Rabu, 9 Februari 2011

ISU BAHASA : Apabila usaha martabat bahasa Melayu dipersoal

Oleh : Rejal Arbee

Kaji selidik rakyat tak faham bahasa kebangsaan perlu dibuat

NAMPAKNYA apa yang saya bangkitkan minggu lalu mengenai ada sesetengah rakyat negara ini yang masih tidak boleh bertutur bahasa Melayu dan terus memperlekehkannya sudah menyentuh saraf otak seorang blogger dan membuatkannya begitu marah hingga menghina saya secara peribadi.

Blogger ini bernama Khoo Kay Peng, memetik sesetengah daripada apa yang saya tulis itu ke dalam bahasa Inggeris dan membuat perhitungannya sendiri kononnya saya sudah mempersoalkan patriotisme semua bukan Melayu kerana tidak berusaha untuk menggunakan dan memahami serta boleh bertutur bahasa Melayu.

Dia juga sengaja tidak menghiraukan apa yang menjadi pokok persoalan saya, iaitu kenapa ada sesetengah pihak dalam negara ini tidak langsung menghormati bahasa Malaysia dengan menggunakan bahasa Inggeris dan Mandarin saja dalam iklan dan risalah yang mereka edarkan kepada orang ramai.

Persoalan yang saya bangkitkan kenapa tuan punya atau pengurusan syarikat itu sengaja tidak menghormati langsung bahasa negara mereka dengan mengabaikan penggunaannya tidak pula dinyatakannya.

Dia sedikit pun tidak menyentuh persoalan pokok yang saya timbulkan itu seperti juga kenapa masih ada warga negara ini yang beria-ia kononnya mereka menyanjungi negara ini, tetapi tidak berusaha untuk memahami bahasa Melayu, apa lagi menggunakannya.

Baik juga jawapan saya kepada tulisannya itu sudah dimuatkan dalam blognya, walaupun ditohmahkan pula kesangsian apakah saya sendiri yang memberikan jawapan itu. Kenapa hal ini pun mahu diragui? Siapa pula yang hendak menulis kepada blognya menyamar sebagai saya?

Mengulas jawapan saya itu, dia minta pula saya nyatakan statistik warga negara ini yang tidak faham atau boleh bertutur bahasa itu. Sememangnya statistik demikian ini tidak ada sebab kaji selidik mengenainya tidak pernah dijalankan.

Bagaimanapun, seorang rakan berbangsa Cina pernah menyatakan kepada saya bahawa ramai juga lulusan sekolah Cina yang tidak boleh bertutur bahasa Melayu, walaupun selepas menjalani peperiksaan mendapatkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Rakan saya itu menyatakan bahawa ada murid sekolah menengah Jenis Kebangsaan Cina mengambil mata pelajaran Bahasa Melayu pun hanyalah kerana mahu lulus SPM saja.

Selesai persekolahan ada antara mereka tidak berusaha menggunakannya pun. Ini juga mungkin kerana tidak perlu kerana mereka hanya bergaul dengan sebangsa saja tidak dengan orang Melayu.

Apa pun lulus mata pelajaran Bahasa Melayu pada peringkat SPM pun tidak semestinya membuktikan mereka boleh bertutur bahasa Melayu. Maka saya mengesyorkan Kementerian Pelajaran mensyaratkan semua murid perlu lulus lisan Bahasa Melayu untuk lulus mata pelajaran Bahasa Melayu.

Bagaimanapun, Khoo mendakwa kononnya semua murid sekolah rendah baik dari sekolah kebangsaan mahu pun sekolah jenis kebangsaan sudah belajar bahasa Melayu selama enam tahun dan tentunya boleh faham dan boleh bertutur bahasa Melayu.

Katanya, hari ini tidak mungkin ada rakyat Malaysia yang sudah menghabiskan pelajaran rendahnya selama enam tahun baik di sekolah kebangsaan mahu pun sekolah jenis kebangsaan yang tidak boleh memahami atau tidak boleh bertutur bahasa Melayu.

Tentunya kenyataannya itu juga tidak disandarkan kepada statistik. Ada baiknya Kementerian Pelajaran mengadakan satu kaji selidik untuk mengetahui jumlah atau kadar peratusan warga negara ini yang tidak faham atau boleh bertutur bahasa Melayu.

Tanpa statistik itu pun, kita tahu masih ada dalam kalangan rakyat negara ini yang tidak faham atau boleh bertutur bahasa Melayu. Itulah sebabnya hingga sekarang ini pun jurubahasa Cina dan Tamil masih diperlukan di mahkamah dalam negara ini kerana masih ada rakyat negara ini yang tidak faham pertuduhan terhadap mereka yang dibuat dalam bahasa Melayu apabila dihadapkan ke mahkamah.

