Sabtu, 30 Jun 2012

ISU BAHASA : Kerajaan tidak kompromi dalam pelaksanaan dasar Bahasa Kebangsaan


KUALA LUMPUR - Kerajaan tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana pihak dalam memastikan pelaksanaan dasar Bahasa Kebangsaan dalam pendidikan negara, tegas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.

Sehubungan itu beliau berkata, kepentingan bahasa Inggeris sebagai bahasa antarabangsa jangan dijadikan alasan untuk memperlekeh bahasa kebangsaan.

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

ISU SUKAN : Magis kapten


Debaran kian memuncak dan tidak dinafikan dua kapten tersohor - Iker Casillas dan Gianluigi Buffon boleh menjadi elemen penting untuk memisah siapa bakal muncul juara Euro 2012 - Sepanyol atau Itali.

Ketangkasan, ketenangan dan inspirasi milik mereka harus menyuntik semangat kepada rakan sepasukan memberi komitmen terakhir dalam edisi kali ini ketika tuah juga boleh menjadi faktor penting buat mencipta suka dan duka di Kiev, awal pagi esok. Casillas ghairah angka ke-100, Buffon idam juara.


Iker Casillas sudah memenangi semua gelaran bersama Sepanyol, tetapi penjaga gol legenda itu masih berpeluang menambah satu lagi pencapaian peribadinya pada final awal pagi esok.

Dengan kemenangan ke atas Itali, Casillas akan mencapai kemenangan ke-100 kariernya bersama pasukan kebangsaan - pencapaian yang belum pernah dikecap mana-mana pemain sebelum ini sekali gus menguatkan lagi reputasinya sebagai antara pemain terhebat sepanjang zaman.

Dia bagaimanapun sedar, statistik dan rekod peribadinya tidak bermakna sekiranya penjaga gol lawan, Gianluigi Buffon yang turut memakai lilitan kapten untuk Itali, gagal ditewaskan rakan sepasukannya.

“Saya kagum dan amat menghormati Buffon,” kata penjaga gol 31 tahun itu. “Dia penjaga gol luar biasa dan pada usia 34, dia masih antara yang terbaik. Bagi penjaga gol lebih muda, dia adalah idola kami, dia mencetus semangat buat kami yang meletakkan sasaran untuk menjadi sepertinya.”


Sementara itu, reaksi marah kapten dan penjaga gol Itali, Gianluigi Buffon selepas kemenangan 2-1 pasukannya ke atas pasukan pilihan, Jerman pada aksi separuh akhir adalah petanda jelas keinginan mendalam juara dunia 2006 itu untuk kembali mengecap kejayaan di pentas utama.

Ketika rakan sepasukannya berpesta meraikan kemenangan, Buffon masih tidak dapat melupakan bagaimana Jerman merapatkan jurang menerusi sepakan penalti minit-minit akhir dan beroleh beberapa peluang untuk mengheret permainan ke masa tambahan.

“Saya marah kerana kami sepatutnya mengelak situasi mencemaskan sepanjang lima minit terakhir. Kita perlu lebih matang. Bola sepak adalah permainan, tetapi apabila sampai ke peringkat separuh akhir, ia bukan lagi permainan.”

Kepercayaan itulah yang menjadikan penjaga gol 34 tahun itu sebagai benteng terakhir yang cukup sukar ditembusi. Dia menyelamatkan sekurang-kurangnya dua percubaan tepat Jerman dari Sami Khedira dan Marco Reus yang mampu mengubah keputusan perlawanan. - AFP

ISU ALAM SEKITAR : ASEAN akan cari penyelesaian serantau tangani jerebu


MIRI : Negara ASEAN akan segera mencari penyelesaian serantau bagi menangani masalah jerebu merentas sempadan tahun ini berikutan jangkaan musim kering yang panjang sehingga tiga bulan mulai Julai.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Douglas Uggah Embas berkata, beliau mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatannya dari Singapura dan Brunei semasa Sidang Kemuncak Bumi Rio di Brazil untuk membincangkan kemungkinan mengadakan mesyuarat serantau mengenai jerebu lebih awal daripada yang dijadual.

