Khamis, 28 Oktober 2010

Bahagian Pembudayaan Bahasa Melayu ditubuhkan


KUALA LUMPUR 28 Okt. - Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan mewujudkan Bahagian Pembudayaan Bahasa Melayu dalam usaha memastikan penggunaan bahasa kebangsaan yang berkesan di kalangan masyarakat majmuk di negara ini.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, melalui penubuhan bahagian itu, ia bukan sahaja dapat memperkasa dan memperhebatkan bahasa Melayu malah meningkatkan populariti bahasa kebangsaan di semua peringkat.

Malah beliau berkata, pihaknya akan mencadangkan supaya bahasa Melayu diguna pakai dalam setiap urusan termasuk dalam mesyuarat rasmi serta seminar.

"Sekiranya orang Melayu sendiri tidak megah atau berasa malu untuk memperjuangkan bahasa ibundanya sendiri sudah tentu bahasa dan budaya Melayu tidak akan maju," katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan buku Melayu Bandar: Menongkah Cabaran Merubah Penghidupan di sini hari ini.

Buku tersebut sebuah kajian tentang sosiobudaya masyarakat Melayu yang dihasilkan oleh mahasiswa dari China, HanXiao @ Indah ketika menuntut di peringkat Ijazah Sarjana di Universiti Malaya (UM) dan ditulis sepenuhnya dalam bahasa Melayu.

Rais berkata, penubuhan bahagian itu juga sekali gus dapat membantu agensi seperti Dewan Bahasa Pustaka (DBP) dan institusi pengajian tinggi (IPT) menjayakan amalan dan kempen program bahasa.

Ini kerana katanya, agensi seperti DBP hanya tertumpu kepada kerja-kerja penerbitan, menyelidik bahasa dan memperkenalkan istilah baru manakala Kementerian Pelajaran pula hanya memberi tumpuan kepada sekolah-sekolah.

Justeru kata beliau, adalah menjadi tugas kementerian untuk menjadi tonggak dalam memainkan peranan menguar-uar dan menjayakan program kempen bahasa.

Dalam pada itu beliau berkata, usaha mempopularkan bahasa Melayu juga amat penting bagi menggalakkan penyertaan golongan bukan Melayu dalam memperkasakan bahasa kebangsaan.

Oleh itu jelasnya, pihaknya akan bekerjasama dengan beberapa universiti tempatan bagi menggalakkan penghasilan buku-buku dalam bahasa kebangsaan di samping menerbitkan buku-buku berkualiti tinggi.

Katanya, sebuah panel akan diwujudkan bertujuan meneliti kriteria yang ditetapkan sebelum mengagihkan peruntukan kepada universiti untuk kemudahan kepada penulis menghasilkan buku-buku yang mempunyai nilai sosiobudaya dan sosioekonomi masyarakat.

Di samping itu jelasya, tesis-tesis penting khususnya berkaitan aspek kebudayaan dan nilai budi bahasa juga akan dinilai untuk diterbitkan.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/