Sabtu, 31 Ogos 2013

ISU KENEGARAAN : Kemerdekaan penuh bermakna


Oleh : NIZAM YATIM

TARIKH 31 Ogos 1957 yang ulang tahunnya disambut hari ini cukup bermakna bagi rakyat negara ini kerana ia menandakan kita telah bebas daripada cengkaman penjajah British.

Detik kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu diputuskan pada tanggal tarikh berkenaan selepas Perdana Menteri yang pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dan beberapa pemimpin UMNO lain meminta pandangan Mufti Pulau Pinang ketika itu yang juga ahli falak, Sheikh Abdullah Fahim.

Menurut Sheikh Abdullah, sekiranya Inggeris tidak memberikan kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, maka tarikh lain yang bersesuaian adalah pada 31 Ogos 1962.

Beliau memilih dua tarikh itu kerana mengikut kiraan hisabnya kedudukan beberapa gugusan bintang dan planet yang penting jelas kelihatan di angkasa Persekutuan Tanah Melayu, khususnya di Kuala Lumpur sebaik sahaja selepas Maghrib sehingga masuk tengah malam tarikh kemerdekaan berkenaan.

Pada tarikh-tarikh berkenaan, jelas kelihatan Buruj Dacing, Buruj Kapal Layar, Buruj Anak Dara dan Buruj Kala Jengking serta planet Musytari dan Zuhrah.

Perkara itu jarang-jarang berlaku dan mengikut firasatnya, fenomena berkenaan dapat memberikan kekuatan yang cukup kepada pemimpin dan rakyat untuk membangunkan negara yang baharu merdeka.

Dalam pada itu, banyak negara-negara lain yang turut mencapai kemerdekaan seperti negara kita terutama selepas Perang Dunia Kedua yang menyaksikan penjajah Eropah berundur daripada jajahan takluk mereka khususnya di benua Afrika.

Cukup menarik, banyak juga negara yang memilih untuk merdeka pada bulan Ogos sama seperti negara kita. Antaranya adalah negara-negara di benua Afrika.

Malah sebuah negara kepulauan di utara benua Amerika Selatan iaitu Trinidad and Tobago turut memilih tarikh 31 Ogos untuk merdeka pada tahun 1962.

Pada hari ini, negara kaya berkenaan yang mempunyai 1.3 juta penduduk turut merayakan ulang tahun ke-51 kemerdekaannya daripada penjajah British.

Pada 1991, banyak negara bekas Kesatuan Soviet (USSR) turut memilih untuk merdeka pada Ogos dan ia termasuk Kyrgyzstan (21 Ogos), Belarus (25 Ogos), Moldova (27 Ogos) dan Azerbaijan (30 Ogos).

Turut berkongsi bulan kemerdekaan yang sama dengan kita adalah negara jiran iaitu Singapura pada 9 Ogos 1965 dan Indonesia, 17 Ogos 1945.

Berbanding negara ini dan Singapura yang kemerdekaan diperoleh melalui perundingan, Indonesia hanya berjaya merdeka daripada penjajahan Belanda setelah berlakunya pertumpahan darah.

Sementara itu, menyentuh mengenai sambutan Hari Kemerdekaan ke-56 kali ini yang bertemakan 'Malaysiaku Berdaulat: Tanah Tumpahnya Darahku', orang ramai pada pagi ini akan menyaksikan perarakan seperti kebiasaannya.

Bagaimanapun, pada tahun ini, perarakan yang melibatkan 16,000 peserta akan lebih banyak memaparkan kelengkapan ketenteraan sebagai bukti kepada rakyat dan dunia bahawa kita bersedia mempertahankan negara sehingga ke titisan darah terakhir.

Ia juga bertujuan mengingatkan rakyat bahawa kemerdekaan negara ini tidak diperoleh secara mudah, ibarat yang pipis datang melayang, yang bulat datang bergolek, sebaliknya ia dicapai melalui pengorbanan semua pihak dan sehubungan itu perlu dipertahankan sampai bila-bila.

Satu perkara lain yang tidak dapat dielakkan setiap kali diadakan sambutan kemerdekaan, sudah pasti akan berlaku kesesakan jalan raya terutama di ibu kota.

