Isnin, 2 September 2013

ISU PENGAJIAN TINGGI : Jangan pandang enteng IPTS


Oleh :  Ruhaiza Rusmin

Antara isu yang menjadi polemik di negara ini ialah arah tuju dan penempatan pelajar matrikulasi di institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan selepas menamatkan pengajian.

Berbanding program sijil, diploma atau ijazah, isu matrikulasi boleh dianggap sensitif apatah lagi baru-baru ini timbul rungutan pelajar matrikulasi tidak mendapat tempat melanjutkan pengajian meskipun memperoleh keputusan cemerlang.

Meskipun kerap dilontarkan tanggapan tertentu mengenai matrikulasi, pendidikan prauniversiti ini tetap dianggap penting dan berprestij serta menjadi penanda aras kepada pelajar.

Justeru, sejauh mana peranan matrikulasi dalam memperkasakan lagi sistem pendidikan negara?

Dan, jika terus diselubungi kontroversi, apakah matrikulasi terus relevan?

Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Profesor Dr Mazliham Mohd Su’ud, berkata kemasukan ke matrikulasi adalah sebahagian usaha kerajaan memberi peluang pelajar mendapat pendidikan terbaik.

Beliau berkata, matrikulasi antara platfom yang membantu pelajar melanjutkan pengajian ke peringkat seterusnya sekali gus mempersiapkan mereka dengan ilmu diperlukan.

“Program matrikulasi adalah salah satu akses diperkenalkan kerajaan bagi membantu golongan ini membuat pilihan belajar.

“Sistem pendidikan dan pembelajaran negara kita yang terbuka tidak membataskan peluang sesiapa pun sama ada layak atau tidak melanjutkan pengajian,” katanya.

Beliau berkata, selain diploma dan sijil kemahiran, matrikulasi antara pilihan utama pelajar melanjutkan pengajian selepas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Semua peluang ditawarkan ada kepentingan masing-masing dalam sistem pendidikan tinggi negara bagi mencapai keputusan jangka panjang.

“Tapi, yang perlu diperbetulkan ialah tanggapan bahawa matrikulasi adalah antara program yang gah berbanding sijil kemahiran atau diploma.

“Walaupun memasuki matrikulasi memerlukan keputusan cemerlang, usah anggap ia satu-satunya pilihan menjejak kaki ke universiti,” katanya tidak menafikan ada pelajar matrikulasi meskipun memperoleh keputusan cemerlang tetapi gagal meneruskan pengajian di menara gading.

“Sebenarnya tiada jaminan pelajar matrikulasi boleh memperoleh tempat kerana semua tertakluk pada syarat tertentu.

“Justeru, ada pihak terkejut dan kecewa apabila mereka tidak terpilih melanjutkan pengajian di IPTA.

“Senario ini berlaku kerana ada yang tidak faham bahawa memperoleh keputusan cemerlang tidak semestinya memperoleh tempat di IPTA,” katanya.

Namun, beliau berpendapat ia bukan penamat kepada masa depan pelajar kerana banyak lagi IPT mampu menawarkan tempat.

“Kita tidak boleh menyalahkan pelajar sepenuhnya atas kekecewaan itu sebab mereka yakin ada keputusan yang layak.

“Tapi, apabila gagal mendapat tempat, tidak bermakna ‘riwayat’ belajar akan tamat. Ada banyak IPT lain mampu memberikan tempat.

“Tidak perlu berharap kepada IPTA semata-mata. Kita perlu akur sejauh mana kemampuan IPTA menawarkan tempat,” katanya.

Justeru, pelajar matrikulasi yang tidak terpilih boleh melanjutkan pengajian di IPTS.

“Saya tahu, ramai yang masih berpandangan skeptikal kepada IPTS kerana dikatakan tidak setaraf IPTA sebaliknya lebih bermotifkan keuntungan.

“Ia pandangan lapuk kerana IPTS kini setanding IPTA bagi membina masa depan dalam pembelajaran,” katanya.

Katanya, bukan institusi yang mencorakkan kejayaan pelajar tapi diri sendiri.

“Buangkan persepsi kolot sebab jika terus terbelenggu dengannya, kita akan jadi golongan yang rugi,” katanya.

UniKL tidak ketinggalan menawarkan tempat kepada pelajar matrikulasi yang tidak mendapat tempat melanjutkan pengajian.

Dengan reputasi yang dicapai UniKL, ramai pelajar mempunyai keyakinan tinggi dan mengakui sistem pembelajaran ditawarkan antara yang terbaik.

“Penawaran ini sejajar misi UniKL untuk melaksanakan tanggungjawab nasional kepada pelajar juga negara.

“Ada pelbagai program ditawarkan dan semuanya mengikuti kehendak industri,” katanya.

UniKL masih menawarkan tempat dalam semua program ijazah sarjana muda kecuali perubatan kepada pelajar matrikulasi yang masih belum mendapat tempat.

Pengambilan ini khas untuk pelajar matrikulasi dan borang permohonan perlu dihantar sebelum 15 September ini.

Sumber : http : //www.hmetro.com.my/

ISU PENDIDIKAN : 478,848 Calon UPSR Duduki Peperiksaan Tahun Ini


KUALA LUMPUR : Seramai 478,848 calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2013 akan menduduki peperiksaan bertulis mulai 10 hingga 12 September ini di 8,268 pusat peperiksaan di seleruh negara.

Kenyataan Lembaga Peperiksaan Kementerian Pendidikan Malaysia pada Isnin menyebut, daripada jumlah itu, 469,882 adalah pelajar sekolah kerajaan dan bantuan kerajaan manakala 8,966 lagi dari sekolah swasta yang bahasa pengantarnya adalah bahasa Melayu.

"Seramai 49,117 petugas peperiksaan telah dilantik dan calon diingatkan untuk merujuk kepada jadual waktu peperiksaan untuk maklumat mengenai masa peperiksaan serta arahan dan amaran yang perlu dipatuhi," katanya.

Menurut kenyatan itu, jadual waktu peperiksaan telah diedar ke sekolah dan boleh dimuat turun daripada laman sesawang Lembaga Peperiksaan di alamat  http://www.moe.gov.my/lp.

"Calon diingatkan untuk membawa kad pengenalan ke pusat peperiksaan bagi memastikan urusan pengendalian peperiksaan berjalan lancar," katanya. - BERNAMA

ISU SOSIAL : Persoalan jenayah


Oleh : Mior Kamarul Shahid
 
Pada tahun 1960-an, malah lebih awal daripada itu, sesiapa yang buat kali pertama datang ke bandar-bandar besar khasnya di Kuala Lumpur, sering diingatkan supaya menjauhkan diri daripada kumpulan atau geng samseng. Ketika itu perkataan 'pau' sering disebut-sebut kerana jika anggota kumpulan samseng ini melihat muka baru, mereka akan peras ugut supaya membayar 'pau'.

‘Pau’ bermaksud bayaran yang dikenakan kepada individu tertentu bagi mengelakkan mereka diganggu oleh kumpulan samseng. Pau juga dikenakan kepada peniaga kedai, pengusaha restoran dan sesiapa juga yang mereka anggap memerlukan perlindungan. Bagi mangsa, mereka dikenakan pau setiap hari, minggu atau bulan. Disebabkan takut dan tidak mahu menimbulkan masalah, mereka membayar sejumlah wang kepada kumpulan ini mengikut persetujuan walaupun tahu tugas melindungi keselamatan adalah kerja pihak polis. Bagi yang enggan membayar pau, perniagaan atau urusan mereka sering diganggu.

Kegiatan seperti itu masih wujud hingga ke hari ini. Kumpulan yang melakukan peras ugut itu diwarisi ahli-ahli mereka dan terus aktif hingga ke hari ini. Mereka adalah antara 49 kumpulan kongsi gelap dan samseng yang didedahkan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi, Khamis lalu. Kongsi gelap ini bergerak di bandar-bandar utama yang bermatlamat untuk mendapatkan wang dengan melakukan jenayah seperti peras ugut, menyamun, merompak, malah membunuh dan sebagainya.

Hanya kerana wang

Kegiatan pinjaman tidak berlesen atau ah long mempunyai kaitan rapat dengan kumpulan kongsi gelap ini. Kumpulan ini juga bergerak di rumah pelacuran, pusat perjudian dan sindiket dadah. Kebanyakan mereka ini adalah individu yang keras dan kering hati dan tidak takut untuk melakukan jenayah. Sebahagian besar mereka pernah masuk penjara kerana melakukan pelbagai kegiatan jenayah daripada menyeluk saku hinggalah kepada menyamun dan merompak menggunakan senjata api. Mereka inilah juga kumpulan yang mengambil upah untuk melakukan jenayah berat untuk membunuh sesiapa juga. Mereka sanggup melakukan apa saja kerja kerana wang. Kumpulan yang dikenali dengan pelbagai nama, seperti diumumkan oleh KDN, mengawal kawasan atau zon mereka.

Jika ada kumpulan lain yang cuba menceroboh kawasan mereka, kumpulan itu akan menentangnya. Menceroboh kawasan bermaksud kumpulan lain melakukan kegiatan di tempat yang sudah dikuasai oleh sesebuah kumpulan lain. Jika keadaan ini berlaku akan menyebabkan pergaduhan sesama kumpulan dan berlaku pertumpahan darah. Pada awal 1960-an, ahli kumpulan samseng dan kongsi gelap ini mudah dikenali.

Cara berpakaian, fesyen rambut mereka dan ciri-ciri samseng yang mereka paparkan, memudahkan mereka dikenali. Bagi filem Melayu, watak Sazali dalam cerita Anakku Sazali menunjukkan ciri-ciri kumpulan samseng di Singapura ketika itu. Di Kuala Lumpur, sekitar kawasan Jalan Chow Kit dianggap kawasan yang dikawal oleh kongsi gelap orang Melayu, Sentul orang India dan Pudu dan Kepong pula dikuasai orang Cina.

Pada waktu itu, seseorang tidak boleh merenung atau memandang orang lain tanpa berkelip mata kerana perbuatan itu dianggap mencari padah. Untuk mengelak terjerat kepada kumpulan itu, seseorang perlu mengelakkan diri daripada mempunyai hubungan dengan mereka. Jika rapat dengan mereka, tidak dapat dielakkan akan mengikut ke mana saja mereka pergi secara rela atau paksaan. Buat permulaan, mereka akan dibawa ke kelab malam, ke bar dan sebagainya sebagai tarikan Apabila sudah ketagih, mereka perlu mencari wang dan akhirnya menganggotai kumpulan kongsi gelap ini. Terbukti, kumpulan kongsi gelap dan samseng ini bukan saja terus hidup tetapi menular hingga ke sekolah. Setiap kumpulan ada nama dan simbol masing-masing. Jika terserempak mereka memberi isyarat masing-masing. Mereka yang terjebak dalam kumpulan ini berpotensi menjadi penjenayah besar.

Tuntut tindakan tegas kerajaan

Menurut Polis Diraja Malaysia (PDRM), hari ini ada seramai 28,926 ahli kongsi gelap membabitkan kaum India, Cina (8,214), Melayu (1,923) dan selebihnya pelbagai kaum dan etnik di Sarawak dan Sabah yang menyumbang jumlah keseluruhan 40,313 ahli di seluruh negara. Daripada 49 kumpulan itu, 28 beroperasi di Semenanjung, 16 di Sarawak dan lima kumpulan lagi di Sabah yang menguasai sebahagian besar aktiviti jenayah di kawasan masing-masing.

Daripada perangkaan diberikan ini menunjukkan PDRM mempunyai maklumat terperinci mengenai kumpulan dan kegiatan mereka. Apabila berlaku sesuatu kegiatan jenayah, polis sudah boleh mengesyaki kumpulan mana yang melakukannya. Polis mudah mendapat maklumat kerana sesiapa saja anggota kumpulan itu yang ditangkap akan diminta bekerjasama untuk memberi maklumat yang diperlukan.

Isunya ialah walaupun kumpulan ini sudah dikenal pasti, mengapakah tindakan menghapuskan kegiatan mereka sukar dilakukan. Jawapan yang sering didengar ialah tiada keberanian daripada pihak berkuasa. Mereka tahu rumah pelacur, tetapi kegiatan itu terus beroperasi di tempat sama. Walaupun serbuan dan tangkapan dibuat, keesokannya perniagaan haram itu berjalan seperti biasa. Siapakah pula yang melindungi mereka?

Kebelakangan ini terlalu banyak kegiatan jenayah yang berlaku menyebabkan tindakan drastik terpaksa dilakukan. Operasi Cantas yang dijalankan sekarang ini membuktikan sama ada pihak berkuasa serius atau tidak untuk menghapuskan kegiatan jenayah di negara ini. Persoalan sama ada masalah jenayah boleh dihapuskan daripada bumi negara hanya boleh dijawab jika pihak berkuasa serius mengenainya.

Beberapa negara di dunia ini berjaya menjadikan negara mereka  bebas daripada kegiatan jenayah yang berleluasa meskipun satu ketika dulu kadar jenayah begitu tinggi. Diharapkan dengan tindakan tegas kerajaan, Malaysia akan menjadi sebuah lagi negara di dunia ini bebas daripada kegiatan jenayah secara berperingkat.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/