Selasa, 12 Mei 2009

RAWAT PESAKIT DENGAN SENTUHAN PROFESIONAL


Oleh RUSINAH SIRON

HARI Jururawat Antarabangsa yang diraikan pada setiap 12 Mei telah disambut semalam. Profesion jururawat adalah mulia dan perlu disanjung tinggi oleh setiap lapisan masyarakat. Jadi setiap masyarakat harus memberi penghormatan kepada jururawat supaya mereka terus berkhidmat dengan beretika dan prihatin terhadap pesakit-pesakit.Peranan jururawat terkandung dalam perkataan JURURAWAT itu sendiri yang mempunyai makna dan maksud yang tersirat dan tersurat bagi menjelaskan peranan dan tugas seorang jururawat.

J - Jari Jemari
Jari jemari jururawat yang lembut melayan pesakit merupakan satu rangsangan ke arah penyembuhan pesakit dengan lebih cepat. Sentuhan jari jemari jururawat yang lemah lembut sangat penting bagi memberikan perkhidmatan yang baik kepada pesakit.
Jari jemari jururawatlah yang menyuapkan ubat ke mulut pesakit yang kritikal, membetulkan alatan pesakit, menyelimutkan pesakit dan pelbagai lagi rawatan dan perhatian jururawat kepada pesakitnya.

U - Usaha
Jururawat perlulah sentiasa berusaha untuk mempertingkatkan kualiti perkhidmatannya. Jururawat adalah pembantu setia kepada doktor. Jururawat perlu berusaha membantu doktor dan pesakit dengan semangat dan usaha yang jitu tanpa rungutan dan bantahan terhadap pekerjaan yang diamanahkan kepadanya.
Usaha murni jururawat membantu pesakit sangat dipandang tinggi oleh pesakit khususnya dan masyarakat amnya.

R - Rawat
Tugas utama jururawat adalah merawat pesakit yang telah didiagnosa sakitnya oleh para doktor. Tugas merawat meliputi pelbagai kaedah rawatan. Ada jururawat yang kreatif dengan bercerita dan memotivasi pesakit dengan kata-kata yang manis dan merdu didengar oleh telinga pesakit agar pesakit cepat sembuh. Ada yang merawat dengan pelbagai kaedah perubatan yang dicadangkan oleh doktor. Pesakit lumpuh akan sentiasa didorong untuk berjalan dan dilatih dengan baik agar dia mampu bergerak sedikit dan diberi harapan.

U - Umpama Lilin
Masih ingatkah kita kepada nama besar dalam dunia kejururawatan iaitu Florence Nightingale yang sepanjang hayatnya merawat dan membantu pesakit. Pada waktu malam Nightingale melawat setiap katil pesakit dengan menggunakan lilin di wad pesakit yang serba kekurangan.
Layanan Nightingale yang penuh keikhlasan dan kemurnian hati itu menjadi simbol bahawa dunia kejururawatan adalah profesion yang penuh dengan nilai murni bagi membantu pesakit untuk pulih dan membina kehidupan baru.

R - Respons
Seorang jururawat itu perlulah sentiasa memberi respons kepada masalah dan pertanyaan pesakit yang dikemukakan kepadanya. Respons yang diberikan oleh jururawat kepada pesakitnya perlu mempunyai hemah dan etikanya agar pesakit tidak terkejut atau terkedu dengan jawapan yang diberikan oleh jururawat.
Contohnya jika pesakit yang mempunyai penyakit kritikal bertanya kepada jururawat, "Puan, macam mana dengan sakit saya, ada peluangkah atau tidak untuk sembuh", jururawat yang kasar akan menjawab dengan kasar "sakit macam awak ni memang tak ada peluang nak hidup lama". Tetapi jururawat yang kaya dengan hemah dan budi bahasa akan menjawab dengan lembut, "Insya-Allah, setiap sakit ada ubatnya, bersabarlah, kami akan menjaga encik dengan baik". Begitulah yang dikatakan respons yang baik yang perlu jururawat berikan kepada pesakit.

A - Amalan
Seorang jururawat perlu memberi perhatian kepada amalan sebagai jururawat yang baik seperti berbudi bahasa dan berlembut dalam tingkah laku dengan pesakit, mempunyai keperibadian yang baik dari segi penampilan dan imej. Bermanis muka dan kaya dengan senyuman kepada pesakit. Datang tepat pada masa, mempunyai integriti yang tinggi terhadap kerahsiaan dan rekod pesakit. Seorang jururawat perlu sentiasa memberi perhatian kepada pesakitnya dan tidak sesekali menyakiti dan bersikap sombong kepada pesakit. Seorang jururawat perlu mempunyai etika, profesionalisme, cekap dan amanah.

W - Wibawa
Seorang jururawat yang berwibawa sangat diperlukan dan diyakini oleh doktor dan pesakit. Jururawat yang berwibawa tahu dengan benar dan tepat tugasan yang perlu dijalankan tanpa perlu banyak merujuk dan diajar oleh doktor. Adalah amat memalukan jika jururawat itu pula diajar tentang tugas dan peranannya oleh pesakit. Jururawat yang berwibawa perlu mempunyai sikap ingin belajar dan memperbaiki tugas yang dijalankannya. Jururawat yang berwibawa juga akan sentiasa memberi komitmen, kreativiti dan keikhlasan dalam melaksanakan tugas-tugasnya sebagai jururawat.

A - Aspirasi
Bukan semua orang boleh menjadi jururawat kerana tugas itu bukan mudah. Dia bukan sahaja merawat pesakit tetapi juga membawa bersama nilai dan aspirasi organisasi tempat ia bekerja. Aspirasi hospital dan klinik-klinik di mana jururawat bertugas perlu dipraktikkan bagi merealisasikan aspirasi tersebut dengan jayanya.

T - Teras
Teras kepada tugas jururawat adalah integriti dalam menjalankan tugas. Pesakit sebagai pelanggannya adalah fokus utama dalam menjalankan tugas dengan penuh integriti. Teras kejayaan kepada tugas kejururawatan adalah tekun dalam menjalankan tugas, tepat masa dalam kedatangan dan merawat pesakit, tahan cabaran dalam menjalankan tugas serta menjaga kerahsiaan dokumen dan rekod pesakit mengikut kehendak dan keperluan organisasi.
Para jururawat perlu memahami dengan jelas tugas dan peranan sebagai jururawat agar tidak terdapat rungutan dan komplen daripada masyarakat bahawa jururawat tidak menjalankan peranannya dengan baik dan berkesan.

Kepada semua jururawat, Selamat Hari Jururawat dan rawatlah pesakit dengan sentuhan emosi dan fizikal yang profesional.

Prof. Madya Dr. Rusinah Siron
Kolej Pengurusan Bisnes dan Perakaunan, UNITEN

Sumber:http://www.utusan.com.my/