Kesesakan itu bukan sahaja pada hari perarakan, malah juga berlaku beberapa hari sebelumnya apabila jalan ditutup bagi memberi laluan kepada persiapan, latihan serta acara sebenar perbarisan sambutan Hari Kemerdekaan.

Antara jalan yang kebiasaannya ditutup adalah Jalan Travers, Jalan Mahameru, Jalan Damansara, Jalan Perdana, Bulatan Hishamuddin, Jalan Cenderasari, Jalan Kinabalu, susur Bukit Aman dan Jalan Raja.

Penutupan jalan biasanya bermula pada pukul 6 pagi dan hanya akan dibuka semula setelah acara tersebut berakhir.

Selain itu, sikap penonton yang suka membuang sampah juga sering mencemarkan sambutan kemerdekaan negara. Oleh itu, bagi mengelak masalah itu berulang khususnya yang membabitkan kesesakan jalan raya, mungkin sudah sampai masanya diadakan sambutan di tempat tertutup seperti stadium.

Kita yakin sambutan di tempat sedemikian tidak akan menjejaskan matlamat acara itu yang mahu meningkatkan semangat patriotik dan cintakan negara dalam kalangan rakyat.

Sambutan Hari Ulang Tahun Ke-68 Proklamasi Kemerdekaan Republik Indonesia pada 17 Ogos lalu yang diadakan di tempat tertutup iaitu di Istana Presiden di Jakarta yang dihadiri oleh Presiden, Susilo Bambang Yudhoyono sudah pasti wajar dijadikan contoh.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU KENEGARAAN : Cabaran meniti masa depan


Oleh :  Shahbudin Embun

Beberapa hari lalu sudah kedengaran lagu tema Hari Kebangsaan 2013. Logo Hari kebangsaan 2013 pun sudah banyak terpampang di merata tempat. Apa yang pasti, kontroversi tahun lepas tentang lagu dan logo Hari Kebangsaan tidak lagi berulang.

'Malaysiaku Berdaulat: Tanah Tumpahnya Darahku' terus menjadi tema sambutan Hari Kemerdekaan negara yang ke-56. Penulis amat bersetuju dengan tema yang dipilih untuk tahun ini. Tema ini berasaskan kepada semangat patriotik dan kesatuan negara bangsa serta memberikan kesedaran kepada rakyat Malaysia supaya bersatu mempertahankan kedaulatan dan keselamatan negara daripada sebarang ancaman musuh.

Apabila membincangkan tentang tema kali ini, penulis terus terbayang akan insiden pencerobohan Lahad Datu dan Semporna. Banyak yang kita boleh pelajari daripada insiden tersebut dan pastinya yang paling penting ialah kita tidak boleh kompromi dalam soal kedaulatan dan keselamatan negara.

Itu sebabnya tema 'Malaysiaku Berdaulat: Tanah Tumpahnya Darahku' sememangnya tepat dan amat sesuai sekali untuk Hari kemerdekaan 2013. Sekarang, apa yang lebih penting ialah sejauh mana kita sebagai rakyat Malaysia menyambut hari kemerdekaan hari ini.

Penulis ingat ketika kecil dahulu, apabila masuk sahaja bulan Ogos, bahang sambutan menyambut Hari Kemerdekaan sudah mula terasa. Ketika itu tidak sabar rasanya untuk melaungkan Merdeka pada setiap 31 Ogos.

Tetapi agak sukar untuk merasainya sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Mungkin ini disebabkan oleh peredaran zaman yang menyaksikan kita semua sibuk dengan tugas harian. Tetapi itu bukannya alasan untuk kita tidak menghiraukan langsung akan Hari Kemerdekaan kita.

Penulis yakin masih ramai antara kita yang prihatin akan perkara ini, ketika ini juga, kita akan melihat pelbagai artikel tentang kemerdekaan sudah terpapar di semua akhbar. Dan kita juga akan melihat pelbagai aktiviti yang sudah dirancang dan bakal dilaksanakan pada Hari Merdeka ini dan Hari Malaysia yang jatuh pada 16 September nanti.

