Isnin, 19 November 2012

ISU PENDIDIKAN : Usah Pilih Kasih


Oleh Ruhaiza Rusmin dan Ihsan Noorzali
ruhaizarusmin@hmetro.com.my

HARI ini seramai 517,139 calon yang menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) lalu bakal menerima keputusan masing-masing, sekali gus menjawab persoalan mengenai tahap kemampuan mereka dalam peperiksaan berkonsep akademik.

Bagi calon terbabit, harapan bukan saja memperoleh keputusan cemerlang malah memberi kelegaan kepada ibu bapa yang mengharapkan anak mereka meraih kejayaan terbaik.

Bagi ibu bapa, pasti mengatur perancangan supaya anak mereka memperoleh tempat di sekolah berasrama penuh yang berprestij serta mempunyai rekod pencapaian cemerlang.

Keghairahan itu bagai mempertikaikan peranan serta kemampuan sekolah harian biasa melaksanakan mandat serupa.

Lebih prejudis, apabila timbul tanggapan sekolah harian biasa hanya layak untuk pelajar kurang cemerlang, keciciran serta tidak mempunyai keistimewaan seperti sekolah berasrama penuh.

Mengapakah wujudnya mentaliti seperti ini dalam kalangan ibu bapa? Apakah taraf sekolah harian hari ini masih tidak setanding sekolah berasrama penuh hingga perlu menerima sikap pilih kasih daripada ibu bapa?

Pensyarah Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjung Malim, Profesor Dr Othman Lebar berkata, mentaliti ibu bapa yang mengiktiraf sekolah berasrama penuh sebagai tempat paling berprestij antara punca sekolah harian menerima tempias diskriminasi.

Beliau berkata, kehendak ibu bapa yang mahukan anak mereka memperoleh pendidikan terbaik serta yakin pada rekod pencapaian, menjadikan mereka cukup ‘taksub’ pada sekolah berasrama penuh.

“Mentaliti seperti ini memang tidak asing dalam kalangan ibu bapa yang melihat sekolah berasrama penuh ada segala - galanya.

“Bagi ibu bapa, sekolah ini adalah pilihan terbaik bagi pelajar untuk berjaya pada masa depan. Tiada kompromi.

“Sebab itu, tidak hairanlah jika ada dalam kalangan ibu bapa terlebih teruja membuat keputusan untuk anak biarpun pada masa sama mungkin penerimaan anak sebaliknya,” katanya.

Pemilihan melanjutkan pelajaran di sekolah berasrama menjadi sasaran utama pelajar dan ibu bapa sebaik saja keputusan peperiksaan diumumkan, biarpun penempatan terhad.

Pelajar yang dapat memasuki sekolah berasrama penuh juga bukan saja dikategorikan bijak, malah menikmati situasi pembelajaran bertahap maksimum selain mempunyai disiplin tinggi.

Sikap ibu bapa yang memandang tinggi pada sekolah berkenaan juga bagai mengetepikan hak serta fungsi sekolah harian.

Mengulas tanggapan yang seolah-olah merendahkan taraf serta kurang yakin pada kemampuan sekolah menengah harian, beliau berkata, ia sewajarnya diubah.

“Ramai mempunyai tanggapan skeptikal pada sekolah harian. Ada beranggapan sekolah itu hanya untuk mereka yang kurang cemerlang atau keciciran.

“Tanggapan itu jauh meleset kerana sekolah harian hari ini banyak melalui proses transformasi serta penambahbaikan.

“Yang membezakannya cuma cara kawalan, disiplin serta budaya belajar. Sekolah berasrama penuh ada sistemnya begitu juga sistem persekolahan harian,” katanya.

Katanya, walaupun kedua-dua berbeza pendekatan, peranan serta matlamatnya tetap sama iaitu menjadi saluran penting pendidikan dan pemberian ilmu kepada pelajar.

“Setiap proses penyampaian ilmu tiada bezanya dan tidak bersandarkan pada status sekolah.

“Jadi, jangan biasakan diri memberi taraf terhadap pencapaian sesebuah sekolah itu. Yang perlu ditekankan ialah bagaimana peranan sekolah itu melahirkan pelajar berjaya yang menepati kehendak serta sahsiah diri,” katanya.

Sekolah harian juga katanya, mempunyai barisan guru berdedikasi, kelayakan setara serta pada masa sama turut memperoleh pengiktirafan daripada pelbagai pihak.

“Kita patut melihat transformasi perubahan yang dilakukan sekolah harian pada masa sekarang kerana mereka juga mempunyai kapasiti tinggi untuk melahirkan pelajar cemerlang.