"Ketiga-tiga kami bersetuju untuk mengadakan mesyuarat lebih awal daripada tarikh yang dijadual pada September," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mengenai keadaan jerebu di Miri, hari ini.

Mesyuarat ASEAN ke-14 Kumpulan Kerja Teknikal mengenai Pencemaran Jerebu Merentasi Sempadan dan Mesyuarat Asean ke-14 Jawatankuasa Pemandu Kementerian Bahagian Serantau mengenai Pencemaran Jerebu Merentas Sempadan dijadual diadakan di Bali Indonesia pada September.

Negara ASEAN terdiri dari Malaysia, Indonesia, Brunei, Singapura, Vietnam, Kemboja, Filipina, Laos, Thailand dan Myanmar.

"Kami ingin mengadakannya lebih awal bagi membolehkan kami mengkaji setiap strategi. Masalah akan menjadi lebih serius kerana cuaca dijangka lebih kering pada Ogos dan September," katanya.

Mengulas jerebu di Miri, Uggah berkata, jabatan dan agensi kerajaan berkaitan sudah diarah untuk mengkaji semua prosedur operasi standard (SOP) bagi memastikan tindakan pantas boleh diambil jika terdapat laporan pembakaran terbuka terutama yang membabitkan tanah gambut.

"Ada beberapa kelemahan dan sebab itu perlu dikaji semula SOP sedia ada," katanya.

Beliau berkata, unit bomba sukarela untuk membantu Jabatan Bomba dan Penyelamat memadam kebakaran tanah gambut akan ditubuh di Miri. - BERNAMA

ISU SUKAN : Usain Bolt bukan pelari terpantas di Jamaica


JUARA dunia, Yohan Blake (kiri) meraikan kejayaannya melintasi garisan penamat menewaskan pelari terpantas dan pemegang rekod dunia 110 meter, Usain Bolt (dua dari kanan) di kejohanan persiapan Olimpik Jamaica, di Kingston, awal hari ini. Blake menyudahkan larian dengan catatan 9,75 saat, mengalahkan Bolt yang ketinggalan 0.11 saat. - Foto AP 

KINGSTON : Usain Bolt adalah pelari lelaki terpantas di dunia tetapi hari ini tidak di negara asalnya, Jamaica.

Penghormatan pelari terpantas kini milik Yohan Blake, yang menyudahkan larian final 100 meter mencatat 9.75 saat bagi mengejutkan pemegang rekod dunia itu dengan 0.11 saat pada persiapan Olimpik Jamaica, hari ini.

Blake sepatutnya memiliki gelaran juara dunia itu tahun lalu lagi di Korea Selatan tetapi Bolt ketika itu tidak berlari selepas disingkirkan kerana melakukan kesalahan memulakan larian.

Hari ini adalah pertemuan mereka kembali dan Bolt dianggap pelari pilihan kerana memegang rekod dunia dengan 9.58 saat.

Blake adalah rakan latihan Bolt tetapi Blake tidak pernah berlari di bawah catatan 9.84 saat sepanjang kariernya.

Namun lariannya hari ini dengan catatan 9.75 saat adalah masa terbaiknya tahun ini, sekali gus memecah rekod kebangsaan empat tahun di Stadium Nasional. - AFP

ISU SAINS DAN TEKNOLOGI : Internet media fitnah baru?



Oleh NURUL ANUAR KARI
anuar.kari@utusan.com.my


INTERNET merupakan antara inovasi terbesar zaman moden yang bukan sahaja mengatasi batasan sempadan masa dan geografi, malahan membuka seluas-luasnya potensi pembangunan tamadun manusia.

Pelbagai teknologi baru kini termasuk komputer tablet dan telefon pintar mengembangkan lagi aplikasi saluran Internet, sekali gus membolehkan maklumat dan urusan dalam talian dibuat serta-merta mahupun berkomunikasi di mana sahaja.

Selain urusan perbankan dan urusan kerja, talian Internet membolehkan berita dan maklumat terkini disebarkan melalui portal berita, blog mahupun laman sosial seperti Facebook dan Twitter.