Kita juga akan terus ditanya persoalan yang sama. Sejauh manakah cintanya rakyat Malaysia kepada negara berdaulat ini? Adakah hanya ditunjukkan ketika masuknya bulan kemerdekaan dan dilupakan selepas menyambut Hari Malaysia nanti?

Bagaimana pula dengan generasi hari ini. Sekali lagi perbincangan dan persoalan yang sama akan diutarakan. Kenapa generasi hari ini seperti tidak tahu menghargai semangat kemerdekaan dan tidak ambil kisah tentangnya. Adakah generasi hari ini tidak memiliki semangat patriotik yang tinggi?

Sememangnya perbincangan dan persoalan seperti  ini memang bagus untuk kita-sama-sama membincangkannya. Namun janganlah hanya diperkatakan semasa hendak menyambut kemerdekaan sahaja.

Perkara seperti ini mesti dilaksanakan dan terus dibincangkan secara konsisten dan berterusan agar generasi hari ini dan pada masa akan datang tahu betapa pentingnya semangat patriotisme yang mesti terdapat di dalam diri kita semua.

Sama juga halnya dengan pengibaran Jalur Gemilang. Baru-baru ini ketika menyempurnakan Majlis Pengibaran Jalur Gemilang Peringkat Kebangsaan di Dataran Zero Kilometer, Jam Besar Sungai Petani, Kedah, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan rakyat Malaysia supaya tidak mengibarkan Jalur Gemilang sebagai simbolik atau hanya sebagai satu keperluan untuk menyambut sambutan Hari Kemerdekaan negara.

Najib menegaskan usaha tersebut mestilah disusuli dengan penghayatan dan pengorbanan untuk mendapatkan kemerdekaan yang dihasratkan.

Rakyat Malaysia mestilah mengibarkan Jalur Gemilang dengan rasa bangga dan megah bahawa bendera ini melambangkan identiti jati diri rakyat Malaysia yang kuat semangat patriotik dan cintakan tanah airnya.

Penulis amat bersetuju dengan saranan Perdana Menteri yang tidak mahu Jalur Gemilang dikibarkan tanpa membawa apa- apa pengertian. Semasa kita mengibarkan Jalur Gemilang, berapa ramai di antara kita yang tahu akan latar belakang bendera yang menjadi kebanggaan kita itu.

Kita marah apabila Jalur Gemilang dikoyak dan dibakar, tetapi berapa ramai antara kita yang betul-betul  faham akan falsafah dan pengertian yang terdapat pada setiap warna, jalur, anak bulan dan bintang yang terdapat pada Jalur gemilang. Jika ada di antara kita yang masih tidak tahu, belum terlambat untuk kita menghayati dengan lebih mendalam akan pengertian di sebalik Jalur Gemilang.

Tahun 2013 juga menandakan Malaysia menyambut Hari Kemerdekaan yang ke-56. Jika umur 56 dijadikan ukuran dan disamakan dengan manusia, maka pada kebiasaannya seseorang yang berumur 56 tahun itu, sudah kaya dengan pengalaman dan lebih matang serta sudah berjaya dalam bidang yang diceburi. Dalam hal ini, negara kita Malaysia, boleh dianggap sebagai sebuah negara yang semakin berjaya dan semakin hari bertambah kemakmurannya.

Contohnya, Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Program Tranformasi Ekonomi (ETP) yang diperkenalkan oleh Najib , sedang bergerak dengan lancarnya. Perdana Menteri pernah menjelaskan bahawa Perancangan dan pelaksanaan GTP dan ETP ini bukan sahaja membuktikan iltizam kerajaan untuk membangunkan negara, tetapi juga merupakan satu eksperimen paling berani kerajaan dalam mengamalkan prinsip ketelusan dan kebertanggungjawaban terhadap rakyat.

Melalui GTP dan ETP ini rakyat boleh menilai prestasi kerajaan menerusi laporan tahunan dan berkala yang dikeluarkan dari semasa ke semasa.

Ini adalah wawasan dan misi Najib untuk melihat Malaysia terus cemerlang. Pada masa yang sama, kita juga perlu sesekali menoleh ke belakang untuk menghargai jasa yang dicurahkan oleh ramai para pemimpin sebelumnya yang memastikan Malaysia merdeka daripada sebarang bentuk belenggu penjajahan.