“Malah, pengiktirafan turut diterima daripada pelbagai pihak selain kejayaan pelajarnya mendominasi aspek tertentu. Sekolah harian hari ini bukan lagi berstatus rendah yang boleh diperlekehkan,” katanya.

Beliau turut menyangkal pelajar sekolah berasrama penuh sentiasa cemerlang dan berada dalam senarai tangga teratas pilihan melanjutkan pengajian ke peringkat universiti.

“Tanggapan pelajar sekolah berasrama penuh sentiasa cemerlang dan menduduki senarai tertinggi manakala sekolah harian tidak hanya akan menimbulkan kekeliruan serta tekanan.

“Bayangkan, pelajar ini akan menempuh proses kehidupan dan pendidikan berterusan, namun pada masa terpaksa berdepan tekanan dari semua arah. Ini akan mengakibatkan keputusan tidak dijangka.

“Tidak salah meletakkan harapan pada anak, namun biarlah tidak sampai menimbulkan tekanan,” katanya.

Ibu bapa juga katanya, perlu memberi ruang kepada anak untuk membuat pilihan di mana mereka mahu melanjutkan pelajaran.

Akuinya, kadangkala penempatan atau pemilihan sekolah biasanya dibuat ibu bapa dengan sekolah berasrama penuh dilihat mempunyai kapasiti terbaik selaras jaminan masa depan.

“Masalah timbul jika anak kurang berminat, tapi ibu bapa mendesak. Ini pasti akan menimbulkan konflik, mengganggu emosi serta mematahkan impian anak.

“Setiap pelajar mempunyai perancangan tersendiri. Walaupun ibu bapa berkeinginan anak mereka belajar di sekolah berasrama penuh, jangan abaikan permintaan atau perasaan anak.

“Ini kerana mereka yang bakal berdepan dengan perjalanan proses itu, bukannya ibu bapa,” katanya mengakui tidak salah andai kata pelajar cemerlang mahu melanjutkan persekolahan di sekolah harian.

“ Jika itulah kehendak pelajar, mengapa tidak dituruti? Mungkin ada sebabnya mengapa mereka mahu bersekolah harian seperti tidak mahu terkongkong,” katanya.

Beliau berkata, pelajar di negara ini umumnya dikategorikan ‘pelajar kurang berdikari’ (independent learner) yang hanya bergantung kepada guru sewaktu proses pembelajaran berlangsung.

“Justeru, mereka terlalu berstruktur dikawal guru dan tidak boleh membuat keputusan sendiri dengan baik. Mungkin sebab itu, ibu bapa berasakan sekolah berasrama penuh boleh menjadi medan berdikari.

“Apapun, sama ada sekolah berasrama atau tidak, kuasa mutlak untuk menentukan kejayaan terletak pada pelajar. Jika ada keinginan, di mana-mana jua pun tempat belajar, mereka boleh cemerlang.

“Lokasi sekolah hanya sebagai pemangkin. Asas kejayaan adalah diri sendiri,” katanya.

Sumber : http : //www,hmetro,com.my/

ISU PENDIDIKAN : UPSR 2012: Prestasi 7 negeri turun



KUALA LUMPUR - Keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah tahun ini tidak banyak berbeza berbanding tahun lepas dengan beberapa negeri menunjukkan peningkatan dalam jumlah dan peratusan murid yang memperoleh keputusan semua A.

Selain Kuala Lumpur, negeri yang mencatat peningkatan ialah Sarawak, Negeri Sembilan, Kedah, Pahang, Sabah dan Perlis.

Tujuh negeri pula mencatat sedikit penurunan iaitu Terengganu, Pulau Pinang, Kelantan, Perak, Selangor, Johor dan Melaka.

Di KUALA LUMPUR, 2,487 atau 10.35 peratus daripada 24,021 calon memperoleh gred A bagi semua mata pelajaran.

Pengarah Pelajaran Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Abdullah Mad Yunus berkata, keputusan itu menunjukkan peningkatan sebanyak 0.37 peratus berbanding tahun lepas iaitu 2,441 murid daripada 22,766 calon mendapat semua A.

Beliau berkata, tiga sekolah yang mencatat pencapaian semua A tertinggi ialah Sekolah Kebangsaan Setiawangsa (97 murid), Sekolah Kebangsaan Bukit Damansara (93 murid) dan Sekolah Kebangsaan Taman Tun Dr Ismail 1 (89 murid).

Di KUCHING, 2,010 daripada 45,946 calon UPSR Sarawak mencatat keputusan semua A berbanding 1,835 calon tahun lepas, iaitu peningkatan sebanyak 175 orang atau 0.22 peratus, kata Pengarah Pelajaran Sarawak Abdillah Adam.

