Rabu, 10 Jun 2009

ISU BAHASA INGGERIS SEBAGAI SYARAT LULUS SPM

Galak pelajar baca novel, akhbar boleh tingkat penguasaan bahasa

SAYA menyokong saranan Menteri Pelajaran supaya antara syarat lulus peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ialah mata pelajaran Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris. Namun, alangkah baiknya jika syarat lulus ditambah supaya calon SPM wajib juga lulus Pendidikan Islam untuk pelajar Islam dan Pendidikan Moral untuk pelajar lain.

Rasionalnya, di samping, pelajar dapat berkomunikasi dengan baik dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris, mereka juga kuat pegangan agama dan baik moral. Namun, soalan peperiksaan yang dikemukakan, janganlah terlalu tinggi arasnya sehingga pelajar yang akalnya masih rendah sukar memahaminya.

Berbalik kepada soal lulus Bahasa Inggeris dalam SPM, nampaknya, setakat ini masih ramai kurang yakin dengan kemampuan guru Bahasa Inggeris yang bertugas di luar bandar dan pedalaman.

Ada cadangan supaya guru berpengalaman di bandar dihantar ke kawasan berkenaan agar mutu pendidikan Bahasa Inggeris di luar bandar dan pedalaman meningkat.

Persoalannya, berapa ramai guru Bahasa Inggeris berpengalaman rela dihantar ke kawasan berkenaan? Tentu timbul masalah walaupun pelbagai insentif diberikan dan pada masa sama, kita seolah-olah menafikan kebolehan guru Bahasa Inggeris sedia ada di luar bandar.

Hakikatnya, pelajar di bandar menguasai Bahasa Inggeris bukan 100 peratus disebabkan kehebatan guru tetapi majoriti daripada mereka memang boleh berbahasa Inggeris sama ada di rumah dan di sekolah. Guru cuma memperkukuhkan dan ‘mengambil kesempatan’ daripada kebolehan pelajar itu.

Berdasarkan pengalaman selama lebih 33 tahun mengajar di sekolah, kebanyakan guru BI kurang memberi peluang kepada pelajar untuk berkomunikasi dan membaca dalam Bahasa Inggeris sebaliknya, guru lebih banyak bercakap dan menerangkan konsep khasnya yang berkaitan dengan teknik menjawab soalan peperiksaan.

Pelajar mendengar dan menjawab soalan saja. Mengapa ini berlaku? Jawapannya, tentu sekali disebabkan soalan peperiksaan yang kurang memberi peluang pelajar bertutur.

Pelajar juga kurang diberi peluang untuk membaca. Jika ada pun, mereka hanya membaca buku teks dan buku kerja.

Tidak banyak guru bahasa (sama ada Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu) yang menggunakan bahan terkini seperti akhbar dan majalah dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Tanpa membaca, bagaimana pelajar dapat menambah perbendaharaan kata, menguasai laras bahasa yang pelbagai dan menambah ilmu dengan isu terkini?

Sejak 2001, Kementerian Pelajaran memperkenalkan Komponen Sastera dalam Pengajaran Bahasa (Komsas) tetapi apa yang berlaku, program itu bukan menggalakkan pelajar membaca dengan seronok tapi membaca kerana terpaksa. Oleh itu, Komsas cukup sekadar bagi meningkatkan bacaan luas bukan untuk diuji dalam peperiksaan. Jika ia dapat dilaksanakan, maka jumlah antologi cerpen dan novel dapat ditambah bilangannya berbanding sekarang.

Kaedah pengajaran dan pembelajaran daripada bersifat ‘pengguna’ mesti ditukar kepada konsep ‘pencipta.’

Kini, pelajar sekadar menjawab (sebagai pengguna) dan kurang diberi peluang untuk menjadi ‘pencipta’ sedangkan dalam sukatan pelajaran dan huraian sukatan pelajaran subjek bahasa, banyak kemahiran yang bersifat ‘pencipta’ tetapi diabaikan lantaran soalan peperiksaan yang kurang bersifat menguji.

Oleh itu, dalam proses pengajaran dan pembelajaran bahasa, kita memerlukan perubahan drastik. Kita tidak boleh terkongkong dengan kaedah sedia ada. Di samping itu, pelajar sepatutnya diwajibkan memiliki akhbar dan majalah terkini untuk dijadikan bahan bacaan dan rujukan. Untuk sekolah luar bandar dan pedalaman, ada baiknya Kementerian Pelajaran mengedarkan secara percuma bahan bacaan ini.