Perdana Menteri juga pernah menegaskan yang negara kini digarapi oleh golongan ketiga yang menyaksikan pemimpin dan rakyat sama-sama berjuang untuk membawa makna kepada kemerdekaan, setelah mengambil alih daripada golongan pertama iaitu pengasas yang berjuang untuk kemerdekaan dan golongan kedua yang berjuang untuk mengisi kemerdekaan. Itu sebabnya kita tidak boleh walau sesaat pun melupakan atau leka dengan perjuangan yang sudah lama diasaskan oleh beberapa generasi sebelum ini.

Dan setelah 56 tahun merdeka serta dalam persaingan global hari ini, kita perlu sentiasa bersedia dengan pelbagai cabaran yang bakal datang. Kita perlu mengingatkan diri kita dan memastikan jati diri yang disemai akan terus bertambah kukuh.

Itu sebabnya kemajuan dari segi ekonomi seperti mana yang sedang diatur oleh kerajaan perlu sentiasa disokong. Dalam hal ini rakyat perlu bersama-sama berganding bahu dengan pucuk kepimpinan negara untuk terus melaksanakan agenda transformasi kerajaan ke arah kemajuan dan kemantapan ekonomi kita semua.

Tidak dapat dinafikan lagi bahawa generasi hari ini memainkan peranan penting dan kita semua perlu memastikan generasi ini memiliki semangat patriotik, kenegaraan dan jati diri yang tinggi untuk terus memelihara dan menjamin kemerdekaan yang berkekalan.

Merdeka! Merdeka! Merdeka!

PENULIS ialah Ahli Majlis Perundingan Melayu Malaysia

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Teks Ucapan PM Sempena Sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia Ke-56


SALAM Sejahtera dan Salam 1Malaysia,

Alhamdulillah, segala puji dan syukur yang setulusnya, dipanjatkan ke hadrat Allah S.W.T., lantaran di bawah lembayung rahmat dan keredaan-Nya, kita sebagai rakyat Malaysia, berpeluang meraikan ulang tahun kemerdekaan negara buat kali yang ke-56 dalam keadaan permai sentosa. Tahun ini juga merupakan tahun ke-50 Sabah dan Sarawak bersama-sama menyambutnya sejak 1963.

Sesungguhnya, bersesuaian dengan situasi semasa, Malaysiaku Berdaulat: Tanah Tumpahnya Darahku, telah dipilih sebagai tema yang tepat untuk Hari Kebangsaan kali ke-56 ini.

Hakikatnya, telah puluhan tahun rakyat Malaysia menempuhi pelbagai perubahan dan transformasi bersama, baik dari sudut politik, ekonomi mahupun sosial. Sepanjang tempoh itu juga, Malaysia menjadi sebuah negara yang berdaulat dan merdeka, bebas dari cengkaman serta belenggu penjajahan asing.

Sesungguhnya, kedaulatan menjadi faktor yang menunjang kita sebagai sebuah negara tidak datang secara bergolek. Telah banyaknya keringat yang mengalir, telah sekian tumpahnya darah pengorbanan. Semua itu hasil perjuangan para pemimpin bersama generasi terdahulu, hatta bersinambungan sampai sekarang.

Maka yang demikian, memiliki kedaulatan bermaksud, kita berhak sepenuhnya dalam segala urusan mentadbir, memerintah dan menentukan sendiri hala tuju negara. Malah, dalam menjiwai kemerdekaan dan kisah-kisah meraihnya, kita juga wajib terus memelihara dan mempertahankan perkara-perkara berkaitan Raja-Raja Melayu, kedudukan Agama Islam, serta keistimewaan Melayu dan Bumiputera, seperti mana bapa-bapa kita terdahulu telah maktubkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Kita menginsafi, dunia kini sering berdepan dengan pelbagai mehnah dan pancaroba. Justeru, kita terdedah dengan pelbagai ancaman oleh dalang-dalang yang cuba mewujudkan sengketa di serata dunia. Umpamanya, krisis dalaman yang sedang melanda di beberapa buah negara Arab, akhirnya bertukar menjadi kecemperaan politik yang berpanjangan.

