TEMA sambutan Hari Guru peringkat
kebangsaan tahun ini adalah Guru: Membina Ilmu Menyempurnakan Akhlak. Tema ini
membawa makna yang cukup besar sekali gus menggambarkan betapa signifikan
sumbangan dan peranan guru yang tidak pernah pudar mahupun ditelan dek zaman.
Peranan guru dalam pelbagai aspek
kehidupan anak didik terutamanya dari segi ilmu dan akhlak digambarkan secara
menyeluruh melalui tema ini. Tema ini juga memberikan mesej yang cukup jelas
mengenai tuntutan dan harapan masyarakat dan negara terhadap peranan guru yang
semakin hari semakin mencabar.
Seperti biasa tarikh keramat 16
Mei datang lagi sebagai memenuhi salah satu hari dalam kalendar harian kita
dan sekali gus menandakan hari yang telah dimasyhurkan sebagai Hari Guru di
negara ini. Tarikh 16 Mei dipilih sebagai Hari Guru kerana pada hari bulan yang
sama dalam 1956, Majlis Undang-Undang Persekutuan Tanah Melayu (Federal
Legislative Council) telah menerima cadangan-cadangan Laporan Jawatankuasa
Pelajaran (Report of the Education Committee) sebagai dasar pelajaran bagi
negara kita.
Dokumen tersebut yang selepas itu
dikenali sebagai Laporan Razak (Razak Report) telah menjadi Dasar Pelajaran
Kebangsaan maka tarikh keramat ini besar maknanya kepada kita semua terutamanya
kepada institusi pendidikan dan perguruan negara.
Saban tahun pelbagai isu mewarnai
dunia pendidikan negara baik yang positif dan membanggakan mahupun yang kurang
enak untuk kita dengar. Contohnya, beberapa kejadian buruk di sekolah yang
melibatkan masalah disiplin pelajar, tindak tanduk guru serta campur tangan ibu
bapa terus mewarnai kalendar persekolahan tahunan kita. Malah beberapa insiden
di universiti melibatkan mahasiswa dan pensyarah turut mencuri perhatian
khalayak. Namun kedudukan guru di mata rakyat tidak pernah pudar mahupun
tenggelam.
Cuma ada ketikanya kita terfikir
sejauh mana peranan dan sumbangan guru itu dihargai masyarakat. Sebagai
peringatan bersama secara ringkas tetapi penuh bermakna marilah kita hayati
antara bait-bait keramat dari sajak nukilan Sasterawan Negara Allahyarham Datuk
Dr. Usman Awang pada 1979 yang bertajuk ‘Guru Oh Guru’. Antara lain sajak ini
berbunyi:
“Jika hari ini seorang
Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang
Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang
Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang
ulama yang mulia
Jika hari ini seorang
peguam menang bicara
Jika hari ini seorang
penulis terkemuka
Jika hari ini siapa
sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan
oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya
mengajar tulis-baca”
Setiap satu rangkap sajak ini
menceritakan sumbangan, peranan dan kejayaan besar guru dalam mendidik dan
membentuk peribadi dan karakter dalam masyarakat kita. Hakikatnya, setiap
seorang daripada kita pasti terhutang budi sekurang-kurangnya kepada seorang
guru dalam apa jua keadaan sekalipun. Guru juga sentiasa diangkat sebagai agen
perubahan sosial yang cukup berkesan. Ringkasnya, tiada kita seperti pada hari
ini tanpa ajaran dan bimbingan daripada seorang insan mulia bernama guru.
Adakalanya kita rasa cukup sedih
dan kecewa apabila berlakunya kejadian seperti pelajar menampar guru, ibu bapa
memarahi guru, kenderaan guru dirosakkan oleh pelajar dan sebagainya yang jelas
menunjukkan bahawa kita masih kurang rasa hormat dan sayang kepada insan mulia
ini. Dapat dikatakan, guru bertanggungjawab membentuk tamadun manusia melalui
penyebaran ilmu dan pembentukan akhlak yang mulia. Jasa guru sama ada guru
sekolah, tadika mahupun pensyarah amatlah besar, begitu juga pengaruh mereka.
Justeru, usahlah kita asyik
mencari kesalahan mereka semata-mata. Sekarang amat jarang kita dengar pelajar
mahupun ibu bapa mengucapkan ‘terima kasih’ kepada guru. Ini adalah
perkembangan yang cukup menyedihkan dan sepatutnya tidak berlaku dalam
masyarakat kita yang begitu mementingkan gaya hidup yang sopan santun dan
nilai-nilai murni sejagat. Walaupun kita juga akui bahawa memang ada segelintir
guru yang mungkin bermasalah atas pelbagai faktor peribadi terutamanya bagi
mereka yang memilih kerjaya guru kerana terpaksa dan tiada pilihan lain, tetapi
adalah tidak wajar untuk kita menghakimi keseluruhan institusi perguruan hanya
kerana nila setitik seperti ini.
