Rabu, 4 April 2012

ISU PENGAJIAN TINGGI : Bahaya cukup makan


Boleh berjaya jika buang sifat malas

Oleh Ruhaiza Rusmin
ruhaizarusmin@hmetro.com.my


KETIKA terpilih menjadi warga institusi pengajian tinggi (IPT), pastinya tersemat azam dan semangat menggunung untuk mengapai kecemerlangan.

Malangnya, belum pun berakhir sesi pengajian, ada yang ‘tersungkur’ atau hanya mampu mendapat keputusan cukup makan.

Membimbangkan lagi, mereka bersikap acuh tidak acuh seperti tidak kisah dengan keputusan nyawa-nyawa ikan itu dan menganggapnya budaya normal.

Malah, ada berfikiran dangkal mendakwa nilai Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) bukan jaminan mendapat pekerjaan dan hanya menjadi pra syarat industri menilai kelayakan gaji.

Persoalannya, sejauh manakah budaya dan fikiran dangkal ini membelenggu fikiran mahasiswa?

Benarkah CGPA bukan lagi sandaran utama pemilihan majikan dalam menawarkan pekerjaan?

Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Profesor Dr Azni Zain Ahmed, berkata mahasiswa yang menganggap budaya cukup makan sebagai normal hanya menggadaikan masa depan dengan sia-sia.

Beliau berkata, budaya itu perlu dikikis kerana hanya menjadikan golongan terbabit mudah berpuas hati dan tidak sanggup berusaha.

“Ini memberi persepsi salah tiada bezanya nilai pencapaian antara seorang mahasiswa dengan yang lain.

“Sepatutnya zaman ini semuanya berorentasikan persaingan dan kesusahan. Jika terleka dan terlalai, orang lain dengan mudah memperoleh atau mengambil kesempatan.

“Jelas budaya ini tidak berfaedah dan harus dicantas segera dari minda mahasiswa,” katanya.

Lebih aib apabila mahasiswa Melayu dikatakan paling ramai terjebak dengan budaya ini hingga mencalarkan nama baik sesetengah pihak.

Enggan menuding jari, beliau mengakui budaya itu sering dikaitkan dengan mahasiswa Melayu kerana tanggapan mereka istimewa berbanding bangsa lain.

Rentetan itulah, mereka mudah bersikap lewa, gemar berfoya-foya serta tidak fokus pada pelajaran.

“Diulit rasa istimewa itu, mereka lupa tujuan asal masuk universiti sementara momokan keistimewaan itu jugalah menjadikan mereka besar diri dan menganggap ada kelebihan dalam industri.

“Hakikatnya itu hanya angan-angan dan merugikan. Keistimewaan dalam sesuatu aspek bukan jaminan memperoleh layanan istimewa daripada orang lain.

“Perubahan yang serba pantas menjadikan mereka yang beringat saja akan berjaya. Bagi yang alpa, tidak berdisiplin, tidak pandai merancang pasti akan berputih mata kelak.

“Apatah lagi ramai graduan dan bukan graduan juga bergelut mencari masa depan menjadikan hanya yang terbaik sebagai pilihan,” katanya.

Saban tahun ribuan graduan menamatkan pengajian namun graduan Melayu yang cemerlang boleh dibilang jari.

Meskipun mewakili kelompok terbesar, mereka hanya mampu lulus cukup makan sekali gus menyumbang peningkatan kadar pengangguran semasa.

Situasi itu, katanya, mewujudkan persaingan tidak sihat kerana kemampuan akademik tidak boleh dinilai lebih tinggi.

“Hakikat pahit inilah juga terpaksa ‘ditelan’ dan diterima kebanyakan IPT setiap kali majlis konvokesyen. Bukan kemahuan institusi mengeluarkan sebahagian besar graduan cukup makan.

“Bukan juga tiada usaha dilakukan sebaliknya mahasiswa tidak pandai menggunakan kesempatan itu dengan belajar bersungguh-sungguh.

“Mereka meletakkan misi belajar di tempat kedua manakala kebebasan tempat pertama. Kesudahannya keputusan merudum,” katanya.

“Di kampus, kebergantungan terletak pada rakan dan diri sendiri. Sebab itu perlunya mempunyai prinsip hidup kuat bagi menangkis godaan.