Pergolakan yang mengorbankan ribuan nyawa rakyat tidak berdosa sebegini, wajar dijadikan iktibar kepada kita semua. Konflik yang sedang berlarutan, seperti tiada kesudahannya. Cahaya di hujung terowong yang dinantikan oleh rakyat mereka, tampaknya masih samar dan buntu. Demikianlah jika perubahan yang ditagih hanya sekadar perubahan semberono. Natijahnya, kemusnahan ekonomi dan pertumbuhan negara akan terjejas pabila tiadanya kestabilan dan perpaduan.

Merujuk ehwal negara kita, peristiwa hitam pencerobohan bersenjata di Lahad Datu, Sabah baru-baru ini turut mengorbankan nyawa para perajurit tanah air. Sudah tentu, tragedi berdarah ini akan menjadi satu pengajaran kepada kita bahawa, Malaysia tidak terlepas daripada terdedah kepada ancaman musuh dari luar.

Hakikatnya, tragedi walang itu telah menyentap benak sanubari rakyat Malaysia, tentang peri-mustahak untuk kekal bersatu, demi mempertahankan kedaulatan negara. Lantaran, kita tidak boleh kunjung jemu untuk menyemai benih-benih jati diri dan pucuk-pucuk semangat cintakan negara di kalangan rakyat, khususnya golongan muda yakni generasi pewaris.

Pendek kata, sambutan Kemerdekaan bukanlah sekadar laungan membangkitkan semangat. Lebih dari itu, ia perlu disulami dengan penghayatan yang mendalam. Sememangnya lagi, kita tidak mahu kemerdekaan hanya pada nama. Pengisiannyalah yang lebih utama, dan terbukti, kita telah pun melalui episod-episod seperti perselisihan antara kaum, krisis kewangan dan kemelut politik. Syukurlah semua itu kita lalui dengan jayanya.

Sesungguhnya jua, perkara utama untuk direnungkan dalam mencapai maksud ulang tahun kemerdekaan adalah, sejauh manakah kejayaan kita sehingga kini dalam mempersiapkan dan mempersembahkan sebuah Malaysia yang progresif bagi ditinggalkan kepada zuriat hari muka.

Jelasnya, pada hemah saya, pelbagai usaha perlu digembleng dan dibugarkan, demi mencelikkan sejarah kepada generasi muda tanpa mengira latar agama, keturunan mahupun budaya. Anak-anak muda sebagai bunga-bunga bangsa perlu terus dibimbing dan diasuh, dipersiapkan dengan jati diri dan diperteguhkan semangat patriotisme mereka. Barulah Malaysia dengan rakyatnya yang berjiwa besar, akan kekal berdaulat lagi merdeka dalam permaknaan sebenar.

Secara tuntas, Malaysia sebuah negara berbilang kaum yang unik di dunia. Keunikan inilah menjadikan kita istimewa dan aset bagi mencapai taraf negara maju berpendapatan tinggi beberapa tahun lagi.

Pucuk pangkalnya, kini bukanlah masanya untuk kita berpecah belah. Walau apa dugaan yang merintang, kita tidak boleh berputus asa, sebaliknya harus mara ke hadapan untuk memajukan negara berasaskan perpaduan nasional. Atas sebab itu, saya yakin dan percaya tiada siapa pun pihak luar yang berhak mengajar kita bagaimana hendak berjalan, kerana kita sudah lama bertatih dan melangkah.

Kesimpulannya, rupa dan wajah Malaysia seperti mana yang kita lihat dewasa ini, telah dibina melalui pelbagai ikhtiar, perancangan teliti, serta strategi yang rapi oleh pihak kerajaan sejak berdekad lalu, mengikut pendekatan serta acuan kita yang tersendiri.

Akhir kalam, saya ingin berpesan kepada semua rakyat Malaysia, hargailah keamanan, peliharalah keharmonian, pupuklah perpaduan dengan mencintai watan. Ayuh, marilah kita berpadu, dengan obor perjuangan yang jitu, demi Malaysia yang satu.

Selamat Menyambut Ulang Tahun Kemerdekaan Ke-56.

Merdeka, Merdeka, Merdeka. Dirgahayu Malaysiaku.

 Sumber : http : //www.utusan.com.my/