Oleh : MOHD. AYOP ABD RAZID
BULAN Ogos dan September merupakan bulan-bulan bersejarah buat negara kita
yang tercinta. Ogos adalah bulan kemerdekaan, manakala September merupakan Hari
Malaysia. Negara kita merdeka pada 31 Ogos 1957, manakala penubuhan Malaysia
pula ialah pada 16 September 1963. Ini bermakna pada tahun ini kita menyambut
hari kemerdekaan negara ke-55 dan Hari Malaysia ke-49.
Antara aktiviti yang boleh dikatakan wajib bagi menyambut bulan kemerdekaan
ialah mengibarkan 'Jalur Gemilang', bendera kebanggaan negara. Bagi mereka yang
nipis sifat kenegaraannya mungkin akan bertanya, "apa faedahnya mengibarkan
bendera" Sebaliknya, bagi mereka yang faham dan menebal semangat
kenegaraannya akan berfikir secara positif erti sebuah bendera.
Walaupun bendera hanyalah selembar kain yang dicorakkan dengan warna dan
lukisan tertentu, namun bagi rakyat yang tinggi sifat patriotisme melihat Jalur
Gemilang mempunyai nilai dan darjat yang cukup istimewa.
Memang makna dan erti sebuah bendera sangat dalam dan berharga. Bagi sebuah
negara berdaulat, bendera merupakan simbol dan juga identiti penting bagi
negara itu. Bendera melambangkan kedaulatan, kemerdekaan dan kebebasan sesebuah
negara. Ia juga memiliki makna ideologi bagi negara itu.
Kajian ilmu tentang bendera (ilmu veksilologi ) yang diasaskan oleh Whitney
Smith, 1957 adalah bukti begitu pentingnya nilai dan makna bendera bagi bangsa
yang bertamadun. Kajian tentang bendera ini cukup luas cakupannya merangkumi
sejarahnya, reka bentuknya, bahagian-bahagian dari bendera tersebut, gaya,
warna, gambarnya, protokol-protokol bendera dan apa jua yang berkaitan dengan
bendera.
Sepanjang sejarahnya, bendera yang digunakan oleh pelbagai bangsa dan
negara itu mempunyai variasi (kepelbagaian) yang unik. Pada awalnya, bendera
digunakan untuk membezakan pihak yang sedang berperang. Dalam sejarah Perang
Salib antara Islam dan Kristian, kedua-kedua pasukan terbabit akan membawa dan
mengibarkan bendera mereka bagi membakar semangat tentera dan rakyatnya.
Tugas memegang bendera biasanya akan diserahkan kepada seorang atau
beberapa pahlawan yang kental semangat juangnya agar tidak jatuh ke tanah.
Mereka akan mempertahankan bendera masing-masing sebagai lambang kedaulatan.
Penggunaan bendera kemudiannya berkembang sebagai simbol kelompok
masyarakat, kelompok agama serta kelompok-kelompok lainnya. Akhirnya, bendera
menjadi simbol negara-bangsa dan juga organisasi-organisasi seperti yang kita
kenal sekarang.
Jelaslah bahawa kewujudan bendera itu mempunyai akar umbinya tersendiri.
Seorang warganegara yang baik dan prihatin terhadap kedaulatan negaranya akan
memberikan penghormatan sewajarnya terhadap bendera tanah airnya. Ia tidak akan
memijak, menconteng dan mengoyakkan bendera tanah airnya.
Ia juga akan memastikan bendera yang ingin dikibarkan itu berada dalam
keadaan yang baik dan sempurna. Bendera akan dilipat dan dibentangkannya dengan
baik dan tertib serta diletakkan di tempat yang bersih dan layak.
Bendera bagi sesebuah negara turut dihargai oleh negara atau bangsa lain.
Misalnya, apabila ketua tertinggi sesebuah negara itu mengadakan kunjungan
hormat ke sebuah negara lain maka bendera negara tamu itu akan turut dikibarkan
mengikut protokolnya. Dalam pertandingan sukan antarabangsa, bendera
negara-negara yang mengambil bahagian akan dikibarkan dengan megahnya.
Namun, kerap juga berlaku bendera bagi sebuah negara dijadikan sasaran oleh
negara lain terutamanya ketika saat krisis kedua-dua negara itu menjadi
genting. Mungkin rakyat dari salah sebuah negara yang berkrisis itu menunjukkan
kemarahan atau protes mereka dengan cara membakar, mengoyak, menginjak-injak
bendera seterunya.
Justeru, sudah sewajarnya di seluruh pelosok tanah air, pada saat bulan
kemerdekaan ini terutama menjelang 31 Ogos yang semakin hampir ini, maka
sepatutnya kita dapat menyaksikan kibaran Jalur Gemilang di premis-premis
bangunan, kediaman dan kenderaan.
Apatah lagi jika ia dilakukan dengan penuh penghayatan terhadap erti sebuah
kemerdekaan. Oleh itu, aktiviti tradisi patriotisme mengibarkan bendera
kemegahan negara pada setiap bulan Ogos tidak boleh dilunturkan dari sanubari
rakyat negara ini.
Justeru, untuk merangsang, membangkit dan melonjakkan momentum kibaran
Jalur Gemilang ini maka Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan akan
menganjurkan program "Kibaran Jalur Gemilang" sebagai aktiviti
menyemarakkan sambutan bulan kemerdekaan negara ke-55.
Program yang dinaungi oleh Datuk Seri Dr. Rais Yatim, Menteri Penerangan
Komunikasi dan Kebudayaan ini akan diadakan 17 Julai 2012 (Selasa) di tiga lokasi di
sekitar Kuala Lumpur. Lokasi-lokasi tersebut ialah di Kampung Baru, Jalan
Petaling dan Little India, Brickfield.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan beberapa orang menteri akan
turut serta dalam program ini. Alangkah meriahnya seandainya orang ramai,
khususnya yang berada di lokasi-lokasi di mana program ini berlangsung dapat
turut serta di lokasi-lokasi yang terbabit.
PENULIS ialah Penganalisis Media di Bahagian
Penerbitan Dasar Negara, Jabatan Penerangan
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan