Rabu, 17 April 2013

ISU SUKAN : Chong Wei, Pandelela terbaik


Oleh : Jumiati Rosly

Pertahan status Olahragawan dan Olahragawati Kebangsaan

Kuala Lumpur: Seperti dijangka pemain nombor satu dunia, Lee Chong Wei dan ratu terjun Pandelela Rinong dinobatkan Olahragawan dan Olahragawati Kebangsaan 2012 sekali gus mempertahankan trofi yang dimenangi pada 2011 di majlis Anugerah Sukan Negara 2012, malam tadi.

Kedua-dua atlet itu, masing-masing menyumbang pingat pada Sukan Olimpik 2012 di London menerima trofi dan wang tunai RM20,000 yang disampaikan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah di Subang Jaya, dekat sini.

Baru memperoleh cahaya mata sulungnya Jumaat lalu, Chong Wei yang menyumbang pingat perak keduanya di Olimpik London menewaskan enam atlet lain yang turut tercalon termasuk jaguh bina badan Sazali Abdul Samad, Muhammad Syafiq Ridhwan Abdul Malek (boling), Leong Tze Wai (karate), Khairul Anuar Muhamad (memanah), Yu Peng Kean (lawan pedang) dan Bryan Nickson Lomas (terjun).

Tuah anak saya

“Kelahiran anak lelaki diharap menjadi tuah buat saya terutama menjelang Kejohanan Dunia, tahun ini.

“Anugerah ini juga diharap menjadi dorongan untuk saya cipta lebih banyak kejayaan,” kata Chong Wei yang memenangi anugerah berprestij ini buat kali keempat (2005, 2008, 2011 dan 2012), sekali gus menyamai rekod kemenangan jurulatihnya, Rashid Sidek.

Kejayaan Pandelela membawa pulang gangsa acara 10m platform di London sekali gus melakar namanya sebagai atlet wanita pertama menyumbang pingat di pentas berprestij itu memberi kelebihan kepada atlet kelahiran Sarawak itu untuk dipilih pemenang.

“Walaupun saya menang atau tidak, saya tetap akan buat yang terbaik dalam kejohanan yang disertai,” kata Pandelela.

Dia menewaskan juara dunia skuasy tujuh kali Nicol David, Nur Suryani Mohamed Taibi (menembak), Esther Cheah (boling), Chai Fong Ying (wushu), Fatehah Mustapa (berbasikal) dan Quzandria Nur Muhamad Fathil (ekuestrian) yang turut tercalon.

Senarai Pemenang Anugerah Sukan Negara 2012 :

Olahragawan Kebangsaan: Lee Chong Wei (Badminton)
Olahragawati Kebangsaan: Pandelela Rinong (Terjun)
Pasukan Lelaki Kebangsaan: Skuad hoki remaja
Pasukan Wanita Kebangsaan: Skuad skuasy wanita
Olahragawan Paralimpik Kebangsaan: Hasihin Sanawi (Memanah)
Olahragawati Paralimpik Kebangsaan: Tiada pemenang
Jurulatih Lelaki Kebangsaan: Rashid Sidek (Badminton)
Jurulatih Wanita Kebangsaan: Tiada pemenang
Anugerah Kepimpinan Sukan: Datuk Seri Paul Mony Samuel (Bola sepak) dan Datuk Abu Samah Wahab (Berbasikal)
Anugerah Tokoh Sukan: Tan Sri Elyas Omar
Anugerah Khas: Ng Chow Seng (Angkat berat) dan Zulfahmi Khairuddin (Permotoran)

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU PENGAJIAN TINGGI : UM Mesra OKU

Kemudahan untuk penuntut OKU sentiasa ditmbah baik

Oleh : NOOR AINUL YAKIN MOHAMAD ISHAK

PELUANG golongan orang kurang upaya (OKU) untuk melanjutkan pengajian lebih tinggi kini terbuka luas dengan kemudahan yang semakin dinaiktarafkan oleh institut pengajian tinggi (IPT) termasuk Universiti Malaya (UM).

Sinonim dengan panggilan universiti mesra OKU di negara ini, kemudahan dan kebajikan yang dilakukan untuk golongan ini sentiasa ditambah baik melalui bantuan Seksyen Kaunseling, Kerjaya & OKU universiti berkenaan.

Justeru, kini semakin ramai yang memohon untuk menyambung pengajian di universiti ini kerana mengetahui UM antara universiti yang mengambil berat akan penuntutnya dan memastikan bakal graduan OKU mendapat pekerjaan diimpikan.

“Dengan kecacatan yang aku miliki ini, ada atau tidak universiti yang menyediakan kemudahan dan kursus sesuai untuk golongan seperti aku ini, nampak luaran mungkin agak payah tetapi dalam hati ini berkobar-kobar untuk terus belajar mengejar impian.”

Itu antara monolog dalaman yang sering menghantui golongan orang kurang upaya (OKU) apabila mahu menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Kerisauan demi kerisauan mula menerjah mereka apabila berhasrat untuk belajar lagi dan terlintas di fikiran, sama ada kebajikan mereka akan terjaga apabila ke institut pengajian tinggi (IPT).

