GEMBIRA... Jeanne Abdullah bersama dua orang anak perempuannya, Nadiah (kiri) dan Nadene. - Bernama
Oleh ROHANI IBRAHIM
rencana@utusan.com.my
PENGHORMATAN yang tinggi kepada ibu menjadikan setiap tahun satu hari dikhususkan untuk meraikan dan menghargai golongan tersebut.
Masyarakat di 46 buah negara termasuk Malaysia memilih hari Ahad kedua dalam bulan Mei sebagai Hari Ibu.
Tahun ini, Hari Ibu jatuh pada 9 Mei. Antara negara lain yang turut memilih hari Ahad kedua bulan Mei sebagai Hari Ibu ialah Amerika Syarikat (AS), Australia, Kanada dan Singapura.
Terdapat negara yang memilih tarikh lain bagi menyambut Hari Ibu, misalnya Sweden menyambut Hari Ibu pada Ahad terakhir dalam bulan Mei, Norway pada Ahad kedua pada Februari dan Poland memilih sambutan Hari Ibu pada tarikh 26 Mei.
Hari Ibu yang pertama disambut di AS pada 1914. Tradisi menyambut Hari Ibu kemudiannya tersebar di beberapa negara.
Bagaimanapun, budaya sambutan Hari Ibu di setiap negara adalah berbeza berdasarkan amalan sesebuah masyarakat.
Biar bagaimanapun cara Hari Ibu disambut di serata dunia, ideanya adalah sama iaitu menyatakan rasa cinta, hormat dan terima kasih di atas kasih sayang yang dicurahkan dan pengorbanan ibu.
Detik menjadi seorang ibu merupakan antara detik dan pengalaman paling indah dalam hidup wanita.
Namun, pada hari ini, mungkin masih ada wanita yang tidak bersedia atau tidak menghargai pengalaman menjadi seorang ibu.
Golongan itu tidak bersedia untuk menjadi ibu mungkin kerana sebab-sebab tertentu. Seperti laporan yang kita baca sebelum ini, ada yang tergamak mendera anak sendiri, membuang atau membunuh bayi yang baru dilahirkan.
Terdapat juga kes ibu tunggal yang membiarkan anak perempuan mereka bersama teman lelaki sehingga kanak-kanak itu didera sampai mati.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil sebelum ini pernah mengingatkan golongan wanita terutamanya ibu tunggal yang bekerja supaya tidak cuai dalam menjaga anak mereka dan meninggalkan kanak-kanak itu sewenang-wenangnya.
Peningkatan kes membuang bayi dan penderaan kanak-kanak kebelakangan ini menyebabkan akhbar Utusan Malaysia melancarkan kempen Kami Prihatin pada bulan lalu. Kempen berkenaan mendapat sokongan pelbagai pihak termasuk golongan artis dan pemimpin masyarakat.
Bekas Wanita Pertama Malaysia, Tun Jeanne Abdullah berkata, mereka yang tergamak membuang bayi dan mendera kanak-kanak berkemungkinan tidak mendapat kasih sayang dan perhatian yang secukupnya terutama daripada ibu sejak kecil.
''Kurangnya nilai kasih sayang dalam diri menjadikan golongan berkenaan tidak mempunyai perasaan terhadap mereka yang tidak tahu apa-apa seperti bayi dan kanak-kanak.
''Selain memberikan sepenuh kasih sayang dan perhatian kepada anak-anak, seorang ibu juga bertanggungjawab mendidik mengenai perkara-perkara yang boleh dilakukan dan perlu dijauhi.
"Ini akan membantu anak tersebut menjadi seorang yang lebih bertanggungjawab dan dapat berfikir dengan matang apabila meningkat remaja dan dewasa," katanya.
Beliau ditemui pada majlis minum petang Forum Malaysia Hijau 2010 di Kelab Tasik Putrajaya baru-baru ini.
Tambah Jeanne, dalam zaman serba moden yang mempunyai banyak cabaran, wanita muda perlu bertanya kepada diri sendiri sama ada mereka mampu memberikan sepenuh kasih sayang dan melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang ibu sebelum memiliki anak.
''Jika mereka merasakan tidak mampu untuk memberikan kasih sayang dan perhatian yang secukupnya kepada seorang anak, ini bermakna mereka belum bersedia untuk menjadi seorang ibu. Menjadi seorang ibu memerlukan pengorbanan," jelasnya.
Menurut Jeanne, sebagai seorang yang berpengalaman menjadi ibu bekerja ketika membesarkan dua orang anak perempuannya yang kini berusia 32 dan 30 tahun, beliau sedar tidak mudah untuk melaksanakan tanggungjawab berkenaan.
''Ibu bekerja perlu melakukan pengorbanan yang besar dalam mengimbangi kerjaya dan anak-anak. Selain membataskan aktiviti sosial dan lain-lain. Aspek-aspek yang penting seperti membantu kerja sekolah anak-anak, mendidik dan menerapkan nilai-nilai murni perlu menjadi keutamaan. Ini kerana aset terbaik seorang ibu adalah anak-anaknya," tambah beliau.
Jelasnya, hubungan yang erat di antara ibu dan anak adalah sangat penting supaya anak-anak boleh berterus-terang dan berkongsi sebarang masalah dengan ibunya.
''Jika anak-anak tidak berani atau tidak selesa menceritakan masalah kepada ibunya, mereka akan mendapatkan nasihat daripada kawan-kawan. Dan jika rakan-rakan berkenaan memberikan nasihat yang salah, mereka akan terjebak dalam pelbagai masalah seperti yang dapat kita lihat pada hari ini.
''Oleh itu, setiap ibu perlu memastikan mereka memberikan sepenuh kasih sayang, menjadi pendengar yang baik dan rakan yang memahami kepada setiap anak-anak mereka. Langkah ini mampu mengeratkan hubungan di antara ibu dan anak sekali gus menyuburkan nilai kasih sayang dalam masyarakat," katanya.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/