Jika benar semua rakyat negara ini tahu bahasa Melayu kenapa perlu diadakan jurubahasa di mahkamah? Mungkin mahkamah perlu mengkaji semula kenapa perlu diadakan jurubahasa Cina dan Tamil untuk warga negara sendiri.

Tetapi ini pun mungkin boleh diterima jika tidak wujud puak ekstrem dalam kalangan sesetengah daripada mereka yang berterusan memperlekehkan bahasa Melayu. Kenapa hingga hari ini ada kopitiam tidak mahu langsung menggunakan bahasa Melayu dalam kedainya baik dalam menu mahupun di papan tanda terpampang dalam kedai memberikan harga hidangan yang disediakannya? Lihat saja dua kedainya di Seksyen 13 dan Seksyen 7 di Shah Alam.

Ada yang cuba mempertahankan kopitiam ini kononnya tidak dikunjungi orang Melayu kerana tidak mempunyai sijil halal. Sama ada kedai itu mempunyai sijil halal yang diiktiraf atau tidak bukanlah persoalannya.

Jika tidak dikunjungi Melayu, apakah mereka bukan beroperasi dalam negara ini? Bagaimana pun kopitiam itu sememangnya mempunyai ramai pelanggan Melayu. Ini boleh dilihat sendiri.

Dalam hal ini apakah yang dilakukan Majlis Bandar Raya Shah Alam? Tidakkah pihak berkuasa boleh membuat tinjauan dan bertindak terhadap pengurusan yang bersikap begini biadap?

Khoo ini juga menimbulkan suatu perkara yang saya tidak sentuh pun, iaitu perbualan bukan Melayu sesama sanak saudara mereka sendiri dalam bahasa ibunda. Siapa pula hendak menyekat mereka menggunakan bahasa ibunda sendiri bila bertutur sesama adik-beradik? Jadi kenapa hal ini mahu ditimbulkan? Inilah apabila ada pihak yang cuba mahu menegakkan benang basah dan tidak mahu menerima kenyataan.

Selagi bahasa Melayu ini tidak diberikan tempat sewajarnya dan masih ada pihak yang berterusan memperlekehkannya, selagi itulah akan wujud kesangsian oleh sesetengah pihak terhadap sanjungan mereka itu kepada negara mereka sendiri.

Penulis adalah Felo Kanan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU SOSIAL : Candu video lucah

Oleh SITI NOR AFZAN KASIMAN

KECANGGIHAN gajet seperti kamera dan perakam video serta Internet yang lebih mudah diakses menyebabkan penyebaran imej dan klip video lucah di negara ini kian menular.

Walaupun kemudahan tersebut dicipta untuk perkara lebih baik, ada juga yang menjadikannya medium paling murah untuk merakam dan menonton aksi pornografi.

Ada pengguna yang sengaja merakam aksi intim sendiri untuk dijadikan koleksi peribadi.

Namun, ramai juga yang menggunakannya untuk mendapatkan wang, sama ada melalui jualan ataupun peras ugut.

Tidak hairanlah pada zaman dunia tanpa sempadan ini peratusan remaja yang terbabit dalam seks bebas menurut satu kajian dianggarkan lebih 27 peratus kerana peluang dan ruang semakin terbuka termasuk mendapat bahan lucah di telefon bimbit dan Internet.

Penyebaran melalui sistem pesanan ringkas (SMS) dan muat turun yang boleh dibeli pada harga murah memberi pengaruh negatif kepada kanak-kanak dan remaja.

Bersaing

Bermula dengan tengok sekadar suka-suka, ia boleh menjadi ketagihan sehingga timbul perasaan ingin mencuba.

Sebagai contoh, penyebaran meluas rakaman video membabitkan kanak-kanak yang juga adik-beradik berumur antara 11 hingga 14 tahun yang sedang melakukan hubungan seks akhir tahun lalu membuktikan pengaruh filem porno mengundang masalah yang lebih besar di negara ini.

Perlu diakui, zaman remaja adalah peringkat perkembangan individu mencari identiti diri.

Sekiranya tiada didikan daripada ibu bapa, mereka akan terpesong apatah lagi jika akrab dengan rakan sebaya yang sudah rosak akhlak.


PENYEBARAN video lucah semakin sukar diperangi.


Pensyarah Kanan, Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling, Fakulti Pendidikan Universiti Malaya (UM), Prof. Madya Dr. Mariani Md. Nor memberitahu, kanak-kanak dan remaja yang terdedah kepada perlakuan seks terutama secara langsung di depan mata mereka sendiri akan mempelajari dan menimba kemahiran tertentu, cuma belum sampai ke tahap mengamalkannya.

