Oleh : Ku Seman Ku Hussain
PROVOKASI terbaharu Korea Utara
dengan melancarkan ujian nuklear terbesar 12 Februari lalu menguji ketegasan
Presiden Amerika Syarikat (AS) Barack Obama. Sebelum ini Obama cuba mempotretkan
dirinya pejuang membebaskan dunia daripada senjata nuklear. Obama hanya memberi
amaran dan menganggap provokasi ini suatu yang sangat serius. Tetapi belum
memberikan sebarang kenyataan tegas terhadap provokasi yang mencetuskan
ketegangan dengan China, Jepun dan Asia Tenggara.
Ujian nuklear ini memperlekeh
resolusi Majlis Keselamatan PBB yang menghalang Korea Utara membangunkan loji
senjata nuklear. Resolusi ini turut disokong oleh China yang menjadi sekutu
Korea Utara. Kegagalan China menghalang ujian nuklear ini mencetuskan
ketegangan dengan AS yang mempunyai kepentingan di Korea Selatan.
Obama beberapa kali mengugut mahu
menyerang Iran kerana didakwa membangunkan loji senjata nuklear walaupun
sebenarnya untuk menjana tenaga. Kini dengan provokasi terbaru Korea Utara,
tembelang Obama yang mempunyai agenda tersembunyi di Iran telah terbongkar.
AS yang muncul sebagai negara
yang lantang menentang program nuklear Iran tetapi membisu dengan program
nuklear Israel. Dalam isu Korea Utara sebelum ini juga AS tidak memperlihatkan
kesungguhan seperti yang ditekankan kepada Iran. Malah Iraq yang dihancurkan
oleh AS juga kerana menuduh negara itu membangunkan senjata nuklear tetapi
hingga kini belum terbukti.
Walaupun Korea Utara secara
terang-terang memperagakan kekuatan senjata nuklearnya, AS tidak begitu risau
kerana tidak mempunyai kepentingan selain 25,000 tentera yang berpangkalan di
Korea Selatan. Padahal ujian kali ini sangat bahaya kepada kestabilan dunia
termasuk Asia Tenggara dan Asia Timur.
Peluru berpandu
Pada 11 Disember lalu, Korea
Utara melancarkan ujian peluru berpandu jarak jauh yang merentasi kepulauan
Okinawa dan mendarat di zon ekonomi eksklusif perairan Filipina. Peluru
berpandu itu mampu mencapai sasaran 300 kilometer atau 162 batu nautika. Tetapi
Obama tidak memperlihatkan kesungguhan untuk mendesak Majlis Keselamatan PBB
mengambil tindakan.
Media AS yang menyokong Obama
pula cuba mengaitkan Iran yang dikatakan menyokong tindakan Korea Utara. Tetapi
tidak ada fakta yang menyokong konspirasi tersebut selain andaian bahawa
kedua-duanya musuh AS. Sebaliknya ini lebih sebagai perang saraf supaya
mewajarkan sekatan oleh Majlis Keselamatan terhadap Iran.
AS yang mempunyai pengaruh besar
ke atas Majlis Keselamatan PBB mesti bertindak menyekat kemaraan Korea Utara
melanggar resolusi badan dunia itu. Provokasi kali ini memperlihatkan pemimpin
muda Korea Utara, Kim Jong-un yang berusia 30 tahun itu tidak gentar dengan AS
selepas mengambil alih kuasa daripada ayahnya pada Disember 2011.
China pula berada dalam dilema,
antara menjaga hubungan dengan AS dan juga Korea Utara. Tetapi dengan pantas
mengambil tindakan menghentikan bantuan makanan dan minyak kepada Korea Utara
yang dihulurkan sejak sepuluh tahun lalu. Ini kerana Korea Utara kini dilanda
krisis kebuluran yang teruk.
China adalah satu-satunya negara
yang banyak membantu Korea Utara. Sekiranya China terus menghentikan bantuan
makanan dan minyak, Korea Utara akan lebih menderita. Tetapi kerana fahaman
komunis yang tebal, Kim Jong-un membiarkan warganya kebuluran untuk dia
menggunakan belanja besar membangunkan loji senjata nuklear.
Konflik ini dijangka
merenggangkan hubungan Korea Utara dan China apabila Kim Jong-un menuduh negara
itu diperalatkan oleh AS menekan Korea Utara. Kim Jong -un menuntut supaya
pemimpin China yang baru, Xi Jinping berani menyatakan pendirian menyokong
Korea Utara.
Sementara kepada AS pula,
daripada sengaja mencari alasan untuk menyerang Iran kerana mempunyai kekayaan
hasil minyak, AS didesak supaya memperlihatkan ketegasan sebagai "polis
dunia" yang membanteras senjata nuklear.
AS sebenarnya tidak digeruni oleh
Korea Utara. Buktinya dalam satu provokasi menembak kapal Korea Selatan yang
mengakibatkan 46 orang maut, AS menghantar kapal perang pengangkut induk USS
George Washington ke perairan Korea. Tujuannya mahu membalas provokasi
mengadakan latihan "peperangan" terbesar dan dipamerkan kepada Korea
Utara.
Penyertaan USS George Washington
dalam latihan itu adalah mesej dari AS kepada Korea Utara. Perairan Korea telah
ditawan oleh kapal perang, kapal selam, jet pejuang dan helikopter tercanggih
Korea Selatan. Sementara kapal USS George Washington pula mempamerkan 70 jet
pejuang di atas deknya bersama lebih 5,000 bala tentera.
Toleransi
Tetapi seperti sikap Korea Utara
yang ditunjukkan selama ini, provokasi berprofil tinggi itu tidak akan
memberikan sebarang kesan. Ini bukanlah kali pertama Korea Utara dikacau AS
tetapi tidak pernah menunjukkan sebarang toleransi, jauh sekali untuk berdamai.
Mesej "perang" di
perairan Korea sebelum ini seolah-olah tidak sampai kepada Korea Utara.
Malangnya China pula memahami latihan itu sebagai provokasi kepada China
sekalipun AS cuba berbaik-baik dengan kuasa ekonomi baru itu. Di perairan timur
negara itu, China juga mengadakan "latihan" ketenteraan secara
besar-besaran. AS telah tersilap strategi, latihan perang untuk memberi tekanan
kepada Korea Utara disalah anggap oleh China. Para penganalisis menganggap
latihan itu sebagai reaksi kepada "perang" di perairan Korea yang
disertai oleh AS.
Suatu yang menimbulkan persoalan
ketika ini ialah sikap berdiam diri Perdana Menteri Korea Selatan yang dipilih
tahun lalu, Park Geun-hye. Adakah berdiam diri menghadapi provokasi ujian
nuklear itu sebagai bukti kesungguhan Park Geun-hye untuk berbaik-baik dengan
Korea Utara yang selari dengan Sunshine Policy yang mahu dihidupkan semula?
Sebaik sahaja menjadi Perdana
Menteri akhir tahun lalu, perkara pertama yang ditekankan ialah merapatkan
jurang dengan Korea Utara. Persoalannya sejauh manakah sikap Park Geun-hye itu
boleh mempengaruhi pemimpin semuda Kim Jong-un melanggar wasiat ayahnya supaya
mempertingkatkan program senjata nuklear?