Beliau berkata, seramai 26,009 calon atau 56.9 peratus berjaya memperoleh sekurang-kurangnya penguasaaan minimum Gred C dalam semua mata pelajaran yang diambil, berbanding 24,344 calon atau 55.52 peratus pada tahun lepas, peningkatan sebanyak 1.38 peratus.

Di SEREMBAN, Timbalan Pengarah Pelajaran Negeri Sembilan Kalsom Khalid berkata, seramai 2,197 orang atau 11.4 peratus memperoleh keputusan penuh 5A atau 7A berbanding 2,169 calon atau 11.6 peratus pada 2011.

Beliau berkata, seramai 13,632 calon atau 70.9 peratus pelajar mencapai tahap penguasaan minimum gred 'C' dalam keseluruhan mata pelajaran yang diambil, meningkat 2.6 peratus berbanding pencapaian 2011.

Di KUANTAN, jumlah pelajar UPSR di Pahang yang memperoleh keputusan 5A turut meningkat kepada 3,025 berbanding 2,977 tahun lepas.

Timbalan Pengarah Pelajaran Pahang Rosdi Ismail berkata seramai 19,152 calon pula berjaya menguasai semua mata pelajaran iaitu mendapat gred A, B dan C.

Dalam masa sama, beliau berkata pencapaian calon UPSR sekolah di tanah rancangan Felda yang berjaya mendapat gred serupa juga menunjukkan trend peningkatan iaitu 452 orang daripada 5,062 calon berbanding tahun lepasa, 446 orang dari 5,004 calon.

Di KANGAR, walaupun jumlah calon UPSR negeri Perlis tahun ini berkurangan namun jumlah yang mencatat keputusan cemerlang meningkat kepada 416 orang berbanding 388 orang pada 2011.

Pengarah Pelajaran Perlis Dun Kasa berkata peratus kelulusan keseluruhan juga meningkat sebanyak 3.31 peratus kepada 65.71 peratus.

Di ALOR STAR, seramai 3,342 calon di Kedah memperoleh gred A dalam semua mata pelajaran, meningkat sebanyak 0.11 peratus berbanding tahun lepas.
  
Pengarah Pelajaran Kedah Mansor Lat berkata pencapaian peratus kelulusan keseluruhan UPSR 2012 negeri itu meningkat 1.87 peratus kepada 66.32 peratus berbanding 64.45 peratus tahun lepas.
  
Di KENINGAU, seramai 1,035 daripada 45,337 calon UPSR 2012 di Sabah memperoleh keputusan A bagi semua mata pelajaran yang diambil, sekaligus menunjukkan peningkatan 0.04 peratus berbanding tahun lepas, kata Pengarah Pelajaran Sabah Datuk Dr Muhiddin Yussin.
  
"Pada keseluruhannya seramai 21,140 calon atau 47.22 peratus berjaya mencatat sekurang-kurangnya gred C dalam mata pelajaran diambil yang menunjukkan peningkatan 2.19 peratus berbanding 20,403 calon tahun lalu," katanya.
  
Di KUALA TERENGGANU, seramai 3,012 dari 22,790 calon mendapat keputusan semua'A', merosot kepada 13.22 peratus berbanding 15.56 peratus tahun lepas, kata Pengarah Pelajaran Terengganu Zakaria Hussin.

Di SHAH ALAM, Timbalan Pengarah Pelajaran Selangor Mohd Salleh Mohd Kassim berkata 8,581 calon memperoleh semua A, menurun 0.96 peratus daripada 9,004 calon cemerlang tahun lepas.
   
Seramai 54,092 calon pula lulus dalam semua mata pelajaran yang diambil dengan gred minimum C.
   
Di IPOH, seramai 3,718 calon UPSR di negeri itu memperoleh gred cemerlang dalam semua mata pelajaran berbanding 3,882 calon tahun lepas, menurun sebanyak 0.82 peratus.
  
Timbalan Pengarah Pelajaran Perak Mohd Idris Ramli berkata bagaimanapun jumlah calon yang mencapai tahap penguasaan minima (ABC) bagi semua mata pelajaran yang diduduki meningkat kepada 28,298 calon berbanding 26,818 calon tahun lepas.
   
Di JOHOR BAHARU, Pengarah Pelajaran Johor Md Nor A Ghani berkata 9.07 peratus calon memperoleh keputusan semua A, menurun sabanyak 0.69 peratus berbanding 9.76 peratus pada 2011.
   
Beliau berkata peratusan calon yang mendapat pencapaian Baik dengan minimum gred C bagi semua mata pelajaran yang diduduki meningkat sebanyak 0.57 peratus daripada 59.66 peratus tahun lepas kepada 60.23 peratus tahun ini. - Bernama