Oleh : Dr Anwar Ridhwan
Sejak kemunculan sastera Melayu
moden, sebahagian besar penulis yang menghasilkan pelbagai genre sasteranya,
baik secara langsung mahupun tidak langsung, meniupkan semangat Islami dalam
karya mereka. Memang ada segelintir penulis Melayu yang menghasilkan karya
tidak Islamik, umpamanya novel berkecenderungan pornografik atau erotik, tetapi
gejala ini tidak melunturkan hakikat kesedaran kebanyakan pengarang kita akan
sastera Islami.
Pengarang Melayu berkecenderungan
untuk membangunkan dunia fizikal dan mental melalui karya mereka. Di dalam
cerpen, drama atau novel pengarang memilih watak tertentu mewakili pandangan serta
sikapnya. Hal ini tidaklah asing kerana pengarang Melayu yang beragama Islam
menyedari mengenai falsafah agamanya yang sering menyeru ke arah peningkatan
kebaikan.
Seruan ke arah kebaikan disebar
melalui al-Quran, umpamanya dalam Surah Ali Imran (3:104) bermaksud: Hendaklah
ada di antara kamu umat yang menyeru kepada kebaikan, menyuruh dengan makruf
(yang baik-baik) dan melarang daripada yang mungkar dan mereka itulah yang
menang.
Kandungan yang baik, bernilai
murni, serta mempunyai tingkat kemanusiaan yang tinggi dalam karya sastera
harus disebarkan dengan meluas. Nilai murni serta dimensi positif kemanusiaan
harus dikongsi dengan sebanyak mungkin manusia. Dengan cara itu karya seni
dapat meningkatkan aspek estetika dalam diri manusia, di samping membentuk
persefahaman yang merentas geografi, warna kulit, kebudayaan dan kepercayaan.
Islamofobia Barat
Zaman karya sastera
Islami hanya beredar dalam wilayah penduduk Islam sudah berlalu. Kita melihat
bagaimana syair Hamzah Fansuri berlegar di Nusantara. Kita sudah melihat
bagaimana novel Hamka beredar di dunia Melayu. Apa yang kita lihat itu adalah
realiti pada suatu zaman tertentu, yang tidak relevan lagi buat masa kini.
Selepas peristiwa 11 September,
Islam dan penganutnya semakin dipandang serong, ditakuti dan dicurigai
terutamanya Eropah. Walau apa jua pendapat atau teori konspirasi Peristiwa 11
September, gejala Islamofobia adalah sebahagian daripada sejarah yang sedang
berlaku di Barat.
Sebagai orang Islam dan
sasterawan Melayu-Islam kita akan berkata bahawa Islamofobia Barat adalah suatu
kekeliruan dan tidak seharusnya menghantui hidup mereka. Sebilangan sasterawan
menzahirkan idea ini melalui karya kreatif mereka, seperti umpamanya yang
dilakukan SM Zakir dan pengarang muda Pelita di Dalam Kaca atau nama
sebenarnya, Kamaludin Endol yang muncul dengan kejutan apabila novelnya
Baldatun Thoiyyibatun memenangi Hadiah Sastera Perdana 2011.
Sukar tembusi pasaran global
Tetapi karya seperti ini, yang
cuba mengangkat kembali tamadun Islam melalui akal budi, hujah serta tindakan
rasional protagonisnya, bukan mudah untuk dipasarkan ke peringkat antarabangsa.
Benar bahawa karya terbabit wajar dibaca oleh khalayak tempatan dulu, namun
kerana kualiti olahan dan pemikiran di dalamnya, kenapa ia sukar untuk
menembusi pasaran global?
Islamofobia yang menebal akan
menjauhkan sebilangan penerbit dan sebahagian khalayak pembaca, terutama di
Barat, daripada karya Islami yang merekayasa naratif pasca 11 September.
Sebahagian mereka lebih cenderung kepada novel pascamodenisme, historisisme
baru, yang berunsur realisme magis serta membaurkan unsur pengintipan, jenayah
dan seks. Mereka lebih memandang sastera dari Amerika Latin, China, Jepun dan
Eropah sendiri berbanding sastera Islam.
Kecenderungan di atas menyebabkan
penerbit luar negara begitu berhati-hati memilih karya sastera Islam daripada
penulis tanah air. Peranan penerbit luar negara adalah penting, jika kita ingin
melihat karya sastera kita dicetak dan dipasarkan pada peringkat antarabangsa.
Mereka lebih cenderung memilih karya dengan tema budaya, berbanding tema Islami
sebagai sebuah agama dan yang berkecenderungan ideologikal.
Beri alternatif terbaik
Sungguhpun kita berdepan kendala
ini, usaha mengetengahkan karya Islami yang bermutu melalui penterjemahan dan
penerbitan di luar negara wajar diteruskan. Kita mesti bersangka baik bahawa
tidak semua khalayak pembaca Barat dihantui Islamofobia atau tidak menyukai
sastera Islam.
Khalayak pembaca Barat pernah
menyukai puisi-puisi Omar Khayyam, Muhammad Iqbal, Ibn Arabi, Mawlana Jalaludin
Rumi dan sebagainya. Mudah-mudahan jendela sastera mereka yang sudah terbuka
itu, beransur-ansur akan dapat menerima masuk karya Islami yang lebih bersifat
pemikiran kontemporari dan ideologikal.
Akhirnya kita juga mungkin boleh
bertanya kepada pertubuhan Islam antarabangsa seperti OIC atau nadwah
persuratan Islam antarabangsa, apakah program serta aktiviti mereka untuk mengetengahkan
sastera Islam kontemporari karangan penulis Islam seluruh dunia Islam kepada
khalayak pembaca seluruh dunia? Kita harus bersama-sama memberi alternatif
terbaik kepada sastera dunia terbaik bukan saja pada aspek tekniknya, tetapi
yang lebih penting, pemikiran serta tujuan murninya.
Sumber : http : //www.bharian.com.my/