Sabtu, 14 April 2012

ISU KENEGARAAN : Mencari wakil rakyat ‘berjiwa rakyat’


Oleh Mior Kamarul Shahid
mkamarul@bharian.com.my


TANYALAH kepada sesiapa saja dan kaum apa sekali pun, kebanyakannya kenal Tan Sri Lee Lam Thye, walaupun beliau bukan wakil rakyat.

Bekas Ahli Parlimen Bukit Bintang itu adalah contoh bekas Yang Berhormat yang begitu popular bukan saja di kalangan pengundi di kawasannya dulu hingga sekarang, tetapi kepada ramai rakyat. Selepas meninggalkan DAP, Lam Thye hingga ke hari ini terus bergiat dalam pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan badan bukan politik (NPO). Beliau dilihat di mana saja dan muncul di media kerana mudah didekati.

Berkesempatan berbual dengannya baru-baru ini, beliau masih bercakap soal rakyat. Beliau bercakap soal kebajikan rakyat, isu gejala dadah, moral dan disiplin remaja, pembelaan terhadap golongan miskin bandar dan topik lain bukan politik yang dilihatnya memerlukan perhatian serius. Jika ada pun disentuh soal politik, Lam Thye hanya ingin tahu bila pilihan raya akan diadakan?

Memang ada pihak mahukan beliau aktif semula dalam politik, malah menawarkan beliau menjadi calon, tapi baginya, segala-galanya sudah berlalu. Walaupun bukan lagi wakil rakyat, rutin hariannya tetap sibuk seperti mana ketika menjadi wakil rakyat dulu.

Dulu, ada kalanya seawal jam 4 pagi beliau sudah keluar rumah jika ada orang memanggil apabila berlaku banjir, kebakaran, kecurian atau kemalangan. Hari ini, tugasnya tidaklah seteruk dulu tetapi jika diberitahu, beliau tetap ada bersama.

Beliau terus menerus menerima undangan untuk hadir ke majlis yang dianjurkan sama ada oleh NGO, kelab, badan sukarela, persatuan penduduk, persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) dan sebagainya. Jika tidak ada temu janji atau majlis yang ditentukan lebih awal, Lam Thye tetap akan hadir walaupun acara yang kecil membabitkan beberapa orang saja.

Tandatangan beliau masih diminta ramai orang untuk pelbagai tujuan. Walaupun memberitahu mereka yang tandatangannya tidak lagi bernilai, masih ramai mahukan tandatangannya. Mereka yakin tandatangan Lam Thye boleh membantu meringankan urusan mereka.

Malah, orang Islam yang ingin bantuan untuk urusan menunaikan haji pun meminta tandatangan beliau. Bagi kebanyakan rakyat, mesti ada sebab mereka selesa berhubung dengan Lam Thye. Jawapan mereka mudah – Lam Thye ialah pemimpin berjiwa rakyat.

Jika Lam Thye bertanding dalam pilihan raya atas kerusi apa sekali pun, peluang beliau menang adalah sangat besar. Untuk menjadi pemimpin berjiwa rakyat seseorang perlu mengenal pasti dan mendalami masalah rakyat serta sentiasa bersama mereka masa senang atau susah.

Walau sekecil mana pun masalah rakyat, perlu cuba dibantu. Bila berbual dengan rakyat, isu perbualan mestilah mengenai rakyat dan bertanya masalah mereka. Jika umat Islam, berjemaah bersama mereka dari satu masjid hingga ke surau yang lain. Dengan bukan Islam, hubungan dengan mereka boleh dilakukan dengan pelbagai cara sesuai untuk mewujudkan kemesraan.

Untuk menjadi pemimpin berjiwa rakyat tidak perlu wang yang banyak. Mereka perlu sentiasa memberi senyum dan menegur rakyat bila berjumpa. Senyuman tidak perlukan wang dan menegur orang, tidak memerlukan modal. Pemimpin berjiwa rakyat tidak pernah menarik muka masam bila bertemu rakyat dan bila membantu mereka, dilakukan dengan ikhlas.

Rakyat pun tahu, tidak semua masalah boleh diselesaikan oleh wakil rakyat tetapi mereka mestilah membantu sedaya mungkin dan membuktikan kesungguhan berbuat demikian. Sudah tentulah, mereka perlu berada bersama rakyat ketika senang dan susah, hadir kenduri-kendara atau kematian.

Inilah antara ramuan paling berkesan yang perlu ada pada setiap pemimpin khasnya wakil rakyat, terutama mereka yang bermastautin bersama rakyat di kawasan masing-masing. Bagi mereka yang mempunyai tugas lebih besar pada peringkat Pusat, tanggungjawab mereka kepada rakyat adalah berbeza.

Jika seseorang pemimpin diiktiraf sebagai pemimpin berjiwa rakyat, disokong pula dengan parti yang mereka wakili mengambil berat soal rakyat, tidak ada sebab mereka boleh tewas dalam pilihan raya. Tidak kira siapa calon yang bertanding sama ada Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan, Melanau, Dayak dan sebagainya serta apa juga bentuk komposisi pengundi di kawasan berkenaan, mereka yang berjiwa rakyat tidak perlu bimbang kerana rakyat akan memilih mereka atas dasar mereka adalah pemimpin berjiwa rakyat.

Adalah mustahil seseorang wakil rakyat yang sepanjang masa berada dengan rakyat waktu senang dan susah ditolak rakyat begitu saja.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU GLOBAL : Hubungan dua hala KL, London perlu terus dipertingkat


PERSAHABATAN Malaysia dan Britain yang agak terabai selama hampir 20 tahun kini diperbaharui semula dan meneroka era baru sempena lawatan Perdana Menteri Britain, David Cameron minggu ini. Malaysia dan Britain mempunyai jalinan perhubungan yang lama, malah sejak sebelum merdeka lagi. Justeru, tiada sebab kenapa hubungan akrab itu tidak dapat diteruskan demi kepentingan kedua-dua negara.

Kunjungan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ke Britain tahun lalu, diikuti lawatan balas rakan sejawatannya, Khamis lalu sudah tentunya dapat menjurus ke arah membetulkan hubungan baik yang agak terganggu sedikit sebelum ini. Umum mengetahui bahawa kedua-dua negara mempunyai hubungan rapat ketika pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad dan Perdana Menteri Britain ketika itu, Margaret Thatcher pada 1980-an dan awal 1990-an sehinggakan model dasar penswastaan yang diperkenalkan pada zaman Thatcher diguna pakai di negara ini. Dasar itu ternyata dapat mengurangkan perbelanjaan awam dan menjadikan sektor perkhidmatan utiliti lebih cekap dan berkesan.

Selain itu, Britain juga antara destinasi pengajian tinggi pilihan bagi kebanyakan pelajar Malaysia, sama ada yang ditaja kerajaan mahupun yang belajar secara persendirian. Seperti ditegaskan Perdana Menteri, kini ada kira-kira 54,000 pelajar Malaysia yang menyatakan hasrat untuk melanjutkan pelajaran ke United Kingdom dan mereka kini mempunyai pilihan untuk melakukan demikian di universiti serta kolej cawangan Britain di negara ini.

Dari segi hubungan ekonomi, kedua-dua Perdana Menteri bersetuju untuk meningkatkan lagi perdagangan dua hala dan menggandakannya kepada lapan bilion pound (RM39 bilion) menjelang 2016. Pada tahun lalu, Britain adalah rakan dagangan keempat terbesar bagi Malaysia dalam kalangan negara Kesatuan Eropah dengan jumlah dagangan kira-kira RM9 bilion. Oleh kerana kedua-dua pihak sudah mencapai persetujuan bahawa tempoh yang dianggap sebagai terabai itu sudah berlalu, usaha kini perlu ditumpukan untuk memperkukuhkan hubungan kedua-dua negara dalam pelbagai bidang, termasuk dalam isu keselamatan antarabangsa dan serantau.

Britain juga bersepakat untuk menentang keganasan dan gerakan ekstremisme global demi keamanan sejagat serta menolak tanggapan segelintir pihak yang mengaitkan Islam dengan keganasan. Kita berharap dengan termeterainya keyakinan baru dalam hubungan dua hala ini, Malaysia dan Britain akan dapat bekerjasama dalam banyak lagi bidang kepentingan bersama, termasuk latihan anggota keselamatan dan mengawal jenayah merentasi sempadan. Semoga dengan perkembangan terbaru ini, hubungan dua hala antara Malaysia dengan Britain akan terus terpelihara dan tidak terabai lagi pada masa akan datang.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU SOSIAL : Dugaan perkasa ketahanan diri


Oleh Sharifah Hayaati
bhagama@bharian.com.my


Lima nilai utama corak keperibadian, akhlak Muslim

KALI ini saya ingin memulakan perkongsian dengan memetik firman Allah SWT bermaksud: “Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah (pula) kamu bersedih hati, padahal kamulah orang yang paling tinggi (darjatnya), jika kamu orang yang beriman. Jika kamu (pada perang Uhud) mendapat luka, maka sesungguhnya kaum (kafir) itupun (pada perang Badar) mendapat luka yang serupa.

"Dan masa (kejayaan dan kehancuran) itu kami gilirkan di antara manusia (agar mereka mendapat pelajaran); dan supaya Allah membezakan orang yang beriman (dengan orang kafir) supaya sebahagian kamu dijadikan-Nya (gugur sebagai) syuhada. Dan Allah tidak menyukai orang yang zalim.” (Surah Ali-Imran, ayat 139-140).

Ayat ini berkait rapat dengan tip menghadapi tekanan, cabaran dan mengubahnya menjadi kejayaan yang dibahaskan dalam ruangan ini minggu lalu.

Keseluruhan ayat ini walaupun berkaitan Perang Uhud, namun peringatan Allah itu bermanfaat dalam membina ketahanan diri serta kekuatan dalam aspek kehidupan.