Hakikatnya, tugas guru pada zaman
yang semakin canggih ini dilihat cukup mencabar berbanding guru zaman dahulu.
Pelajar sekarang juga didapati lebih tahu serba serbi dan cepat memberontak dan
bertindak balas mengikut emosi masing-masing. Akibatnya, guru terpaksa melalui
pelbagai dugaan dan rintangan baik di peringkat sekolah rendah mahupun di
peringkat sekolah menengah, apatah lagi di peringkat universiti dalam memenuhi
kehendak dan tuntutan pelajar dan juga ibu bapa mereka.
Maka dalam hal ini, ibu bapa
perlu memainkan peranan dengan menyedarkan anak-anak mereka mengenai jasa dan
sumbangan guru. Anak-anak perlu diajar untuk menghormati guru mereka. Pada masa
sama ibu bapa juga perlu percaya dan membenarkan guru menjalankan tanggungjawab
mereka tanpa sebarang gangguan jika mahu melihat anak mereka menjadi manusia
berguna kelak.
Masyarakat perlu meletakkan guru
dalam kedudukan sewajarnya. Perlu diingat bahawa gelaran guru pada seseorang
itu akan kekal hingga ke akhir hayatnya yang menandakan tugas mendidik tidak
pernah berhenti walaupun guru itu telah bersara dan dianggap sebagai tugas yang
kekal hingga ke akhir hayat seseorang individu bergelar guru.
Walaupun ramai masih beranggapan
kerja guru mudah, boleh pulang rumah awal, kerja separuh hari dan mempunyai
cuti panjang namun tidak ramai sedar, tahu dan menyelami hakikat sebenar tugas
seorang pendidik. Tidak ramai yang sedar guru perlu bekerja sehingga lewat
petang walaupun mengajar sesi pagi, terpaksa bekerja di hujung minggu serta
melayan pelbagai kerenah anak murid dan ibu bapa sepanjang masa. Itu belum lagi
soal tugas pekeranian yang semakin bertambah.
Hakikatnya, waktu kerja guru
bukanlah mengikut jadual kerja seperti penjawat awam lain iaitu 8 pagi hingga 5
petang tetapi kerja dan tanggungjawab mereka adalah berterusan sepanjang masa
iaitu 24 jam tanpa mengira hari dan waktu. Justeru, kita perlu mengiktiraf
sumbangan guru dengan sebaiknya. Untuk itu, dalam kita bergerak secara agresif
untuk melaksanakan dan menjayakan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM)
2013-2025 bagi mentransformasikan sistem pendidikan negara secara menyeluruh
kita perlu juga memberi fokus kepada kepentingan guru yang merupakan antara
komposisi dan pemain utama dalam ekosistem pendidikan negara.
Hal ini penting demi mengangkat
martabat profesion perguruan ke tahap sewajarnya sekali gus memperkasakan
laluan kerjaya guru itu sendiri. Ini kerana pemantapan profesion perguruan akan
turut memantapkan sistem pendidikan negara yang sekali gus mampu melahirkan
modal insan dan generasi masa depan yang hebat, berkaliber, serba boleh dan
bijak.
Apapun kita tetap berharap agar
guru itu sendiri memikul tanggungjawab dan amanah yang diberikan dengan penuh
jujur dan ikhlas. Jagalah nama baik dan imej jawatan ini yang sentiasa menjadi
sanjungan masyarakat. Jangan sesekali bertindak mengikut emosi. Bersabarlah
dengan kerenah anak didik dan teruskan usaha dan niat murni untuk mendidik anak
bangsa.
Sama-samalah kita mendoakan agar
golongan guru terus memainkan peranan demi melahirkan modal insan dan generasi
pelapis yang mempunyai nilai jati diri yang unggul dan boleh menjadi warga yang
bertanggungjawab kepada diri, keluarga, agama, bangsa dan negara secara
keseluruhannya. Apapun penulis mengambil kesempatan ini untuk merakamkan
setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua warga pendidik di
atas jasa dan sumbangan ikhlas selama ini. Selamat Hari Guru, cikgu.
PENULIS ialah Ketua Bahagian Hal
Ehwal Pelajar, Universiti Putra Malaysia.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/