Jumaat, 5 Ogos 2011

ISU AGAMA : Pekerjaan utamakan keberkatan jamin keuntungan

Oleh Sharifah Hayaati

Islam garis lima piawaian untuk diikuti dalam mencari rezeki diredai Allah

UNTUNGKAH atau berkatkah rezeki dan titik peluh yang kita curahkan sehari-hari? Mana satukah yang kita fikir dan inginkan dalam meraih kejayaan pada apa yang diusahakan? Sudah tentu kedua-duanya diinginkan.

Tetapi jika berkat menjadi keutamaan, pasti untung akan dikecapi. Sebaliknya, jika hanya untung yang dicari, nescaya berkat akan lari. Berkat atau barakah dalam bahasa Arab bermaksud tumbuh, bertambah atau berkembang.

Al-Asfahani dalam Mufradat Alfaz al-Quran mengatakan, berkat bermaksud kebaikan Allah SWT ke atas sesuatu antaranya rezeki yang memberikan kebaikan dan bukan kemudaratan, rezeki walaupun sedikit tetapi mencukupi.


Perkataan ini banyak disebut dalam al-Quran antaranya firman Allah SWT yang bermaksud: “Jika penduduk negeri itu beriman serta bertakwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka keberkatan dari langit dan bumi.” (Surah al-A’raf, ayat 96).

Indahnya maksud keberkatan kerana ia mengandungi kelebihan luar biasa. Jika boleh digambarkan, seperti khasiat produk yang tertera di kulitnya perkataan ‘3 dalam 1’, malah ada yang ‘14 dalam 1’ sudah tentu tidak serupa dengan khasiat dan kelebihan terkandung dalam keberkatan.

Oleh itu, hakikat sebenar sesuatu pencapaian itu terletak sama ada ia mendapat keberkatan atau tidak. Bagi meraih keberkatan dalam pekerjaan, Islam menentukan standard kualiti atau piawaian tersendiri sebagai asas untuk dipatuhi.


Rasulullah SAW mengingatkan dalam sabda yang bermaksud: “Tidak ada satu pun yang kutinggalkan dari apa yang diperintahkan oleh Allah kepada kamu, kecuali sudah aku perintahkan kepada kamu, dan tidak satu pun dari apa yang dilarang Allah kepada kamu, kecuali aku sudah melarangnya kepada kamu. Sesungguhnya Ruh al-Amin (Jibril) menyampaikan dalam nuraniku, bahawasanya jiwa tidak akan mati sehinggalah penuh rezekinya, maka perbaikilah dalam mencari rezeki.” (Hadis riwayat Ibnu Hibban, Hakim, Ibnu Majah dan Abu Ya’la)


Untuk mencapai piawaian keberkatan, lima syarat utama perlu diikut. Pertama, hendaklah apa yang dilakukan itu dengan niat ikhlas seperti firman Allah yang bermaksud: “Tidaklah Aku perintahkan kamu kecuali untuk menyembah Allah dengan mengikhlaskan diri dalam agama.” (Surah al-Bayyinah, ayat 5)

Individu ikhlas adalah yang bersih hatinya daripada sifat riak dan sum’ah (ingin didengar oleh orang lain). Pesanan Rasulullah SAW kepada Muaz bin Jabal yang bermaksud:“Wahai Muaz, ikhlaskanlah agamamu, nescaya cukuplah amalanmu yang sedikit.” (al-Targhib wa al-Tarhib)

Pekerjaan hebat dan banyak tidak akan bernilai tanpa keikhlasan berbanding pekerjaan kecil dan sedikit, ditunaikan secara ikhlas akan menjadi banyak kerana keberkatan. Semua orang boleh melakukan pekerjaan yang sama dari sudut kualiti dan kuantiti tetapi keberkatannya berbeza bergantung kepada keikhlasan hati mereka.