Imam Syed Qutb dalam tafsirnya fi zilal al-Quran mengatakan, hikmah cabaran, dugaan dan tekanan yang dilalui dengan ketahanan diri merangsang kekuatan dalaman yang terpendam. Ia mampu membuka rahsia hati tidak diketahui orang beriman kecuali melaluinya.

Ini menunjukkan dalam kesusahan itu ada ketahanan diri. Lima nilai utama yang boleh dihayati serta perlu dijadikan pedoman daripada ayat itu ialah supaya kita menguatkan ketahanan diri dengan tidak berputus asa, bersedih hati (sehingga melemahkan diri), menjaga anugerah darjat kemuliaan diri, menerima peredaran suka dan duka dengan tabah dan tidak berlaku zalim sesama manusia.

Kelima-limanya adalah tip berhadapan cabaran atau ancaman sekali gus memperkasakan ketahanan dalaman diri. Dalam kepesatan dunia berkembang serta berubah pantas, usaha memperkasakan ketahanan diri satu keperluan.

Daya ketahanan diri adalah keupayaan dan ketabahan bertindak dengan baik dan betul dalam kepelbagaian situasi atau keadaan mencabar. Sifat dan kekuatan ini tidak datang tiba-tiba dan tidak mudah dimiliki tanpa kesedaran, keinginan dan iltizam.

Seperti juga ketahanan fizikal, ketahanan spiritual berbeza mengikut watak dan karakter tersendiri. Namun karakter itu boleh dipengaruhi faktor antaranya penerapan sistem nilai, sistem sosiobudaya berteraskan iman, akhlak dan ilmu pengetahuan sejak kecil lagi. Semakin baik dan tinggi diterapkan dalam kehidupan semakin tinggilah daya tahan diri seseorang.

Menurut Profesor Dr Yusof Al-Qardhawi, jika senaman boleh menguatkan tubuh badan, ibadat boleh menguatkan roh dan ilmu pengetahuan menguatkan akal fikiran. Pembinaan ketahanan diri berasaskan ilmu, akhlak, iman dan amal ditekankan Ibn Khaldun dalam al-Muqaddimah sebagai kunci pembinaan tamadun bangsa.

Dalam Islam, pembinaan ketahanan diri melalui nilai iman dilatih menerusi ibadat seperti berpuasa pada Ramadan. Ia memperkasakan ketahanan diri dengan menahan lapar dan dahaga serta perkara membatalkan puasa semata-mata keimanan kepada Allah SWT.

Manakala pembinaan melalui nilai akhlak dilatih seperti bersabar apabila berhadapan cabaran pergaulan dan menghadapi kematian.

Sabda Rasulullah SAW: “Seorang Muslim apabila bergaul dengan manusia dan bersabar dengan keburukan (cabaran) mereka adalah lebih baik daripada Muslim yang tidak bergaul dengan manusia dan tidak bersabar dengan keburukan (cabaran) mereka.” (Hadis riwayat Imam At-Tarmidzi)

Model ketahanan diri Rasulullah SAW dan sahabat wajar menjadi perangsang dan contoh teladan dalam meraih kejayaan antaranya, disebut Baginda SAW:
“Sesungguhnya aku mengalami kesusahan dan penderitaan selama berdakwah di jalan Allah yang tidak dialami siapapun selain aku. Aku juga mengalami ketakutan selama berdakwah di jalan Allah yang tidak dialami oleh siapapun selain aku.

Pernah (ada masanya di mana) selama sebulan penuh secara terus menerus aku dan Bilal tidak memperoleh makanan bernyawa kecuali (hanya sedikit) yang di kepit di bawah ketiak Bilal.” (Hadis riwayat Ahmad)

Gambaran ketahanan diri sahabat seperti Abdur Rahman bin Auf yang diberi pelbagai bantuan oleh puak Ansar, ketahanan Bilal bin Rabah diseksa tuannya Umaiyyah bin Khalaf, ketahanan diri Saidina Abu Bakr al-Siddiq berdepan golongan enggan membayar zakat, ketahanan diri Saidatina Khadijah binti Khuwailid berdepan keadaan Rasulullah SAW yang pertama kali mendapat wahyu.

Dalam dunia pekerjaan, jika memperkasakan ketahanan diri, ia bukan saja menjadikan kita sabar dan tabah tetapi dapat merealisasikan kerja secara berkualiti, menepati pelbagai dasar, peraturan dan panduan dalam perkhidmatan.

Ketahanan diri juga dapat menghindarkan daripada terjebak dalam penipuan. Pendek kata, ketahanan diri akan menentukan kualiti insan, menyumbang kepada tinggi atau rendahnya komitmen terhadap tugasan mencabar diberikan.

Sekali gus mampu mengawal keadaan dan memikirkan pelbagai alternatif dalam membuat keputusan dan menyelesaikan masalah. Justeru, ingat kejayaan, ingatlah rahsianya ialah ketahanan diri.

Penulis ialah pensyarah di Jabatan Siasah Syariyyah, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (UM)

Sumber : http : //www.bharian.com.my/