertujuan mengembalikan
mereka kepada akidah seperti proses pemulihan akidah, program-program
penjelasan akidah dan penerbitan bahan penerbitan.
Selain itu, kerajaan mempunyai strategi dan platform khusus untuk
mengenalpasti dan membanteras ajaran sesat ini antaranya melalui Jawatankuasa
Menangani Ajaran Sesat Peringkat Kebangsaan (JAPAS), proses pewartaan fatwa
yang bermula dari penerimaan aduan, kajian, pembentangan melalui Panel Kajian
Akidah (PKA) seterusnya melalui Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan.
Jakim juga sentiasa memaklumkan perkembangan melalui Majlis Raja-raja dan
Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam (MKI) yang dipengerusikan oleh
Perdana Menteri. Jakim turut mewujudkan strategi Rancangan 5 Tahun Membanteras
Ajaran Sesat yang dibentuk pada setiap lima tahun bagi membendung perkara ini
hingga ke akar umbi.
Secara keseluruhan, saya mendapati dengan wujudnya undang-undang yang
disertakan penguatkuasaan diyakini dapat membendung gejala ini. Walaupun
pelbagai perancangan dilakukan oleh pihak kerajaan, namun ia tidak akan memberi
kesan tanpa kerjasama, bantuan dan kesedaran dari masyarakat bagi mengatasi
gejala tersebut dari terus berleluasa.
Penulis ialah Ketua Pengarah Jakim.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan