Oleh
Saadiah Ismail
ALAM percintaan dan hidup berumahtangga ternyata memang jauh bezanya. Jika
dulu sedang hangat bercinta, pelbagai janji manis ditabur untuk hidup setia dan
sayang selamanya, tetapi selepas berkahwin, lain pula jadinya.
Ada saja yang tidak kena di mata, maklumlah dulu tidak serumah, kini sudah
hidup berdua. Segala-galanya perlu dikongsi tidak kiralah baik buruk pasangan
anda.
Ketika itulah segala janji manis ditagih kembali dalam usaha menjadikan
hidup berumahtangga berada zon selesa. “Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan
pula suami isteri”, lalu walau sebesar manapun cabarannya, tangani dengan
rasional bukan emosional.
Namun, bukan semua diimpikan menjadi kenyataan. Panas disangka hingga ke
petang, rupanya hujan di tengahari. Suami diharap menjadi ketua keluarga dan
ayah kepada anak comel, berubah fikiran dan hati.
Isteri diharap mampu menolong mengemudikan bahtera bersama, pula sanggup
berpaling tadah.
Waktu itu, siapa sangka tiba-tiba kebahagiaan sepanjang perkahwinan diragut
sekelip mata oleh kehadiran orang ketiga yang dianggap sebagai meruntuhkan
‘masjid’ dibina. Kala itu, terkenang kembali janji manis dan harapan hidup
bersama bagaikan telur di hujung tanduk. Semuanya tinggal omongan kosong.
Hakikatnya, orang ketiga bukan hanya merujuk kepada kekasih gelap dan
sebagainya, tetapi ia boleh berlaku dalam keluarga itu sendiri serta orang
sekeliling.
Lalu bagaimana menghadapi gangguan pihak ketiga ini? Apakah cara
menanganinya? Bolehkah mereka ini didakwa kerana meruntuhkan ikatan
perkahwinan?
Ada dua cara untuk menanganinya - sama ada anda membiarkannya saja atau
berjuang mendapatkan kembali hak. Sebenarnya, untuk pengetahuan umum, ada cara
bagaimana mengatasi masalah itu dan mengembalikan semula kebahagiaan jika anda
sayangkan keluarga.
Menurut Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang,
mereka yang dikategorikan sebagai orang ketiga boleh merujuk antara pasangan
kekasih lelaki dan wanita, wanita dengan wanita (lesbian), lelaki dengan lelaki
(gay), kalangan keluarga, saudara mara, adik beradik, ibu bapa atau datuk dan
nenek.
Ujarnya, sebanyak 12 peratus punca perceraian di negara ini disebabkan
faktor orang ketiga. Kebanyakan kes dilaporkan adalah membabitkan perbuatan
dalam bentuk fizikal atau pun spiritual (sihir). Gangguan dalam bentuk fizikal
biasanya membabitkan permainan cinta tiga segi atau pasangan itu bermain kayu
tiga.
“Akibat kemaruk cinta, akhirnya pasangan itu bercerai. Ada kes yang agresif
iaitu sehingga tahap melarikan isteri orang atau menyebabkan suami meninggalkan
isteri dan anak semata-mata menurut kata kekasih. Mangsa juga akan menghadapi
perkara yang sama jika diganggu dari bentuk spiritual,” katanya ketika
dihubungi, baru-baru ini.
Katanya, apabila berlaku gangguan pihak ketiga, individu berkenaan perlu melaporkan
kepada Jabatan Agama Islam di kawasan mana kesalahan itu berlaku. Pihak jabatan
akan membuat siasatan dan jika ada bahan bukti, saksi dan kes kuat, barulah
pihak ketiga akan didakwa di bawah prosedur jenayah syariah.
“Dakwa atau tidak, menang atau kalah kes berkenaan berdasarkan kepada beban
bukti, saksi, bahan bukti, dokumen dan keterangan bukan berdasarkan kepada
cakap-cakap kosong atau cerita dari mulut ke mulut.
Pihak yang berumahtangga tidak boleh mendakwa pihak ketiga itu sesuka hati
saja,” katanya.
Musa berkata, apabila perkara seperti ini berlaku, orang ketiga itu memang
boleh didakwa dengan semua bahan bukti atas melakukan kesalahan mengganggu atau
memecahbelahkan rumah tangga pasangan berkahwin sehingga mereka bercerai
mengikut Seksyen 36 dan Seksyen 37 Akta Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan
1997.