“Malangnya pengaruh rakan menjadi parasit dan sukar dihapuskan. Akibat tidak beringat, keputusan hanya cukup makan dan melayakkan mereka tamat pengajian semata-mata,” katanya.

Beliau bagaimanapun kurang bersetuju dengan tanggapan mahasiswa Melayu tergolong pada tahap sederhana dan memasuki IPT kerana keistimewaan status.

Menurutnya, pemilihan kemasukan adalah berdasarkan sistem meritokrasi dan bukan lagi kuota.

“Mereka pandai, menepati syarat kelayakan dan diperakui mampu mengikuti kursus ditawarkan, justeru tiada sebab boleh memperoleh keputusan cukup makan.

“Masalahnya, mereka ada sifat malas. Bukan semua tapi jika malas, pelajar paling bijak pun akan gagal.

“Sikap inilah yang menjadi kayu pengukur pencapaian mahasiswa Melayu selain mentaliti ‘biar lulus cukup makan asalkan pinjaman tidak digantung,” katanya.

Beliau mengakui, mahasiswa Melayu sedikit “manja” dan semuanya perlu disuap dan dihidangkan di depan mata.

“Rasionalnya, bukan orang lain yang membuatkan mereka kecundang tapi diri sendiri,” katanya,

Beliau turut memberi contoh bagaimana mahasiswa Melayu di luar negara boleh cemerlang kerana mereka mempunyai pegangan jati diri yang kuat.

“Bukan mahu mempersenda atau mengatakan di institusi tempatan tidak bagus, cuma inilah senarionya. Mereka berada dalam zon selesa.

“Kita ada mahasiswa cemerlang dan berwibawa cuma jumlahnya terlalu sedikit dan tidak nampak. Yang menjadi topik bualan ialah mereka yang ketara keterlaluan.

“Jangan perjudikan nama baik mahasiswa lain yang tidak bersalah. Berubahlah demi masa depan diri sendiri,” katanya.

Sumber : http : //www.hmetro.com.my/

ISU SOSIAL : Musibah tanda manusia leka, tidak hargai nikmat dunia


Oleh Mohd Rizal Azman Rifin
bhagama@bharian.com.my


MEDIA Amerika Syarikat, America Press (AP) baru-baru ini memetik laporan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), nilai kerugian akibat bencana pada 2011 adalah tertinggi dalam sejarah dan ditaksirkan mencecah sekurang-kurangnya AS$30 bilion (RM1.5 trilion).

Antara bencana alam yang kerap melanda ialah gempa bumi, tsunami dan banjir besar. Menurut Wakil Khas PBB bagi Pengurangan Risiko Bencana, Margareta Wahsl-strom, risiko bencana meningkat secara global kerana perubahan cuaca, pengurangan sumber semula jadi, penggunaan tanah tidak teratur dan masalah alam sekitar yang semakin teruk.

Kenyataan wakil PBB itu seharusnya membuka mata semua pihak mengenai bahayanya situasi dunia kini diakibatkan kelalaian manusia sendiri menguruskan sumber alam kurniaan Allah. Ini juga peringatan supaya kita tidak rakus mengejar pembangunan ekonomi sehingga mengabaikan kaedah pemuliharaan yang sepatutnya dilakukan.

Bukan perkiraan kerugian wang ringgit, kehilangan harta benda mahupun nyawa yang seharusnya diinsafi tetapi pentingnya muhasabah terhadap kecuaian kita memanfaatkan sumber alam dan setakat mana rasa tanggungjawab serta cara memakmurkannya.

Pengarah Pusat Perubahan Cuaca, Universiti Malaya, Prof Dr Khairulmaini Osman Salleh pernah mengingatkan: “Sekarang ancaman yang kita hadapi bukan lagi peperangan dan ketenteraan, tetapi bencana alam.”

Sewajarnya ingatan kata-kata hikmah ini dijadikan renungan bersama kerana alam dijadikan Allah ini kukuh, serba indah serta lengkap buat kelangsungan kehidupan manusia dan makhluk Allah yang lain.