Beliau mempunyai pengalaman menjalankan satu kajian ke atas remaja perempuan berusia 12 tahun yang mengatakan melakukan seks tidak menjadi kesalahan, bahkan sering melakukannya dengan lebih daripada seorang pasangan.

“Itu kajian lima tahun dulu, remaja itu sudah sampai ke tahap begitu serius dalam seks bebas, apatah lagi pada peringkat usianya sekarang yang sudah 17 tahun,” katanya.

Kosmo! sebelum ini mendedahkan hasil satu kajian yang dibuat oleh seorang pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 2009 yang mendapati 60 peratus kes perzinaan berpunca daripada menonton bahan-bahan lucah.

Pakar Psikologi Kanak-Kanak dan Remaja UKM, Dr. Khaizil Ismail berkata, Kajian Remaja Berisiko Tinggi yang dijalankan selama enam bulan di pusat-pusat pemulihan akhlak di seluruh negara itu merangkumi kira-kira 600 responden yang berumur antara 15 dan 20 tahun.

Khaizil juga menyokong kenyataan bahawa kes buang bayi yang semakin banyak berpunca daripada menonton bahan lucah.

Selain cenderung melakukan zina, penyelidik di Pusat Penyelidikan Seks, Kesihatan dan Masyarakat Australia, Universiti La Trobe di Melbourne, Australia, Michael Flood mendapati kanak-kanak yang sering menonton filem porno menganggap kekerasan dalam hubungan seksual adalah perkara biasa.

Nafsu


BERMULA dengan tengok sekadar suka-suka, ia boleh menjadi ketagihan sehingga timbul perasaan ingin mencuba. - Gambar hiasan


“Menonton filem lucah adalah sumber pembelajaran seks yang salah kerana secara realitinya, aksi yang ditunjukkan adalah aksi yang keterlaluan.

“Filem lucah tidak menunjukkan kasih sayang, keintiman dan keistimewaan hubungan antara pasangan, sebaliknya ia mempamerkan kekasaran dan kekerasan lelaki terhadap perempuan demi memuaskan nafsu,” jelasnya kepada USA Today.

Jelas Flood lagi, bukti dari seluruh dunia mendapati pornografi memberikan kesan negatif bukan sahaja kepada individu, tapi juga komuniti.

Bahkan, hasil daripada soal selidik yang dijalankan secara rambang, Flood merumuskan kanak-kanak yang suka menonton aksi lucah sering gagal dalam membina hubungan dengan pasangan dan kebanyakannya lebih gemar melakukan hubungan seks bebas.

Tahun lalu juga, akhbar-akhbar di Indonesia menyiarkan Komisi Perlindungan Anak Indonesia (KPAI) menerima laporan mengenai kes perkosa melibatkan 33 kanak-kanak.

Ia dikatakan berpunca daripada pengaruh video porno penyanyi Ariel Peterpan yang ditonton.

Di Amerika Syarikat pula, dianggarkan kanak-kanak dan remaja lelaki berumur 12 hingga 17 tahun adalah golongan terbesar yang menonton video lucah kategori ekstrem yang menayangkan aksi seks kasar.

Suruhanjaya Kajian Pornografi Kebangsaan di negara itu pada tahun 1970 dan 1986 mendapati seorang daripada lima kanak-kanak lelaki serta seorang daripada 10 kanak-kanak perempuan mendapat pendedahan pertama kepada filem lucah seawal usia 12 tahun.

Sumber : http://www.kosmo.com.my

ISU JENAYAH : Jenayah siber naik 127 peratus tahun lepas

KUALA LUMPUR – Kegiatan jenayah siber di negara ini telah melonjak 127 peratus tahun lepas iaitu 8,090 kes berbanding 3,564 kes pada tahun sebelumnya, demikian menurut CyberSecurity Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Lt. Kol (B) Husin Jazri berkata, daripada jumlah keseluruhan kes tahun lepas, aduan terbanyak membabitkan kes penipuan dan pemalsuan dalam Internet iaitu 2,212 kes.

"Pada tahun 2009, hanya 3,564 kes direkodkan oleh Cyber999 tetapi jumlah itu melonjak pada kadar yang tinggi tahun lepas,” katanya kepada pemberita selepas perasmian pertandingan KL GreenHat 2011, di Universiti Kuala Lumpur (UniKL), di sini, hari ini.

Husin berkata, antara aktiviti yang banyak dikesan ialah serangan peribadi bermotifkan politik, pornografi, penipuan dan penyebaran virus.

"Kes membabitkan ugutan pula mencatatkan 419 kes tahun lepas,” katanya.

CyberSecurity Malaysia adalah pusat pakar keselamatan siber nasional di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi yang mengendalikan Pusat Bantuan Cyber999 bagi membanteras jenayah siber. – Bernama