Sabtu, 31 Julai 2010

PELARASAN SUBSIDI DIDIK KITA LEBIH BERHEMAT

Oleh Zainul Arifin

Rakyat perlu bijak berbelanja bagi kurangkan beban perbelanjaan kerajaan

KEBANYAKAN kita pernah tinggal di rumah bujang. Selalunya dengan kawan-kawan, menyewa bilik dan berkongsi rumah. Selalunya keadaannya tidaklah sebaik di rumah sendiri. Makan, contohnya, sama ada di kedai atau masak sendiri, bukan disediakan seperti di rumah. Baju dicuci dan bilik dikemas sendiri. Elektrik kena bayar, begitu juga air.

Sewa rumah pula perlu dijelaskan setiap bulan jika tidak kena keluar. Katil selalunya tilam span nipis di atas lantai dan almari selalunya cukup untuk simpan baju saja.

Sememangnya kualiti hidup kita menurun bila hidup sendiri. Kita pula mula mengira dan mencatu belanja. Masa itu barulah kita tahu nilai sebenar kita - adakah kita berbelanja lebih daripada pendapatan, atau mampukah kita hidup seperti di bawah bumbung ibu bapa.

Namun, kita lakukan itu semua kerana menjadi lumrah dunia apabila dewasa untuk cuba berdikari. Ini suatu perjalanan hidup hampir semua kita. Di dunia haiwan, jika anak muda tidak berpindah, ia akan ditendang keluar. Apapun sebab kita berpindah, kita tahu kita tidak boleh terus tinggal di bawah ketiak emak walau bagaimana selesa sekalipun hidup kita.

Cubaan hidup sendiri adalah usaha kita untuk hidup tanpa subsidi. Walaupun pengorbanannya besar, kita lakukan juga kerana kita sudah dewasa dan mampu menjaga diri sendiri. Itu tanda kematangan dan kedewasaan di mana kita bertanggungjawab dengan segala yang kita lakukan. Begitu juga bila subsidi untuk barangan perlu dikurangkan.

Memanglah tiada siapa yang mahu membayar lebih untuk barangan dan perkhidmatan, namun ia pengorbanan perlu untuk kesejahteraan semua. Bila subsidi dikurangkan, timbullah rasa tidak puas hati kerana kita anggap harga murah adalah hak kita. Tidak kiralah jika ia lebih mahal di tempat orang, kita tidak peduli kerana kita tidak tinggal di sana.

Namun, kita perlulah memahami bahawa cerita subsidi itu bukan hanya terletak di stesen minyak atau di kedai runcit. Cerita dan rangkaian subsidi itu panjang, bertaut serta berkait. Contohnya, subsidi negara jumlahnya RM74 bilion. Ia satu jumlah yang amat besar, tetapi bukan semua subsidi tidak baik, contohnya, untuk pendidikan, kesihatan dan kemudahan awam.

Tetapi adakah wajar jika subsidi untuk minyak kereta sama banyak dengan jumlah yang dibelanjakan untuk pendidikan, atau lebih tinggi daripada belanja untuk kesihatan seperti yang kita dapati sekarang? Patutkah kita terus berbuat demikian jika didapati hampir 70 peratus yang menikmati subsidi minyak kenderaan bukan daripada kumpulan sasar subsidi?

Membayar lebih suatu pengorbanan untuk menentukan negara terus berupaya meneruskan agenda pembangunan serta usaha membantu mereka yang kurang bernasib baik. Adalah penting subsidi sampai ke sasaran. Jelas ia tidak efektif jika pemandu kereta mewah mendapat subsidi yang sama dengan penunggang kapcai. Juga hampir 70 peratus pengguna gas tong adalah peniaga, seperti restoran.

Penurunan subsidi menyebabkan harga seliter RON95 naik 5 sen ke RM1.85 seliter, mahal sedikit dari segelas teh tarik. Gas masak yang digunakan di rumah naik 10 sen sekilogram. Jika satu keluarga menggunakan setong gas 14kg sebulan, maka sehari ia naik kurang dari lima sen. Rasanya kurang dari harga satu SMS.

Bukanlah kita mengambil ringan mereka yang dibebankan dengan harga-harga baru, namun kita perlu ingat semua ini ada kosnya. Lambat laun perlu dibayar juga sama ada negara berhutang lagi, atau belanja untuk perkara lain dicuri untuk kekalkan harga minyak dan gula, contohnya.

Jika ada yang tidak mampu jelas, kerajaan mesti masuk membantu. Begitu juga kawalan harga perlu diadakan untuk mengelak orang mencari keuntungan berlebihan.

Sama ada negara akan bankrap jika subsidi diteruskan bukanlah persoalannya. Apa yang perlu dipertimbangkan adakah perbelanjaan negara dapat membantu kita membentuk keadaan yang lebih baik. Juga tiada masa yang lebih sesuai atau baik untuk penurunan subsidi. Bilapun orang tidak suka. Tetapi jelas lagi cepat dilakukan lagi banyak yang dapat dimanfaatkan.

Memanglah untuk kerajaan, pengurangan subsidi membawa risiko politik. Tetapi pentadbiran dan pemerintahan adalah tanggungjawab. Ia bukannya usaha untuk menjadi popular. Jika beban perbelanjaan melebihi pendapatan, iaitu defisit, maka berapa lama patut kita bertahan demikian hanya untuk kekal popular.

Ada kalangan pengkritik yang berkata apa yang mahu didengar ramai, bukannya apa yang diperlukan oleh orang ramai – iaitu kepemimpinan yang bertanggungjawab dan berani. Tujuan mereka hendak jadi popular dan pancing undi, apa nak jadi selepas itu, nasiblah. Sesuatu kerajaan tidak perlu untung seperti syarikat. Sesuatu kerajaan mestilah stabil ekonominya untuk membolehkan sektor swasta berkembang dan menghasilkan pekerjaan.

Kestabilan diukur dengan kebijaksanaan dan keberanian mentadbir ekonomi. Walaupun pahit ubat, perlu ditelan untuk kebaikan. Jika diluah, lega sebentar, namun penyakit akan berleluasa nanti.

Kita tahu bukan semua subsidi itu tidak baik. Ada yang perlu dikekalkan, ada dikurangkan dan ada pula dihapuskan.

Kawalan harga barang umpamanya berjaya menjadikan belanja rumah bagi yang memerlukan. Subsidi pendidikan, kesihatan dan infrastruktur juga mempunyai kesan jangka panjang yang tidak dapat dinilai dalam masa yang singkat.

Tiada seorangpun daripada kita yang tidak menerima subsidi. Baik yang berada atau yang miskin, dari minyak di pam, di kedai runcit atau di sekolah, semua merasa. Teh tarik kita pun disubsidi, dari susu pekat, gula, air dan gas. Di restoran mamak pula ada pekerja asing yang bekerja dengan gaji yang sikit berbanding orang tempatan.

Teh tarik yang RM1.50 mungkin menjadi RM2.50 tanpa subsidi. Rasanya kita semua setuju yang kadar belanja subsidi kini tidak mampu dikekalkan, tetapi tiada pula orang, termasuk kerajaan, yang mahu ia dimansuhkan sama sekali. Apa yang perlu kita buat ialah menyelaraskan agenda subsidi kita.

Apa yang boleh di kurangkan, apa yang perlu dibiarkan. Mungkin juga kita akan dapati ada yang perlu ditingkatkan. Pengurangan subsidi terbaru menyebabkan kerajaan tidak perlu berbelanja RM750 juta hingga akhir tahun ini. Duit itu jelas boleh digunakan untuk perkara lain.

Sumber : http : //www. bharian.com.my/