Oleh : Hilmi Isa
bhagama@bharian.com.my
Ada sesetengah
pihak mengatakan untuk mendisiplinkan remaja, ibu bapa perlu bersifat garang
terhadap anak. Itulah cara yang digunakan oleh ibu bapa mereka ketika mereka
kecil dulu dan dengan cara berkenaanlah semua anak berjaya dalam hidup.
Pendekatan lembut
dan garang adalah pendekatan yang ekstrem kerana lembut adalah keterlaluan positif manakala
garang adalah keterlaluan negatif. Lembut menyebabkan perasaan kita merana
kerana ingin menjaga perasaan anak remaja.
Sebaliknya garang
menyebabkan perasaan kita terjaga, manakala si anak mungkin memendam dendam
dalam hati. Keseimbangan antara
kedua-dua garis hujung berkenaan adalah pendekatan tegas. Ketegasan membuatkan
perasaan kedua-dua belah pihak terjaga.
Kajian pakar
menunjukkan bahawa apabila ibu bapa selalu melakukan kekasaran terhadap remaja
biasanya mereka akan memberontak. Perbuatan seperti mencubit, merotan, memukul
dengan objek, boleh dikategorikan sebagai pendidikan dengan cara yang keras.
Hampir tiada unsur pendidikan langsung dengan cara kekerasan berkenaan jika
tidak dilakukan dengan cara yang berhikmah.
Firman Allah SWT
bermaksud: “Maafkan mereka, minta keampunan bagi mereka dan bermusyawarahlah
dalam urusan...” (Surah Ali-Imran, ayat 159).
Ada dua kemungkinan
yang akan berlaku apabila remaja diperlakukan dengan keras iaitu melantun atau
menyerap. Kemungkinan pertama dia akan melawan kembali kekerasan, akibatnya
beliau akan membesar menjadi seorang yang suka memberontak dan keras jiwa.
Kemungkinan kedua
pula, beliau akan bersabar dengan kekerasan dan memendam dalam jiwa. Akibatnya
beliau membesar menjadi seorang yang pemurung dan lemah jiwa. Kedua-duanya akan
memberi hasil yang buruk.
Tunjuk cara
efektif
Islam mengajar dan
menunjukkan cara yang efektif dengan menyuruh setiap yang menjadi tonggak utama
seperti ibu bapa supaya berlemah-lembut, belas kasihan sehingga anak mereka
membesar di jalan yang lurus, terdidik dengan semangat berani berterus-terang
dan bebas diri.
Banyak petunjuk
diberikan Islam mengenai berlemah-lembut, berkata baik dan berbudi bahasa
antara satu sama lain dalam al-Quran dan sunnah.
Firman Allah SWT
bermaksud: “Sesungguhnya Allah menyuruh menjalankan keadilan, berbuat baik dan
memberi kepada kaum kerabat.” (Surah An-nahl, ayat 90)
FirmanNya lagi
bermaksud: “Dan orang yang menahan marahnya, dan orang yang suka memaafkan
orang lain, dan Allah sangat suka kepada orang yang berbuat baik.” (Surah
Ali-Imran, ayat 134)
Kesihatan jiwa
Ibu bapa perlu
mengambil contoh daripada pengajaran berkenaan dan mengamalkannya andai kata
mereka benar-benar mahukan kesihatan jiwa anak terpelihara. Kesihatan jiwa
adalah salah satu penentu kebahagiaan anak.
Jika ibu bapa
sendiri selalu berkeras, maka ibu bapalah yang melakukan kezaliman ke atas
anak. Mereka akan mendapati bahawa mereka sudah menanam benih-benih kerosakan
ke dalam jiwa anak.
Dalam sebuah kisah,
datang seseorang kepada Umar bin Al-Khattab mengadu penderhakaan anaknya. Maka
Umar pun memanggil anak orang itu, lalu memarahinya. Maka berkata si anak:
“Wahai Amirul Mukminin! Tidakkah ada hak anak ke atas ayahnya? Umar menjawab:
Bahkan ada.
Berkata anak itu:
“Apa dia, wahai Amirul Mukminin? Umar menjawab: Hendaklah ia memilih ibunya
(daripada keturunan yang baik), dan memberi nama yang baik, dan mengajar
membaca al-Quran.
Lalu si anak itu
berkata: “Wahai Amirul Mukminin, sesungguhnya ayah saya tidak melakukan suatu
pun daripada perkara itu. Ibu saya adalah seorang zanjuyah (bekas hamba hitam),
dulu isteri kepada seorang Majusi dan dia juga menamakan saya Jo’ul (lipas),
dan dia belum mengajar saya satu huruf pun daripada al-Quran.”
Mendengar kata-kata
si anak itu, maka Umar pun berkata kepada si ayah: “Engkau datang mengadu
penderhakaan anakmu. Sebenarnya engkau telah menderhakainya sebelum dia
menderhakaimu, dan engkau telah merosakkannya sebelum dia merosakkanmu.”
Demikianlah Umar
Al-Khattab meletakkan sebab penderhakaan si anak tadi ke atas bahu ayahnya,
kerana dia melalaikan pendidikannya. Marilah kita cermin diri kita dan meneliti
sama ada penderhakaan atau masalah ditimbulkan anak sebenarnya mungkin berpunca
daripada kita.
Sumber : http : //www.bharian.com.my/