Selasa, 24 Mac 2009

TERATAK ZA'BA : MEMORABILIA PEJUANG BAHASA


Tanggal 22 Mac yang lalu, dalam perjalanan menghantar anakanda Hanif untuk mendaftar di Sekolah Menengah Sains Seremban, penulis bersama-sama keluarga telah sempat singgah di Teratak Za,ba, yang terletak di Kampong Bukit Kerdas, Batu Kikir, Jempol, Daerah Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

Dalam hayatnya, Pendeta Za'ba( Zainal Abidin Bin Ahmad)sangat dihormati sebagai seorang pakar bahasa, pujangga dan seorang yang tahu bahasa Arab dan Agama Islam. Dalam usaha Za'ba untuk meninggikan taraf bahasa Melayu yang dianggap sebagai wajib diketahui oleh semua orang Melayu, Za'ba telah memberi perhatian yang tidak putus-putus kepada aspek ini. Hal ini dapat dikesan semenjak tahun 1916 lagi dan berakhir bersama hayatnya sendiri pada tahun 1973. Cita-cita Za'ba untuk menghasilkan sebuah kitab mengenai bahasa Melayu sejak berpuluh-puluh tahun yang lampau tercapai dengan terbitnya buku-buku 'Pelita Bahasa Melayu' I, II, III pada tahun 1949.

Pada peringkat pertama, 1916 - 1920, Za'ba telah banyak memperkatakan tentang kelemahan bahasa Melayu dan memberi pendapat-pendapat untuk membaikinya. Pada peringkat kedua Za'ba memulakan penulisannya mengenai bahasa Melayu dengan serius lagi dengan menerbitkan buku-buku mengenainya, walaupun usaha murninya itu telah mendapat halangan. Pada peringkat ketiga terhasillah karya Za'ba yang sebenarnya mengenai bahasa Melayu, iaitu Tatabahasa Melayu yang lengkap pada zamannya. Pengaruh tatabahasa Za'ba ini amat besar sekali terhadap pelajaran dan pengajian bahasa Melayu di Tanah Melayu.