Selasa, 14 April 2009

MEMBETULKAN YANG BIASA (SIRI 1)

Benarkah perkataan "justeru" tidak boleh digunakan sebagai penanda wacana dalam penulisan karangan?

Apabila kita merujuk Kamus Dewan, perkataan justeru dijelaskan maksudnya sebagaimana berikut :
i. kebetulan, tepat, kena benar.
ii. malahan, bahkan

Justeru yang bermaksud malahan atau bahkan digunakan sebagai penanda wacana penghubung yang memberikan maklumat tambahan kepada sesuatu perkara yang diperkatakan sebelumnya.

Contoh:

i. Kuasa melalui proses undang-undang diiktiraf oleh mahkamah. Undang-undang bukan sahaja menentukan bahawa kuasa itu sah, justeru(malahan) menentukan bahawa kuasa itu digunakan dengan munasabah, adil, jujur dan saksama.

ii. Masalah sosial yang dibincangkan oleh masyarakat ini memang memeningkan kepala, justeru(malahan) membimbangkan semua pihak.

iii. Sekali-kali tidak pernah saya mencaci dia, justeru (malahan) saya puji dia.

Kalau kita melihat kepada contoh ini, maka perkataan “justeru” tidak sesuai digunakan sebagai penanda wacana di permulaan ayat. Fungsinya adalah sebagai penanda wacana penghubung yang sama maksudnya dengan perkataan malahan atau bahkan.