“Jika sabit kesalahan, mereka terbabit boleh didenda maksimum RM5,000 atau
penjara tiga tahun atau kedua-duanya,” katanya.
Bagaimanapun, Musa mengingatkan, apabila berlaku perkara sebegini, pasangan
suami isteri perlu mengambil langkah bijak menyelamatkan institusi rumah tangga
itu sendiri. Jangan terlalu mengikut perasaan dan cara lain termasuk cuba jauh
atau pisahkan pasangan daripada pihak ketiga.
“Jika ibu bapa yang menjadi masalah bagi pasangan yang tinggal
sebumbung, cubalah cari rumah sendiri atau sewa di tempat lain.
“Sebaliknya, jika pihak ketiga ialah rakan sepejabat atau senegeri, cuba
pindah ke negeri lain.
“Selepas melakukan langkah berkenaan, pasangan cuba lihat kelemahan diri
masing-masing. Jangan terlalu meletakkan kesalahan pada pasangan kerana kadang
kala kelemahan diri sendiri juga boleh menjadi punca kepada gangguan pihak
ketiga.
“Jika semua langkah sudah dilakukan tapi masih gagal, suami isteri perlulah
menerima kenyataan jodoh mereka setakat itu saja. Ambil dengan baik, maka
lepaskan pasangan dengan cara baik,” katanya.
Musa turut berpesan mereka yang mengganggu gugat keharmonian rumah tangga
orang lain, hukum karma akan datang pada dirinya sendiri.
“Hari ini dia mengganggu orang lain sehingga bercerai, tidak mustahil
perkara yang sama akan berlaku kepadanya kerana banyak kes seperti ini sudah
diterima.”
Sementara itu, Pakar Motivasi dan Kaunseling, Dr Robiah K Hamzah, berkata
antara sebab mengapa orang ketiga boleh muncul dalam sesuatu perhubungan ialah
pasangan itu sendiri yang bermasalah. Orang ketiga ini memainkan peranan
tambahan dengan mendengar setiap keluhan dan masalah sedang dihadapi, akhirnya
membuahkan perasaan.
Katanya, apabila orang ketiga ini bersimpati dengan nasibnya, lama kelamaan
daripada sahabat, akan bertukar lain dan seterusnya mempercepatkan proses
perceraian antara dua pasangan berkenaan.
“Bukan itu saja, orang ketiga juga berpunca daripada mentua masing-masing.
Mentua masuk campur jika ada krisis antara pasangan berkenaan, lebih-lebih lagi
jika diri anda bukan pilihan mentua. Pelbagai perkara akan diungkit seperti
pendapatan yang tidak seberapa dan pelbagai keburukan menjadi senjata buat
dirinya,” katanya.
Mereka yang berjawatan tinggi seperti bos juga boleh menjadi penyebab
kepada keruntuhan rumah tangga yang sememangnya retak menanti belah. Apabila
pekerjanya membawa masalah di rumah ke tempat kerja dan menceritakannya, tidak
mustahil mereka akan mengambil kesempatan menggunakan kelebihan material untuk
memikat.
“Lebih-lebih lagi mereka mempunyai kedudukan kewangan kukuh. Sedikit
sebanyak ia mengeruhkan lagi keadaan pasangan itu. Wanita juga perlu
berhati-hati kerana kemungkinan untuk jatuh hati dengan sahabat suami juga
boleh terjadi kerana jika terlalu baik, lain pula jadinya.
“Justeru, apa yang boleh dilakukan bagi mengelakkan masalah perceraian
akibat orang ketiga ini ialah dengan muhasabah diri sendiri, berbaik antara
pasangan, memohon kepada Allah dan sering membaca al-Quran. Itu adalah kunci
kepada kebahagiaan sejati. Setiap pasangan perlu tahu mereka inginkan
kebahagiaan dalam perkahwinan,” katanya.
INFO :
Siapa pihak
ketiga?
*
Pasangan kekasih lelaki dan wanita
*
Wanita dengan wanita (lesbian)
*
Lelaki dengan lelaki (gay)
* Ahli
keluarga - adik beradik, ibu bapa, datuk nenek dan saudara mara, mentua dan
keluarga mentua.
*
Sahabat suami atau isteri
Sumber : http : //www.bharian.com.my/