Cadangan untuk memastikan pelajar lulus subjek BI dalam SPM wajar dilaksanakan tetapi bukan tahun depan tetapi lima tahun akan datang, iaitu kumpulan pelajar Tingkatan Satu 2010 yang akan mengambil peperiksaan SPM pada 2014. Kita perlu adil kepada pelajar dan janganlah mereka menjadi mangsa keadaan sekali lagi.

AZIZUL RAHMAN ABDUL RAHMAN,

Parit Sulong, Johor.

Sumber : http://www.bharian.com/

ISU PEMBUNUHAN UMAT ISLAM DI SELATAN THAILAND

Sedih ketegangan selatan Thailand terus berlarutan

TRAGEDI yang berlaku di dalam Masjid Al- Furqan di Kampung Air Tempayan, Narathiwat mengundang rasa sedih dan simpati sesiapa saja yang melihat gambar mayat yang ditutup dengan sejadah.

Perbuatan kejam itu memang wajar mendapat kutukan umat Islam seluruh dunia. Walaupun Malaysia tidak berhak campur tangan urusan dalaman Thailand tetapi hati rakyat negara ini terutama yang beragama Islam pasti tersentuh menyaksikan satu lagi peristiwa berdarah selepas peristiwa di Masjid Kerisik dan tragedi Tak Bai.

Pembunuhan kejam ke atas 11 orang termasuk imam serta mencederakan 19 orang lain pasti menimbulkan keresahan kepada penduduk tempatan.

Kita amat terkejut kerana tragedi itu menjadikan masjid sebagai sasaran. Paling mengejutkan ia berlaku pada hari yang sama Perdana Menteri Thailand, Abhisit Vejjajiva melawat Malaysia.

Beliau berkata kerajaannya komited untuk memperbaharui pendekatan bagi menyelesaikan kemelut di selatan negaranya.

Dengan kejadian terbaru pada malam Isnin lalu itu, kita tidak menolak ia akan menambahkan kesan negatif jangka panjang kepada wilayah yang bergolak itu.

Nampaknya jalan ke arah perdamaian dan mewujudkan kestabilan di wilayah itu akan terus menempuh jalan berliku dan sukar.

Apa pun, Kerajaan Thailand mesti menyelesaikan masalah politik wilayah itu kerana sejak Thaksin Sinawatra dan diikuti beberapa Perdana Menteri lain yang berjanji mahu menyelesaikan masalah selatan Thailand, masih gagal mengubah keadaan.

Sebagai anggota ASEAN, Thailand perlu diingatkan bahawa negara itu tidak wajar membiarkan keadaan huru-hara dan kekacauan berterusan di wilayah itu.

Sudah beberapa cadangan, pendekatan dan rundingan bagi mencari penyelesaian yang menguntungkan semua pihak diambil. Kerajaan Thailand harus akui bahawa penduduk di wilayah yang bergolak itu adalah rakyatnya yang sah dan telah menumpahkan taat setia kepada negara itu.

Sebab itu, demi keadilan - pengganas yang melakukan serangan dan pembunuhan di Masjid Al-Furqan perlu dicari hingga dapat. Jangan beri jawapan dan membuat dakwaan yang bukan-bukan.

Kita percaya pergolakan di selatan Thailand boleh diselesaikan jika wujud sikap saling percaya mempercayai antara penduduk tempatan dengan kerajaan.

Mungkin terdapat segelintir penduduk wilayah itu yang terlibat dengan aktiviti menentang kerajaan.

Tetapi mengambil persepsi semua penduduk Islam di selatan Thailand sebagai musuh kerajaan adalah tanggapan yang tidak betul. Apatah lagi menjadikan penduduk yang tidak bersalah sebagai mangsa.

Keganasan di selatan Thailand mesti dihentikan. Kerajaan negara itu kena duduk berbincang dengan pemimpin, guru agama, imam dan ketua kampung bagi mencari jalan mengatasi masalah yang timbul akibat salah faham.

Paling utama, kita harap jangan ada lagi ketegangan dan tragedi yang berpunca daripada sikap balas dendam dan kebencian yang meluap-luap akibat perbezaan agama.

Sumber :http://www.utusan.com.my/

INDAHNYA CIPTAAN TUHAN


Apabila bercerita tentang burung tempatan, antara jenis burung yang biasa dapat di lihat di kawasan kampung ialah burung kelicap. Burung kelicap ini sejenis burung yang kecil namun bunyinya tidak sepadan dengan badannya. Bunyi burung ini sangat nyaring dan riuh sekali apabila berkicau. Di kampung, burung ini sering kelihatan menghisap madu daripada bunga-bunga dan paling menggemari bunga jantung pisang.