Walaupun dari sudut positifnya Internet membuka pelbagai potensi baru tetapi ia juga mempunyai sudut negatif yang boleh merosakkan segalanya.

Contoh paling mudah adalah kesannya terhadap ekonomi melalui penyebaran atau perkongsian produk berbayar seperti lagu, filem mahupun program komputer.

Ini bukan sahaja menggalakkan aktiviti cetak rompak, malahan 'membunuh' sumber pendapatan pihak pengeluar produk terbabit.

Selain itu, Internet juga boleh digunakan untuk mencuri maklumat peribadi atau maklumat sulit individu, syarikat atau organisasi dan mendedahkan atau menjualnya kepada pesaing seperti mana maklumat kewangan peribadi dijual kepada bank-bank tanpa kebenaran.

Tidak kurang juga penggunaan saluran Internet untuk manipulasi maklumat pasaran bagi mengaut keuntungan mudah di bursa saham.

Antara kesannya dalam sistem sosial pula adalah penyebaran bahan lucah atau pornografi yang dikatakan mendominasi alam siber kini, terutama di kalangan muda-mudi yang boleh mengakses mana-mana laman web lucah menggunakan telefon pintar.

Namun, kesan paling dibimbangi adalah penyebaran khabar angin atau maklumat tidak tepat yang boleh menimbulkan keresahan masyarakat mahupun huru-hara.

Ini terutama dalam pendedahan maklumat rahsia ataupun sensitif berkaitan individu, organisasi mahupun negara tertentu seperti mana beberapa pendedahan maklumat rahsia oleh laman web Wikileaks sebelum ini.

Pendedahan sebegini boleh memusnahkan pihak terbabit mahupun membawa kepada ketegangan antara dua pihak bertentangan jika melibatkan skandal, rahsia atau isu sensitif yang cuba disembunyikan daripada umum selama ini.

Penyebaran dokumen, gambar, video, audio dan bermacam lagi bahan media lain kebanyakannya dilihat melibatkan kenamaan, ahli politik dan artis yang menjadi tumpuan masyarakat.

Ada dakwaan dibuat dengan disertakan 'bukti' yang mungkin benar atau mungkin telah dimanipulasi dan ada pula yang semata-mata tuduhan tanpa fakta.

Bagaimanapun, kajian telah membuktikan satu penipuan yang diulang berkali-kali, lama-kelamaan akan diterima sebagai 'kebenaran' oleh masyarakat umum yang akhirnya tidak dapat dipatahkan walaupun dengan menyampaikan fakta sebenar.

Peningkatan mendadak blog dan media alternatif di Malaysia menjadi trend yang menjurus ke arah aktiviti pendedahan atau fitnah yang umpama tiada kawalan atau tindakan oleh pihak bertanggungjawab.

Jika dahulu memerlukan sehari dua untuk memberi kesan kepada umum, kini jaringan Internet membolehkan ahli masyarakat memberi tindak balas dalam masa beberapa minit sahaja.

Dari satu sudut, individu mahupun kenamaan yang terlibat dengan kepincangan, jenayah atau skandal tidak mungkin terlepas atau mampu mengelakkan rahsia mereka disebar melalui saluran Internet.

Namun, sesetengah pihak pula mungkin mengambil kesempatan ke atas saluran itu untuk menyebarkan fitnah bagi menjatuhkan lawannya sama ada melalui maklumat palsu mahupun tuduhan berterusan agar dipercayai orang ramai.

Seperti mana-mana teknologi, kesan positif atau negatif bergantung kepada tujuan dan cara penggunaannya kerana Internet itu sendiri tidak boleh membezakan yang mana benar atau salah.

Oleh itu, terpulang kepada kita sebagai manusia yang berakal dan berfikiran waras untuk menilai sejauh mana kebenaran atau fitnah itu boleh diterima.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU BAHASA : Audit bahasa Melayu di sektor awam dan swasta


SALAH satu penggunaan bahasa campuran iaitu bahasa ibunda lain termasuk bahasa Inggeris pada  papan iklan di Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur dalam tinjauan tahun lalu.