Realitinya kini, pelajar OKU tidak lagi perlu risau akan kemudahan mereka di IPT nanti kerana kebanyakan universiti telah menyediakan kemudahan khas kepada penuntut OKU baik dari segi alat bantu pembelajaran, bilik kuliah, asrama dan kemudahan pengangkutan.

Pegawai Psikologi Seksyen Kaunseling, Kerjaya & OKU, Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Universiti Malaya (UM), Maznah Azis berkata, di universiti itu, kemudahan untuk golongan OKU lengkap disediakan.

Menurutnya, tugas seksyen itu juga untuk membantu perkembangan OKU, menyalurkan ke bahagian sepatutnya dan khidmat kaunseling di mana OKU memerlukan bantuan kemudahan.

“Sebenarnya penuntut OKU yang mendaftar masuk ke universiti ini ramai tetapi yang mendaftar di bawah seksyen ini hanya 44 penuntut semester ini iaitu 26 buta, 12 cacat fizikal, tiga cacat anggota dan tiga masalah pendengaran.

“Kita faham ada antara mereka malu untuk menonjolkan diri dan tidak memerlukan bantuan, namun sekiranya mereka mendaftar, kita dapat kenal pasti permasalahan mereka.

Misalnya ketika waktu peperiksaan, sekiranya penuntut OKU berdaftar dengan kami, masa peperiksaan mereka lebih panjang daripada penuntut lain. Jika tidak berdaftar mungkin mereka mengalami kesulitan untuk menjawab dengan cepat seperti yang lain,” katanya kepada Kampus.

Di bawah HEP juga ada menubuhkan Jawatankuasa Penasihat Kebajikan OKU, melibatkan pertubuhan bukan kerajaan luar untuk membantu menasihati segala perkhidmatan OKU.

UM yang terkenal sebagai universiti mesra OKU turut menyediakan kediaman khas. Mereka ditempatkan di Kolej Kediaman Za'ba di mana segala kemudahan untuk OKU ada disediakan di sana dan kedudukan lebih sesuai untuk golongan ini.

Namun, jika ada penuntut OKU yang mahu tinggal di kolej kediaman lain, pihak pengurusan tidak halang.

Kemudahan lain yang disediakan di UM seperti tempat letak kereta khas, kerusi roda automatik, alat bantu pembelajaran, bilik khas (karel) di perpustakaan, laluan pejalan kaki bagi penuntut buta dan seni bina bangunan yang lebih mesra OKU.

Bebas memilih kursus
                                                                                                                          
Ia diakui sendiri Yang Dipertua Persatuan Mahasiswa Istimewa UM (Permium), Nurul ‘Adilah Nazri, 23, yang kini memasuki tahun ketiga di UM mengenai penyediaan kemudahan OKU oleh pihak universiti dilihat sangat diambil berat.

“Kebanyakan kemudahan sepanjang pengajian bagi OKU tidak ada masalah, jika ada masalah pun kami akan berbincang dengan pihak pengurusan untuk ditambah baik.

“Pemilihan kursus bagi penuntut baru OKU juga tidak banyak masalah kerana kebanyakan bilik kuliah dan kursus ditawarkan sememangnya mesra OKU,” katanya yang mengalami masalah tulang kaki.

Kemudahan lif memang terhad disediakan, tetapi rata-rata OKU jika mahu ke tingkat atas sesebuah bangunan akan dibantu rakan normal lain sekiranya kelas di adakan di tingkat atas bangunan fakulti.

Tambah penuntut Sains Guaman dan Pengajian Islam ini, rata-rata pensyarah faham dengan situasi penuntut OKU yang mempunyai masalah untuk bergerak seperti penuntut normal, justeru mereka sering mengadakan kelas di tingkat bawah.

Tolak ansur dan sikap mengambil berat akan kekurangan yang dialami penuntut OKU ini menjadi penyebab UM dipilih antara universiti pilihan bagi golongan ini.

Peluang kerjaya

Satu lagi kerisauan yang sering dialami graduan OKU adalah apabila memikirkan syarikat sesuai untuk mendapatkan pekerjaan.

Ia dihadapi sendiri penuntut cacat penglihatan, Muhamad Nadhir Abdul Nasir, 22, yang agak risau mengenangkan masa hadapan untuk mendapatkan kerja.

“Pernah saya bertanya kepada abang senior yang cuba memohon pekerjaan, ada yang telah menghadiri 50 temu duga pelbagai syarikat untuk mendapatkan pekerjaan.

“Kerisauan berkenaan semakin lama semakin berkurangan apabila mengetahui kini kebanyakan syarikat telah menyediakan kemudahan untuk kakitangan OKU dan kaunseling yang diberikan seksyen ini sedikit sebanyak memberi pendedahan kepada golongan seperti kami untuk mendapatkan pekerjaan,” katanya.

Demi membuka ruang lebih luas akan kerjaya OKU, Bahagian HEP UM baru-baru ini mengadakan karnival kerjaya OKU yang dirasmikan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah apabila jemputan beberapa syarikat di karnival itu membolehkan penuntut OKU berinteraksi mengenai peluang pekerjaan di syarikat terpilih.

Segala program dan kemudahan yang disediakan oleh UM ini dilihat sangat baik untuk penuntut OKU dan masa hadapan mereka kerana mereka juga layak menerima kehidupan lebih baik sama seperti insan normal.

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/