Sepanjang lima hari berada di kampung sempena cuti sekolah kali ini satu peristiwa menarik dapat saya saksikan. Peristiwa ini amat mendatangkan kesan di hati saya apabila melihat bagaimana seekor burung kelicap yang bertanggungjawab telah membina sarang di tempat yang unik sebagai tempat tinggal yang selamat untuk dirinya dan anak yang bakal dilahirkan. Yang menimbulkan sedikit keanehan di sini ialah sarang burung tersebut dibina di bahagian luar ruang dapur rumah keluarga saya, tempat yang tentunya selamat daripada hujan kerana terletak di bawah ruang berbumbung. Burung kelicap yang selalunya membina sarang di bawah helaian daun liar di hutan atau kebun ini tentunya telah diberikan ilham oleh Allah S.W.T. untuk membina sarang di tempat baru yang pada fikiran makhluk Allah itu lebih selamat, selesa dan bebas daripada gangguan binatang pemangsa.

Saya sempat merakamkan beberapa keping gambar yang menunjukkan kedudukan sarang tersebut dan di dalam sarang tersebut terdapat dua ekor anak burung sedang menanti sang ibu menyuapkan makanan. Saksikan…


REAKSI WAJIB LULUS BAHASA INGGERIS

LANGKAH kerajaan untuk mendapatkan pandangan rakyat berhubung cadangan Bahasa Inggeris sebagai syarat wajib untuk lulus peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan memberi masa kepada semua pihak untuk mengemukakan cadangan dan pandangan sama ada ia perlu dijadikan dasar atau sebaliknya. Kerajaan nampaknya lebih bersikap terbuka dalam isu berkenaan selepas melihat masalah pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang masih belum ada penyelesaiannya. Kita menjangkakan timbul pro dan kontra berhubung isu berkenaan, malah Kementerian Pelajaran turut membuka saluran pandangan melalui talian khidmat pelanggan selain e-mel bagi mengumpul maklumat sebelum tindakan seterusnya diambil. Mungkin ibu bapa di bandar menyokong cadangan kerajaan ini, manakala penduduk luar bandar dan pencinta Bahasa Melayu, mungkin lain nadanya.

Kita berharap syarat wajib lulus Bahasa Inggeris untuk mendapat sijil SPM dilihat secara positif tanpa membabitkan emosi. Ini penting kerana pandangan bercampur baur emosi dan sentimen digabung dengan politik akan menimbulkan keadaan tidak keruan dalam membincangkan isu berkenaan. Sebelum ini pun sudah ada suara yang mahukan Kementerian Pelajaran meneliti kurikulum mata pelajaran Bahasa Inggeris kerana dikatakan terlalu lemah dan antara punca masalah pelaksanaan PPSMI. Ramai berpandangan kaedah pengajaran dan pembelajaran Bahasa Inggeris di sekolah sekarang tidak banyak membantu pelajar untuk menguasai bahasa berkenaan, terutama di luar bandar. Bagaimanapun, ramai pelajar Melayu yang gagal Bahasa Inggeris pada peringkat SPM tetapi mampu menguasai bahasa itu apabila menamatkan pengajian di Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang memberi penekanan kepada kaedah pengajaran dan pembelajaran yang betul. Begitu juga kanak-kanak yang belajar di tadika dengan menekankan program khusus pengajaran Bahasa Inggeris mampu menguasai bahasa itu dalam tempoh singkat, sedangkan enam tahun di sekolah rendah dan lima tahun di sekolah menengah, majoriti pelajar terutama di luar bandar tidak mampu menguasai bahasa itu.

Adakah kaedah pengajaran dan pengajaran Bahasa Inggeris yang menyebabkan pelajar gagal menguasai bahasa atau guru tidak menggunakan modul yang betul? Adakah benar sebahagian pelajar cukup takut atau bosan apabila guru bahasa Inggeris masuk kelas menyebabkan mereka sukar menguasai bahasa berkenaan? Mungkinkah dengan pelaksanaan dasar itu yang mempunyai elemen memaksa pelajar supaya belajar bersungguh-sungguh jika mahu lulus SPM akan dapat membantu meningkatkan standard atau mutu mata pelajaran itu? Kini semua pihak diberikan peluang untuk memberikan pandangan supaya jika dilaksanakan, ia dapat dilakukan dengan senang hati oleh semua pihak.

