Sabtu, 26 Januari 2013

ISU PENGAJIAN TINGGI : 100 Kuota Tambahan Untuk Pelajar Miskin Yang Tercicir Ke IPTA


KUALA LUMPUR : Sebanyak 100 kuota tambahan disediakan di setiap institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan politeknik di seluruh negara kepada pelajar yang layak namun tercicir, atas faktor sosioekonomi pelajar terbabit.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata pihaknya mendapati ramai pelajar yang menepati syarat kelayakan memasuki IPTA dan politeknik, namun terkandas kerana tidak mampu bersaing dengan pelajar cemerlang berasaskan prinsip meritokrasi.

Beliau berkata golongan ini adalah pelajar yang lulus syarat am dan program tertentu di unversiti dan adalah dalam kategori miskin bandar, miskin luar bandar, minoriti, kaum asli dan ibu bapanya daripada golongan orang kurang upaya (OKU).

"Kita ada 32 politeknik dan 20 buah IPTA di seluruh negara, jadi setiap satu akan menyediakan kuota tersebut, ia akan mula dilaksanakan tahun ini bagi semua jurusan pengajian bagi program diploma dan ijazah," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Karnival Pengajian Tinggi 2013 kesembilan serta penyampaian cek olok-olok bagi baucar buku 1Malaysia (BB1M) di sini.

Mohamed Khaled berkata kerajaan memperluaskan lagi akses pendidikan tinggi selepas mengambil kira golongan pelajar yang layak namun tidak bernasib baik.

"Buat masa ini, kita akan mulakan dengan jumlah 100 kemasukan supaya tidak menjejaskan kuota yang telah disediakan kepada pelajar cemerlang berasaskan meritokrasi," katanya.

Beliau berkata pada tahun ini, sejumlah 160,000 tempat disediakan untuk kemasukan ke IPTA serta Institut Latihan dan Kemahiran, dan ia tidak termasuk 130,000 peluang kemasukan ke IPTS.

"Kemasukan pelajar baharu bagi kalendar akademik IPTA sesi 2013 dan 2014 akan bermula pada 1 dan 2 September bagi pelajar STPM dan setaraf bagi program ijazah pertama, 2 Jun bagi pelajar lepasan SPM dan setaraf bagi program diploma dan 26 Mei bagi program asasi," katanya.

Sejumlah RM325 juta BBIM diagih kepada pelajar IPTA, IPTS dan politeknik mulai Sabtu. BERNAMA

ISU PENDIDIKAN : Guru Muda Berperanan Lonjakkan Kualiti Pendidikan


SABAK BERNAM : Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata lebih 200,000 guru muda di seluruh negara mempunyai peranan untuk melonjakkan kualiti dan melaksanakan transformasi pendidikan negara melalui Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013-2025).

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, berkata guru muda adalah sebahagian daripada bilangan keseluruhan guru di negara ini yang akan terus berada dalam sistem pendidikan negara bagi tempoh 20 hingga 30 tahun akan datang.

Oleh itu, katanya, menjadi amanah besar kepada mereka untuk memikul tugas penting melonjakkan kualiti pendidikan dan transformasi pendidikan menerusi pelan pembangunan itu agar dapat mencapai sasaran mulai tahun ini sehingga 2025.

"Ini bermakna anda berperanan bukan sahaja melonjakkan kualiti pendidikan tetapi juga menentukan di mana sistem pendidikan kita akan berada dalam tempoh tiga dekad yang akan datang.

"Dalam erti kata lain, masa depan sistem pendidikan negara kita terletak di tangan anda," katanya ketika merasmikan Himpunan Guru Muda 1Malaysia (GM1M) peringkat Zon Tengah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Besar di sini, Sabtu.

Muhyiddin berkata kementerian turut menekankan kepentingan 'Higher Order Thinking Skills" (HOTS) iaitu mahu guru mempunyai keupayaan baru, penguasaan ilmu yang lebih tinggi, bijak berbicara dan dapat menganalisis serta menterjemah ilmu pengetahuan yang bukan setakat dalam bidang biasa.

Sehubungan itu, katanya program bimbingan guru akan ditingkatkan pada masa akan datang selaras dengan pelancaran Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia.

Katanya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bermurah hati memperuntukkan RM500 juta mulai tahun ini bagi melatih semula dan meningkatkan kemahiran guru dalam bidang Sains, Matematik, Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris supaya bidang utama dalam kurikulum dapat dikuasai semua guru.

"Ini dianggap sebagai langkah awalan dan pelbagai langkah lain akan dilaksanakan. Seperti yang diketahui, dalam pelan tersebut terdapat 11 anjakan besar, dan antara yang akan diberi tumpuan ialah menjadikan profesion perguruan sebagai profesion pilihan dan bukan memilih profesion guru untuk mendapat pekerjaan.

"Guru bukan satu pekerjaan tetapi satu profesion. Guru adalah orang yang bijak dan mahir yang berperanan untuk memajukan masyarakat dan negara," katanya. BERNAMA