Kedua, hendaklah pekerjaan itu tidak melalaikan kita daripada mengingati dan menunaikan kefarduan kepada-Nya. Firman Allah yang bermaksud: “Kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi, dan carilah apa yang kamu hajati dari limpah kurnia Allah, serta ingatlah akan Allah banyak-banyak (dalam segala keadaan), supaya kamu berjaya di dunia dan di akhirat.” (Surah al-Jumuah, ayat 10)

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Setiap perkara yang tidak dimulakan dengan Bismillah maka akan terputus (rahmat dan berkat) bagi perbuatan itu.” (Hadis riwayat Ahmad dan Ibn Majah)

Bahkan bagi mereka yang bekerja sehingga melalaikannya digelar sebagai hamba dinar dan dirham. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Celakalah orang yang menjadi hamba dinar, celakalah orang yang menjadi hamba dirham, celakalah orang yang menjadi hamba kemewahan dan celakalah orang yang menjadi hamba kemegahan, celaka dan binasalah mereka semua, jika telah jatuh tidak akan bangkit semula.” (Hadis riwayat al-Bukhari)


Ketiga, hendaklah apa yang dikerjakan itu daripada sumber halal serta dengan cara halal. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan janganlah kamu makan harta orang lain di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).” (Surah al-Baqarah, ayat 188)

Oleh itu, jika kita inginkan keberkatan jauhilah sebarang bentuk penipuan, pecah amanah, rasuah, pembohongan dan sebagainya dalam pekerjaan.


Keempat, hendaklah hasil yang diperoleh daripada pekerjaan atau rezeki itu dikongsikan. Oleh kerana itu Islam menfardukan ibadat zakat serta amat menggalakkan amalan sedekah dan pemberian hadiah antara satu sama lain supaya kesenangan itu tidak hanya dinikmati segelintir.

Malah dengan amalan ini ia dapat menyucikan harta dan hati pemiliknya serta menggembirakan penerimanya. Justeru, menginfaqkan harta membawa keberkatan, sebaliknya menahannya mengundang kecelakaan.

Kelima, hendaklah dalam mengusahakan pekerjaan, seseorang itu sentiasa reda dan bersyukur. Saidina Ali bin Abi Thalib mengatakan, salah satu daripada maksud takwa adalah reda dengan pemberian yang sedikit.

Begitulah banyaknya kelebihan mengusahakan pekerjaan dan sumber rezeki ke arah piawaian keberkatan yang dijanjikan Allah SWT. Lantaran itulah Rasulullah SAW sentiasa bermunajat dalam doa Baginda: “Ya Allah ampunilah dosaku, lapangkanlah rumahku dan berkatilah rezekiku.” (Hadis riwayat al-Tirmizi, Ahmad dan Tabrani)


Penulis ialah Pensyarah Jabatan Siasah Syar’iyyah Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU KENEGARAAN : Mengkebangsaankan budaya bukan mudah

Oleh Dr Ibrahim Komoo

Perlembagaan Persekutuan izin semua kaum amal cara hidup, agama sendiri

KETIKA berusia lima tahun, saya berbaris bersama rakan persekolahan sepanjang jalan Muar ke Segamat menunggu pemimpin negara melalui pekan Jementah, tempat saya dilahirkan.

Ingatan peristiwa itu masih segar, tarikh keramat 31 Ogos 1957 itu seolah-olah satu pesta besar untuk rakyat Tanah Melayu. Maksud sebenar kemerdekaan masih kurang jelas bagi kami ketika itu yang berbaris dan mengibarkan bendera negara. Sejak itu, istilah kemerdekaan dan kebangsaan adalah konsep yang sering dilaungkan pelbagai pihak, khususnya pemimpin politik pemerintah untuk menyeru rakyat supaya memupuk semangat kebangsaan dan menanam rasa cintakan negara.

Kerajaan mula memperkenalkan konsep kebangsaan melalui bahasa kebangsaan. Selayaknya, bahasa Melayu, bahasa majoriti dan bahasa penduduk peribumi diangkat menjadi bahasa kebangsaan. Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) diwujudkan, minggu dan bulan bahasa kebangsaan diperkenalkan untuk meningkatkan kesedaran peri pentingnya rakyat negara ini mengamalkan bahasa kebangsaan sebagai bahasa perpaduan bangsa Cogan kata berbunyi Bahasa Jiwa Bangsa dilaungkan untuk meyakinkan rakyat pelbagai bangsa, jika kita berhasrat membentuk negara bangsa yang bersatu dan membina semangat kebangsaan, bahasa yang satu inilah menjadi tali pengikatnya. Strategi penting untuk membina negara bangsa yang bersatu ialah dengan memperkenalkan sistem pendidikan sekolah berasaskan bahasa kebangsaan. Hasilnya, sekolah rendah dan menengah kebangsaan diperkenalkan. Sekolah kebangsaan sudah berkembang pesat dan kini boleh dibanggakan pencapaiannya. Ramai rakyat berbangsa Cina dan India turut belajar di sekolah kebangsaan. Sebahagian besar daripada pemimpin dan pentadbir negara serta cerdik pandai yang ada di kebanyakan universiti awam, adalah mereka yang terdidik daripada sekolah kebangsaan.

