BUKIT MERTAJAM : Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi
berkata urusan pelantikan seramai 7,975 orang guru lulusan program
pensiswazahan guru, akan dilakukan secepat mungkin.
Beliau berkata pada 23 Mei lepas Kementerian Pelajaran menerima waran untuk
kenaikan pangkat ke DG41 bagi Pegawai Perkhidmatan Lepasan Diploma (PPLD) yang
berjaya menamatkan pengajian di bawah program pensiswazahan guru.
"Penangguhan selama dua tahun untuk pelantikan itu telah menjadi satu
daripada sebab ramai guru yang tidak mahu mengikuti program pensiswazahan.
Pihak kementerian akan usahakan agar perkara ini diselesaikan secepat mungkin.
"Diharapkan ramai lagi guru akan mengikuti program pensiswazahan guru
ini. Ia penting untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan guru di samping
memartabatkan profesion perguruan," katanya kepada pemberita selepas
merasmikan majlis penganugerahan perkhidmatan cemerlang 2012 Jabatan Pelajaran
Negeri Pulau Pinang di sini, Selasa.
Mohd Puad berkata kerajaan menjangkakan pada tahun 2020 semua guru di
seluruh negara mempunyai ijazah. Sejak diperkenal pada 2006 hingga kini,
seramai 70,062 guru mengikuti dan berjaya menamatkan program pensiswazahan
guru.
Beliau berkata kementerian menyasarkan seramai 22,102 orang guru akan
mengikuti program pensiswazahan bagi pengambilan kedua pada September.
"Bagaimanapun sehingga semalam (16 Julai), hanya 3,528 orang yang
membuat permohonan. Diharap ramai lagi guru yang akan memohon," katanya.
Katanya kerajaan memperuntukkan sebanyak RM1.4 bilion bagi menjayakan
program pensiswazahan guru ini.
Guru-guru berkenaan akan mengikuti pengajian jarak jauh di Institut
Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) dari
tiga tahun setengah sehingga empat tahun. -BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan