Khamis, 28 April 2011

ISU BAHASA : Contohi amalan rakyat negara lain junjung bahasa kebangsaan

PERSATUAN Linguistik Malaysia (PLM) amat bersetuju dengan pandangan Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa banyak lagi rakyat yang masih bersikap tidak berbangga dengan bahasa Melayu atau bahasa kebangsaan negara sendiri berbanding dengan rakyat negara lain seperti China, Korea, Jepun dan sebagainya.

Rakyat negara berkenaan bukan tidak belajar bahasa Inggeris atau tidak fasih berbahasa Inggeris, tetapi dalam banyak perkara mereka lebih menjunjung bahasa sendiri dan mengendong bahasa lain, sedangkan banyak orang kita menjunjung bahasa lain khususnya Inggeris dan hanya sekadar mengendong bahasa Melayu.

Bangsa lain seperti China, Jepun, Korea, Perancis dan lain-lain itu hanya ketika bersantai atau tidak rasmi barulah mereka bersedia menggunakan bahasa Inggeris atau lainnya. Hal ini tidak bagi kebanyakan daripada kita termasuk segelintir pemimpin.

Bertambah malang lagi jika turut membabitkan pemimpin pada peringkat nasional, organisasi atau jabatan kerajaan seperti yang selalu terpapar dalam berita di televisyen. Bahasa Melayu hanya digunakan dalam sari kata.

Eloklah bertutur dalam bahasa Melayu dan sediakan sari kata dalam bahasa Inggeris agar tidaklah menjadi seperti ‘kera di hutan disusukan anak di pangkuan dibiar kelaparan’. Pupuklah rasa bangga dan megah bahasa negara sendiri sekalipun kita memang memerlukan kemahiran bahasa kedua, ketiga dan sebagainya. Tiadakah perbezaan antara Barat misalnya dengan negara Malaysia daripada segi citra dan jati diri negara?

KAMAL SHUKRI ABDULLAH SANI,

Timbalan Presiden Persatuan Linguistik Malaysia.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU KENEGARAAN : Membentuk citra jati diri unggul bangsa Malaysia

Oleh Amirullah Andi Nur dan Nur Aishah Zainal
rencanabh@bharian.com.my

Nilai, norma budaya berbeza harus diketepi bagi mewujudkan suasana terbaik semangat kebangsaan

APA maksud jati diri? Kamus Dewan (2005) memberi pengertian sebagai sifat atau ciri yang unik dan istimewa dari segi adat, bahasa, budaya dan agama.

Ia menjadi teras dan lambang keperibadian seseorang individu atau sesuatu bangsa. Jati diri itu akan menunjukkan citra identiti sesebuah bangsa.

Budayawan, A Aziz Deraman, berkata persoalan bahawa jati diri Malaysia tidak boleh dilakukan secara caca-marba, berasaskan kepada kesamarataan semua bidang termasuk ke arah kewujudan budaya bangsa.

Sebaliknya, beliau berkata, ia mendukung matlamat ke arah menegakkan keperibadian bangsa dan kejatidirian dalam konteks pembangunan negara. Keunikan situasi kepelbagaian di Malaysia ini katanya lagi, jarang terdapat di negara lain.

“Jati diri itu banyak berkaitan dengan kebudayaan. Di Malaysia isu dan masalah kebudayaan timbul lazimnya disebabkan persepsi dan perspektifnya yang diletakkan dalam kerangka yang begitu sempit dan terhad.

“Tafsiran luasnya tidak dirujuk dan ada kedangkalan faham sehingga disamakan dengan seni semata-mata, hatta istilah kesenian yang sudah luas cakupan bidangnya pun digunakan sebagai merujuk kepada seni tari, seni muzik, seni teater atau persembahan seni.
“Kedangkalan ilmu sedemikian mungkin saja terjadi merentasi generasi disebabkan tidak ada celik budaya dan buta sejarah,” katanya sebagai panel Forum Jati Diri 1Malaysia bertajuk Jati Diri Pembinaan Negara Bangsa di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Perempuan Melayu di Durian Daun, Melaka, baru-baru ini.

Program dirasmikan oleh Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka, Datuk Wira Othman Muhammad dan dianjurkan bersama Jabatan Penerangan, Berita Harian, Gabungan Penulis Nasional (GAPENA) dan Persatuan Sarjana Komunikasi (PERSKOM). Seorang lagi panel ialah Dr Bazrul Bahaman dari PERSKOM.

A Aziz yang mewakili GAPENA dalam forum itu menjelaskan betapa kehidupan berbangsa itu ditunjukkan sifat jati diri menerusi persamaan lambang, institusi nasional, perundangan, nilai kebangsaan yang dikongsi bersama, kesetiaan politik dan rasa keyakinan diri sebagai satu bangsa.

Selain itu, elemen nilai akhlak, moral, etika yang kukuh, demokratis, liberal bertoleransi dalam konteks penerimaan, adil dan saksama yang bermakna tidak semesti kesamarataan, progresif dan makmur, serta daya saing, daya tahan, tangkas dan dinamis.

Katanya, rakyat khususnya generasi muda seharusnya diberi didikan dan pengetahuan mengenai aspek kenegaraan, terutama ilmu sejarah, ilmu bahasa sastera, hubungan kaum, mengenali sosio-budaya, latar belakang kaum dan suku kaum, adat resam, raja dan kerajaan, hak negara berbanding hak kaum dan sebagainya ketika mereka masih muda.

“Ikatan persamaan dalam konteks geopolitik itu sudah diikat dalam Perlembagaan negara yang keluhurannya menjadi undang-udang tertinggi negara. Oleh sebab itu, secara langsung 1Malaysia ini diperkaya bersandarkan Perlembagaan dan Rukun Negara.

“Jadi aspek nilai dan norma dalam konteks warisan budaya akan memancarkan amalan prinsip kebersamaan dan kekitaan sebagai keluarga besar dalam konteks realiti kemajmukan kaum dan agama yang semuanya itu menjadi warisan budaya pada zaman baru, tetapi kekal kesinambungannya," katanya.

Menurut A Aziz, pembangunan dan perancangan strategik program jati diri berkait rapat dengan pembangunan kebudayaan dan menjadi sangat penting bagi sesebuah negara yang rakyatnya berbilang kaum.

Katanya, Malaysia memerlukan sebuah citra jati diri bangsa selaras dengan konsep negara bangsa Malaysia.

“Perancangan kebudayaan akan menentukan sifat yang terbaik, mulia dan tapak bagi pembinaan bangsa kerana sebuah negara bangsa hanya muncul dan tegak atas landasan jati diri kebangsaan masing-masing,” katanya.

Katanya, Program Transformasi Kerajaan (GTP), Model Baru Ekonomi (MBE) dan transformasi ekonomi, Rancangan Malaysia Kesepuluh yang dinaungi gagasan 1Malaysia akan menjadi lebih sempurna dengan keseimbangan pembangunan fizikal dengan kerohanian.

Beliau berkata, satu masalah besar dalam pembinaan jati diri bangsa di Malaysia ialah kekurangan respons di kalangan bukan Bumiputera yang menunjukkan masih adanya batas budaya.

“Rakyat dilihat masih terikat dan mempunyai nilai serta norma budaya yang berbeza, lebih-lebih lagi pengaruh corak demografi (kependudukan) yang ada.
Polarisasi budaya berasaskan kaum dan suku bangsa jelas wujud,” katanya.

A Aziz menyimpulkan betapa Malaysia memerlukan pembangunan modal insan secara holistik dari segi ilmu pengetahuan, kemahiran, modal intelek, keusahawanan, pengetahuan sains dan teknologi.

Katanya, pendidikan dalam erti formal dan tidak formal patut digandingkan sehingga pendidikan seumur hidup terus menjadi amalan.

“Jati diri terserlah apabila warga sesebuah bangsa itu cetek kefahaman sejarah, budaya, bahasa sastera agama, ketatanegaraan, amalan nilai positif. Kurikulum dan kokurikulum pendidikan formal dan bukan formal patut menangani isu ini,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Bazrul turut mengakui bahasa Melayu yang menjadi pertuturan seharian adalah lambang bangsa dan jati diri 1Malaysia.

Begitu juga, katanya, aspek agama Islam yang menjadi identiti masyarakat Melayu perlu dipelihara, di samping terpelihara kesuciannya.

“Apa yang kita amalkan dalam rutin seharian seperti bertutur dalam bahasa Melayu adalah asal usul jati diri Malaysia dan ia perlu dikekalkan daripada dicemari unsur bahasa lain. Agama Islam pula adalah jati diri bangsa Melayu kerana sejak lahir lagi unsur ini sudah diterapkan ke dalam jiwa mereka.

“Ini dapat kita lihat apabila sejak kecil ibu bapa sudah menghantar anak mereka ke tadika dan sekolah agama untuk memupuk jati diri yang teguh, di samping mempelajari selok belok dalam hal keagamaan,” katanya.

Bazrul berkata, mesej 1Malaysia perlu dihayati oleh semua masyarakat khususnya generasi muda di samping memahami maksud yang tersurat dan tersirat di sebaliknya.

Katanya, golongan muda perlu kembali menghayati lima prinsip Rukun Negara, selain memahami Perlembagaan Persekutuan dan menjiwai maksud tersirat lirik lagu Negaraku serta menghormati Jalur Gemilang bagi mengembalikan jati diri dan rasa cintakan negara.

“Rakyat Malaysia khususnya generasi muda seharusnya berasa bangga dengan tanah air sendiri kerana keharmonian dan kedamaian yang dinikmati tidak dapat dibeli dengan wang ringgit.

“Kesedaran kepada betapa berharganya jati diri sesebuah negara perlu ditanam dalam jiwa setiap rakyat Malaysia bak kata pepatah, di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung,” katanya.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/