Agenda kebangsaan turut diperkenalkan melalui budaya kebangsaan. Budaya Melayu dijadikan asas pembentukan budaya kebangsaan dan amalan bangsa lain yang bersesuaian boleh diserapkan untuk memperkayakan budaya kebangsaan yang diinginkan. Mengkebangsaankan budaya nampaknya kurang berjaya kerana Perlembagaan Persekutuan masih mengizinkan bangsa lain mengamalkan budaya dan agama masing-masing.

Sehingga hari ini, budaya Melayu, Cina dan India serta pelbagai budaya peribumi di Sabah dan Sarawak masih berkembang segar. Konsep kesatuan dalam kepelbagaian budaya dilihat sebagai keunikan dan keistimewaan rakyat Malaysia.

Kemuncak kepada kejayaan memperkenalkan konsep kebangsaan ialah pewujudan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sebagai lambang keupayaan bahasa kebangsaan sebagai bahasa ilmu pada peringkat pengajian tinggi. Sejak kebelakangan ini, rakyat pelbagai bangsa sangat berminat belajar di UKM, dan lebih penting lagi, universiti ini mampu meningkatkan kecemerlangan akademiknya sehingga diangkat menjadi universiti unggul bertaraf universiti penyelidikan.

Kini UKM tidak saja menjadi lambang kebanggaan rakyat, tetapi turut menjadi sumber rujukan negara untuk pelbagai bidang ilmu. Tidak semua negara mempunyai universiti kebangsaan. Amerika Syarikat, negara di Eropah dan Jepun umpamanya, tiada universiti kebangsaan. Universiti di sana muncul kerana tuntutan pengajian tinggi dan keperluan meneroka ilmu dalam bidang sektoral.

Di negara kita, Australia, Korea Selatan dan Taiwan – tuntutan masyarakat untuk membina negara bangsa yang bersatu dan berwawasan mendorong kepada penubuhan universiti kebangsaan. UKM umpamanya ditubuhkan atas desakan rakyat, khususnya untuk mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu sambil memberi peluang lebih ramai anak masyarakat luar bandar menjejak kaki ke menara gading.

Apa erti kebangsaan? Ia adalah lambang kesatuan masyarakat dalam sebuah negara bangsa. Bahasa, budaya dan institusi ilmu kebangsaan seharusnya menjadi jiwa dan raga yang menyuburkan inspirasi dan iltizam seluruh rakyatnya.

Sementara kita menghargai kepelbagaian, semua rakyat perlu yakin, sebuah negara bangsa perlu mempunyai hanya satu bahasa kebangsaan, satu budaya kebangsaan dan satu universiti kebangsaan.

Institusi ilmu seperti UKM mempunyai tanggungjawab besar untuk membina negara dan masyarakatnya berasaskan semangat kebangsaan. Di samping memperkukuhkan penggunaan bahasa kebangsaan sebagai bahasa ilmu, ia perlu memimpin masyarakat ke arah pembangunan, menatang imej kecemerlangan ilmu dan mewakili bangsanya ke arena global. Pada prinsipnya, komuniti akademik di UKM perlu berfikiran global, tetapi bertindak lokal! UKM juga perlu menjadi pelopor hala tuju pembangunan rakyat Malaysia berbilang bangsa. Di samping memajukan ilmu dalam bidang sains dan teknologi, persoalan masyarakat, membina tamadun bangsa dan isu kemiskinan komuniti terpinggir perlu diperjuangkan bersama.

Kebangsaan ialah semangat cinta akan keamanan dan perpaduan untuk sebuah negara bangsa merdeka. Ia tidak mengabaikan pegangan kepelbagaian agama, kepercayaan dan budaya warganya. Ia hanya menuntut iltizam untuk bersatu, menghargai keupayaan bangsa dan negara. Jadilah rakyat Malaysia yang sentiasa mencintai bangsanya dan memupuk semangat kebangsaannya.


Penulis ialah Felo Utama, Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI) UKM.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/