Sumber : http : //www.bharian.com/

TRANSFORMASI PENDIDIKAN BAHASA INGGERIS


DASar baru terhadap pendidikan peringkat SPM perlu kajian teliti dan tidak terburu-buru. - GAMBAR HIASAN


ISU penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar sekali lagi mendapat perhatian kerajaan apabila Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mencadangkan subjek itu wajib lulus sebagai syarat lulus Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Cadangan yang dibuka perdebatannya di kalangan orang ramai itu pastinya mengundang input yang pelbagai sementelah polemik mengenai isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) masih berlarutan.

Sama seperti PPSMI, cadangan itu antara lain bertujuan mempersiapkan para pelajar untuk menguasai kemahiran berbahasa Inggeris dengan baik sebelum melangkah ke institusi pengajian tinggi (IPT).

Ini kerana hampir keseluruhan IPT di negara ini menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar. Begitu juga dengan buku-buku rujukan yang kebanyakannya dalam bahasa utama itu. Justeru, tanpa penguasaan bahasa Inggeris yang baik, pelajar akan berhadapan dengan masalah sewaktu di IPT. Perkara ini sebenarnya adalah sesuatu yang lazim dalam senario pengajian tinggi negara ketika ini.

Kesannya, mahasiswa ini gagal bergraduan dengan cemerlang meskipun merupakan antara pelajar dengan keputusan terbaik sewaktu di peringkat sekolah rendah dan menengah.

Cadangan ini juga merupakan langkah jangka panjang untuk para pelajar menempuh alam pekerjaan dan membina masa depan yang lebih terjamin.

Mahu tidak mahu, kita perlu menerima hakikat bahawa untuk bersaing di peringkat yang lebih tinggi, kemampuan menguasai bahasa Inggeris adalah satu kewajipan.

Peranan bahasa utama dunia itu semakin penting terutamanya apabila pasaran kerja tidak lagi bersifat domestik semata-mata, sebaliknya mula melalui proses liberalisasi.

Isu mengenai pengangguran di kalangan siswazah yang semakin bertambah saban tahun misalnya, turut dikaitkan dengan kegagalan mereka menguasai bahasa Inggeris dengan baik.

Ia memandangkan sektor pekerjaan terutamanya swasta meletakkan kemahiran berbahasa Inggeris sebagai antara syarat utama.

Begitu juga di peringkat sektor awam apabila kerajaan bersungguh-sungguh membawanya mencapai taraf antarabangsa dengan sokongan modal insan yang semestinya bertaraf global.

Justeru, kemampuan menguasai bahasa Inggeris bukan lagi satu pilihan, sebaliknya merupakan keperluan. Kerana itu juga cadangan dasar ini mendapat reaksi yang positif daripada pelbagai pihak antaranya Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Datuk Ir. Dr. Zaini Ujang.

Malah beliau menambah, sewajarnya syarat lulus bahasa Inggeris juga diperluas bagi kemasukan matrikulasi dan program pengajian di peringkat diploma.

Langkah itu tambah Zaini merupakan usaha besar ke arah menyediakan rakyat Malaysia supaya lebih bersedia mendepani realiti ekonomi tanpa sempadan dan ledakan dunia siber yang dikuasai bahasa Inggeris.

''Bagaimanapun pelaksanaannya perlulah tanpa menafi dan mengabaikan keperluan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi," ujar beliau.

Bagaimanapun dalam melihat keperluan untuk bersama-sama berubah dengan proses globalisasi dan modenisasi, ia bukanlah bermaksud kerajaan perlu melakukan perubahan yang drastik sehingga mengorbankan kepentingan lain.

Dasar-dasar dalam pendidikan misalnya, memerlukan kajian dan penelitian yang mendalam kerana ia membabitkan masa depan anak bangsa.

Bagaimanapun, ia bukanlah bermaksud kerajaan perlu statik dan menolak sebarang perubahan apatah lagi sekiranya ia jelas merupakan satu penambahbaikan.

Sama juga halnya dengan cadangan syarat lulus subjek bahasa Inggeris ini yang secara langsung membabitkan para pelajar, guru-guru dan sektor pendidikan itu sendiri.

Kerajaan perlu berhati-hati dengan cadangan dasar ini kerana tidak mahu ia dilihat bakal menutup peluang kumpulan pelajar tertentu terutamanya di luar bandar untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Hakikatnya, pelajar di luar bandar atau lebih tepat pelajar-pelajar Melayu masih sangat lemah dalam penguasaan bahasa Inggeris.

Maka seandainya dasar ini dilaksanakan sebelum dipastikan bahawa ia benar-benar mampu melahirkan pelajar terutamanya di luar bandar dan Melayu dengan penguasaan bahasa Inggeris yang baik, tidak mustahil IPT pada masa depan akan didominasi oleh pelajar bukan Melayu.

