Selasa, 26 Mei 2015

ISU SOSIAL : Didik kanak-kanak terhadap ancaman pedofilia


TATKALA masyarakat Malaysia sudah semakin memahami istilah pedofilia, para ibu bapa terutamanya perlu menyedari bahawa kanak-kanak di Malaysia turut terdedah dengan bahaya jenayah seksual yang dilakukan oleh pedofilia.

Apatah lagi dalam era teknologi komunikasi dan maklumat yang serba canggih pada hari ini, kanak-kanak kini lebih terdedah kepada ancaman pedofilia apabila pelaku mudah mendampingi dan memperoleh imej mereka menerusi rangkaian laman sosial. Yang sedemikian, sangat penting bagi ibu bapa untuk melindungi dan mendidik anak-anak mereka mengenai ancaman berkenaan.

Berbanding dengan negara-negara barat, yang sudah lama mengenal pasti gejala ini dan mempunyai pangkalan data pesalah laku pedofilia, kita tidak mengetahui sejauh mana gejala pedofilia berlaku di Malaysia.

Baru-baru ini isu pedofilia menjadi perbincangan hangat apabila masyarakat di negara ini dikejutkan dengan berita seorang penuntut Malaysia dijatuhi hukuman penjara lima tahun oleh sebuah mahkamah di London apabila mengaku bersalah atas 17 kesalahan memiliki 30,000 imej dan video pornografi kanak-kanak dengan niat untuk mengedarkannya.

Sudah tiba masa untuk para ibu bapa di negara ini berbicara tentang seks dengan anak-anak, sekali gus mengajar kemahiran melindungi diri daripada gangguan seksual termasuk diajar membezakan cara sentuhan, sama ada ia wajar  atau ia satu perlakuan tidak senonoh. Cuma sejauh manakah sikap keterbukaan mereka dan mendidik anak-anak mereka mengenai ancaman pedofilia?

Mengulas persoalan ini, pensyarah kanan Psikologi Perkembangan Kanak-Kanak Jabatan Psikologi Kuliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA), Dr Nazariah Shar'ie Janon berkata ibu bapa harus lebih bersikap terbuka dan bersedia menjawab persoalan tentang seks dengan rasional, sesuai dengan usia anak.

"Ibu bapa perlu memberitahu anak-anak bahawa tubuh badan mereka adalah milik mereka sendiri dan mereka tidak boleh membenarkan orang lain menyentuh tubuh badan mereka. Kita sebagai (ibu bapa) terangkan kepada anak-anak tentang empat bahagian penting yang boleh menjurus kepada penderaan seksual iaitu mulut, dada, punggung dan alat kemaluan.

"Empat bahagian ini adalah bahagian sensitif di mana orang lain tidak dibenarkan menyentuh, meraba, mencium atau memegang. Kita perlu maklumkan kepada anak-anak supaya mereka berhati-hati jika mengalami keadaan seperti itu," katanya kepada Bernama ketika ditemui baru-baru ini.

Dr Nazariah berkata, penerangan yang jelas amat penting agar penterjemahan kanak-kanak mengenai isu seks tidak disalahertikan dan anak-anak memahami bahawa keselamatan diri daripada gangguan seksual adalah satu perkara penting yang mesti diingat.

"Contohnya ibu bapa boleh melukis gambar seperti orang lidi dan tandakan bahagian mana yang dikatakan sensitif jadi kalau mereka (anak-anak) berasa sakit dan pernah disentuh ajar mereka menjerit dan maklumkan kepada ibu bapa," katanya sambil menambah kata ibu bapa juga harus mendidik anak-anak mereka supaya tidak mempercayai orang yang tidak dikenali.

Dr Nazariah berkata, adalah lebih baik jika kanak-kanak diberi pendedahan awal pendidikan seks apabila mereka sudah boleh membezakan antara perkara baik dan buruk.

Beliau berkata, sedari awal kanak-kanak perlu dididik mengenai perkembangan fizikal tumbesaran badan peringkat demi peringkat.

"Contohnya, kalau kita (ibu bapa) mempunyai anak-anak berumur dua tahun ke atas beritahu bahawa mereka supaya tidak boleh tunjuk tubuh badan mereka kepada orang lain mahupun ahli keluarga sendiri. Ajar mereka tutup tubuh badan dengan baju atau tuala selepas mandi terutamanya, jadi tidaklah anak-anak ini berbogel selepas mandi," katanya.

Dr Nazariah turut menekankan supaya ibu bapa mengamalkan komunikasi berkesan dan sentiasa meluangkan masa bersama dengan anak-anak untuk berkongsi dan mendengar masalah yang dihadapi mereka, sekali gus membina hubungan kasih sayang antara ibu bapa dan anak-anak.

Melalui sentuhan kasih sayang dan kepercayaan yang dibina dalam hubungan kekeluargaan ini, ibu bapa dapat melahirkan anak-anak yang positif.

Mengenai penguatkuasaan undang-undang berhubung jenayah seksual kanak-kanak, Dr Nazariah berkata kerajaan harus sedar bahawa penguatkuasaan undang-undang yang efisien boleh membantu mengekang masalah ini daripada berleluasa.

"Saya rasa dengan ada teknologi hari ini, kita mampu mengakses lebih banyak maklumat.

"Mengapa tidak kita mencontohi negara-negara maju yang sudah lama melihat isu penderaan seksual kanak-kanak ini satu perkara serius dan saya harap kerajaan patut mempunyai undang-undang khas terhadap pesalah jenayah seksual kanak-kanak seperti pedofilia.

"Jangan menganggap isu ini taboo kerana ia boleh menjadi perkara serius jika kita gagal menanganinya dan setakat ini tiada penguatkuasaan atau undang-undang sangat efektif untuk mengesan individu yang aktif memuat turun video dan imej pornografi kanak-kanak di Malaysia," katanya.

Lebih membimbangkan apabila anak-anak diberi kebebasan untuk mengakses internet tanpa kawalan ibu bapa.

Beliau berkata, ini akan memberi jalan mudah kepada individu yang mempunyai keinginan seks terhadap kanak-kanak untuk mencari peluang menjejaki mangsa.

Berikutan itu, Dr Nazariah berkata, kerjasama daripada semua pihak amat penting untuk memastikan pesalah jenayah seksual kanak-kanak dikenakan hukuman setimpal agar kanak-kanak tidak terus menjadi mangsa individu tidak berperikemanusiaan.

Sumber : Bernama (22 Mei 2015)