Allah sudah mengangkat darjat manusia sebagai khalifah di muka bumi ini untuk memakmurkan dunia dengan etika hidup ditetapkan. Namun, sifat manusia yang rakus hingga meremehkan peringatan Allah mencetuskan malapetaka besar saban hari di muka bumi ini.

Allah jelas sekali menegah kita melakukan kegiatan pemusnahan sumber alam dengan cara sewenang-wenangnya. Firman Allah yang bermaksud: “Dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi sesudah Allah menyediakan segala yang membawa kebaikan padanya. Dan berdoa kepada-Nya dengan perasaan bimbang jika tidak diterima dan juga dengan perasaan berharap supaya makbul. Sesungguhnya rahmat Allah itu dekat kepada orang yang memperbaiki amalannya.” (Surah al-A’raf, ayat 56)

Islam menekankan pengurusan alam sekitar dan ketika hayat Rasulullah SAW, Baginda melarang tentera Islam yang akan ke medan tempur supaya tidak memotong pokok atau membakarnya kecuali keadaan mendesak berbuat demikian.

Ini bukti Rasulullah SAW melihat kemudaratan apabila sumber flora dimusnahkan dan tegahan Baginda menepati piawai ilmu sains biologi serta geografi alam sekitar. Apabila pokok ditebang sesuka hati, sistem ekologi akan turut terjejas.

Hal ini sudah dan sedang kita alami sekarang iaitu cuaca bumi sudah tidak normal seperti biasa akibat berlakunya pemanasan global dan kesan Rumah Hijau. Nyata Rasulullah SAW memandang jauh ke depan dalam isu alam sekitar sebelum ada manusia lain sedar hal itu.

Bencana alam tidak berlaku begitu saja tetapi terselindung di sebalik faktor sebab musababnya. Hukum alam berpunca daripada Allah dan segala ujian juga datang daripada-Nya. Maka di sini kita sebagai hamba perlu menghitung ibrah di sebalik bencana bukan semata-mata menghitung kerugian dari segi mata wang, harta benda dan kehilangan nyawa saja.

Melalui bencana, Allah mengajar manusia sedar Allah Maha Berkuasa melakukan apa saja melepasi kecanggihan peralatan teknologi manusia. Kemampuan minda dan akal manusia sangat sedikit dan Allah Maha Bijaksana atas segala-galanya.

Firman Allah yang bermaksud: “Dan, kamu tidak dikurniakan dengan ilmu pengetahuan melainkan yang sedikit.” (Surah Al-Isra’, ayat 85)

Allah mahu manusia mengenali diri sendiri dan insaf akan kemampuan Allah yang Maha Agung. Tertimpa bencana alam yang besar seharusnya mengingatkan dunia ini tidak kekal dan akan musnah juga.

Allah berfirman yang bermaksud: “Dan Kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai cubaan (yang sebenar-benarnya). Dan hanya kepada Kamilah kamu dikembalikan.” (Surah Al-Anbiya’, ayat 34)

Malangnya, kita membiarkan diri dijajah nafsu, sikap rakus dan tamak kekayaan dunia. Mari kita jadikan musibah bencana alam yang berlaku sebagai wadah untuk merenung mesej dari Allah terhadap kelekaan kita menguruskan alam ini.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU BAHASA : Mulia bangsa, tinggi bahasa


Oleh Adli Shahar
adli@bharian.com.my


Ahli panel sepakat mengangkat bahasa Melayu pada kedudukannya

PERSOALAN budi kepada bahasa Melayu yang akan meningkatkan wibawanya untuk bangkit sebagai bahasa ilmu dan citranya kepada penutur bahasa itu, kekuatan budi pekerti dan pemikiran bangsa Melayu diperhalusi pada Seminar Kebangsaan Mulia Bangsa Tinggi Bahasa. Ahli panel pada seminar terbabit bersetuju bahawa berbudi kepada bahasa Melayu boleh dilakukan dengan pelbagai cara seperti menggunakan bahasa Melayu yang baik dalam kehidupan seharian dan keyakinan akan keupayaannya untuk tampil sebagai bahasa ilmu di negara ini.

Pensyarah Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Sohaimi Abdul Aziz menjelaskan, budi menjadi tonggak kekuatan etnik Melayu tidak kira sama ada budi bahasa atau pekerti mempunyai perhubungan yang rapat dengan ajaran agama Islam.