Antara yang perlu diberi perhatian ialah kemampuan dari sudut transformasi sektor pendidikan dalam memenuhi keperluan ini.

Adakah kita mempunyai mekanisme dan struktur pendidikan yang berkesan untuk memastikan para pelajar mampu menguasai bahasa Inggeris dengan lebih baik berbanding sistem yang ada ketika ini?

Antara yang sering dipersoalkan ialah kemampuan warga pendidik. Hakikatnya di kalangan guru-guru sekali pun, penguasaan bahasa Inggeris masih lagi lemah. Faktor ini juga menjadi salah satu sebab mengapa dasar PPSMI dibantah.

Justeru, cadangan wajib lulus bahasa Inggeris sebagai syarat lulus SPM wajar melihat dari sudut kemampuan tenaga pengajar terlebih dahulu.

Mekanisme memperkasakan guru-guru dengan kemahiran berbahasa Inggeris perlu diperluas tidak hanya di kalangan guru subjek tersebut, malah kepada semua warga pendidik.

Begitu juga dengan modul pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris di sekolah. Apa yang pasti, seandainya cadangan ini tidak melibatkan rombakan besar dalam modul sedia ada, maka para pelajar akan berdepan dengan masalah. Cabaran untuk menarik minat pelajar kepada bahasa Inggeris bukanlah sesuatu yang mudah.

Subjek ini secara keseluruhannya gagal menarik minat pelajar kerana pelbagai faktor antaranya persekitaran yang tidak mesra dengan bahasa itu.

Melainkan di sekolah, itu pun pada waktu-waktu yang sangat terbatas, bahasa Inggeris boleh dikatakan tidak digunakan dalam kehidupan seharian majoriti para pelajar.

Lalu bagaimana mungkin bahasa Inggeris ini mampu dikuasai dengan baik? Kerana itu juga suka dicadangkan kerajaan menerusi cadangan ini turut memberi penekanan maksimum kepada pengajaran dan pembelajaran subjek ini.

Antaranya dengan menambah jumlah waktu pembelajaran di sekolah. Langkah lain yang dilihat sesuai ialah dengan memberi ruang kepada tenaga pengajar dari luar untuk mengendalikan kelas bahasa Inggeris.

Apa pun sekiranya dilaksanakan, kita tidak mahu cadangan ini mengundang kekalutan pada masa depan seperti mana yang berlaku terhadap dasar PPSMI.

Namun jika diperhalusi, ia sebenarnya boleh menjadi penyelesaian kepada polemik PPSMI yang masih berpanjangan.

Dasar ini dengan sendirinya dapat memperkukuhkan mekanisme pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris secara menyeluruh di sekolah.

Ia secara tidak langsung dapat meningkatkan kemahiran penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar melangkaui pelbagai subjek pendidikan.

Dengan itu, mata pelajaran Sains dan Matematik tidak lagi perlu diajar dalam bahasa Inggeris dan dikembalikan semula ke dalam bahasa Melayu.

Sumber : http://www.utusan.com.my/

JEREBU PETANDA AWAL EL- NINO




KUALA LUMPUR - Kemerosotan kualiti udara yang menyaksikan cuaca mula berjerebu di beberapa kawasan dianggap petanda awal kedatangan fenomena El-Nino mulai Ogos ini.

Berdasarkan pemantauan Jabatan Meteorologi Malaysia, El-Nino sudah terbentuk ekoran cuaca panas dan kering semasa musim Monsun Barat Daya, namun kekuatannya hanya dapat dikenal pasti mulai Ogos ini.

Serentak dengan itu, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar mahu beberapa langkah pencegahan diambil termasuk mengurangkan aktiviti pembakaran terbuka yang kini meningkatkan jerebu.

Kementerian itu dalam satu kenyataan akhbarnya semalam telah mengambil beberapa langkah awal membentuk kerjasama dengan beberapa agensi kerajaan yang berkaitan sebagai persediaan awal.

"Mesyuarat Jawatankuasa Induk Jerebu Kebangsaan telah diadakan 23 Februari dan 8 Jun lalu untuk memastikan semua agensi kerajaan bersedia menghadapi fenomena ini,'' jelasnya.

Selain itu, pihak kementerian turut melakukan pemantauan udara dengan kerjasama Unit Udara Polis Diraja Malaysia dan syarikat penerbangan swasta untuk mengesan pembakaran terbuka di beberapa kawasan berisiko seperti Selangor,Pahang dan Johor.

Sumber : http://www.kosmo.com.my/