Oleh : ARIF ATAN

ADAKAH suatu hari nanti kita mahu menyerahkan tugas memelihara bahasa kebangsaan negara ini yang sudah terancam kepada pihak Google?

Pada 20 Jun lalu, Google melancarkan projek bahasa terancam atas kesedaran separuh daripada 7,000 bahasa yang dituturkan sekarang dijangka pupus menjelang akhir abad ini.

Oleh itu, jika tidak mahu generasi akan datang menyumpah kita pada hari ini yang tidak peduli kepada bahasanya sendiri, ada baiknya Projek Rintis Audit Bahasa Melayu disambut baik oleh semua pihak.

Langkah melakukan audit bahasa kebangsaan terhadap jabatan dan agensi kerajaan bukan sekadar memastikan penggunaannya dalam urusan pentadbiran sahaja bahkan sepatutnya merangkumi kesungguhan entiti nadi pentadbiran utama negara ini memastikan bahasa Melayu tidak dipinggirkan dalam setiap hasil kerja mereka.

Contohnya, pihak berkuasa tempatan (PBT) termasuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan institusi kerajaan berkaitan pelancongan. Apa guna jika urusan surat-menyurat menggunakan bahasa Melayu tetapi projek-projek penempatan dan pusat dagangan baru dibuka selepas ini tetap menyembah bahasa Inggeris?!

Apa makna guna bahasa Melayu dalam mesyuarat membincangkan masa depan pelancongan jika nama-nama lokasi pelancongan yang dibangunkan nanti tidak bermaruah diberi nama 'Walk' atau 'Waterfront'?

Selain itu, tahap penggunaan bahasa Melayu di 20 buah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) tidak terkecuali daripada diaudit. Tindakan melampau sebuah universiti awam yang sibuk mahu mendapat penarafan antarabangsa misalnya mengadakan sepenuhnya pengumuman menggunakan bahasa Inggeris dalam dewan peperiksaan mesti tegas diarah untuk dihentikan.

Universiti-universiti awam juga patut diberi amaran keras oleh barisan juruaudit untuk mengutamakan bahasa kebangsaan dalam setiap majlis rasmi yang dianjurkan dalam kampus masing-masing.

Jika langkah audit kewangan memastikan peruntukan kewangan dan kuasa tidak disalah guna. Demikianlah juga Projek Rintis Audit Bahasa Melayu dalam memastikan bahasa Melayu tidak diterajang oleh bahasa asing lain.

Projek Rintis Audit Bahasa Melayu usah terlalu lama memberi tumpuan kepada sektor awam. Cepat-cepat perluaskan pula kepada sektor swasta yang umum diketahui semakin mengada-ngada dengan bahasa Inggeris bermula dari perkhidmatan kaunter sampailah kepada majlis rasmi.

Jangan terlalu sibuk mengaudit bahasa Melayu di sektor awam, sektor swasta terus dibiarkan bermaharajalela menggantikan semangat Perkara 152 Perlembagaan dengan bahasa Inggeris, bahasa Mandarin atau apa sahaja bahasa rasmi negara lain!

Namun, bagi jangka panjang akhirnya setiap daripada kita jika benar punya harga diri sebagai rakyat Malaysia tanpa mengira warna kulit harus "mengaudit" diri sendiri sejauh mana kita benar-benar ikhlas menggunakan bahasa kebangsaan sepanjang masa dengan baik.

Jika langkah audit bahasa Melayu ini dipandang sebelah mata sampai bila pun bahasa kebangsaan bagi sebuah negara Malaysia yang kononnya lebih setengah kurun merdeka mati beragan untuk muncul sebagai bahasa perpaduan, bahasa ilmu, bahasa ekonomi dan bahasa pentadbiran.

Pada ketika itu wajarlah, usaha memelihara bahasa Melayu elok serahkan sahaja pada projek bahasa terancam yang telah diupayakan oleh pihak Google sebagai bukti kita bangsa yang tidak sedar diri serta masih terjajah akal dan jiwanya dengan bahasa asing.

PENULIS ialah peneliti sosio-budaya.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/