“Bagi bangsa Melayu, budi mendapat tempat yang sangat tinggi sehingga dianggap sendi bangsa. Ada juga pendapat yang mengatakan jika hilang budi, maka runtuhlah bangsa Melayu. Ia bertepatan dengan definisi dari Kamus Dewan yang mengatakan ia adalah akal, kebijaksanaan, pekerti atau perangai, sifat atau perbuatan baik atau upaya.

“Maka adalah penting bagi masyarakat untuk berbudi kepada bangsanya sendiri terutama kepada bahasa Melayu yang banyak menyimpan sejarah, warisan dan kebudayaan bangsa Melayu,” katanya ketika mengupas makna budi dalam masyarakat Melayu ketika memperkatakan Tunjuk Ajar Melayu: Melayu Berbudi Bahasanya Dipandang Tinggi.

Karyawan Tamu Universiti Malaya (UM), Prof Emeritus Dr Abdullah Hassan berkata, pengguna bahasa Melayu tinggi akan menggunakan sebutan atau ejaan yang sempurna, nahu yang rapi dan memberi perhatian kepada unsur budaya ketika berkomunikasi.

“Apabila bahasa Melayu tinggi ditutur atau ditulis dengan rapi, maka ia dapat meningkatkan citra penggunanya, sekali gus memartabatkan bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan,” katanya ketika merincikan Membina Kepustakaan Dalam Bahasa Melayu.

Beliau yang menekankan pembudayaan bahasa Melayu tinggi sebagai langkah utama untuk berbudi pada bahasa berkenaan berkata, budaya tinggi dapat dilahirkan daripada bahasa Melayu tinggi kerana masyarakat yang menggunakannya dapat menzahirkan perasaan seni dan estetika yang tinggi.

“Lazimnya, hanya bahasa tinggi yang melahirkan pemikiran tinggi. Dalam sejarah persuratan Melayu, Gurindam 12 yang dikarang oleh Raja Ali Haji 160 tahun lalu, Hikayat Hang Tuah dan Sejarah Melayu adalah contoh karya agung yang tercipta kerana adanya bahasa Melayu tinggi,” katanya pada seminar anjuran Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan USM dan Persatuan Karyawan Pulau Pinang dengan kerjasama Jabatan Warisan Negara, Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Dewan Bahasa dan Pustaka dan Gabungan Persatuan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Pulau Pinang (GABUNGAN).

Timbalan Pengarah, Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Teo Kok Seong, menyatakan tiga sebab mengapa penutur bahasa Melayu perlu berbudi kepada bahasanya dengan sebab pertama kerana ia menyimpan khazanah pengetahuan bangsa Melayu yang sudah terbina sejak sekian lama.

“Dalam konteks ini, bahasa Melayu dibina oleh bangsa Melayu untuk menjadi khazanah pengetahuan mereka dan disajikan dengan baik lagi indah untuk diwarisi generasi akan datang. Justeru, ia perlu dilindungi setiap masa,” katanya ketika berkongsi pandangan mengenai Nilai Bahasa Melayu Kepada Bangsa Melayu.

Sebab kedua dari kaca mata beliau ialah bahasa Melayu menyimpan warisan budaya Melayu yang antaranya dapat dilihat dalam sastera lisan, cerita hikayat, peribahasa dan pantun.

“Sastera lisan, cerita hikayat, peribahasa dan pantun, memperlihatkan kecerdasan bangsa Melayu, selain mempamerkan kreativiti bangsa Melayu dan cara mereka memahami alam dan kehidupan sekeliling mereka,” katanya.

Sebab ketiga ialah cara bangsa Melayu memproses pengetahuan dan pemahaman tergalur dalam bahasa Melayu yang memperlihatkan sempadan serta potensi minda bangsa Melayu.

“Ini bermakna melalui bahasa Melayu, cara pemikiran bangsa Melayu boleh difahami dan antaranya bagaimana minda bangsa Melayu memproses bahasa Melayu untuk disampaikan kepada pihak lain, baik dalam lisan atau tulisan dan juga semasa menerima keterangan yang disampaikan pihak lain,” katanya.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/